Ahad, 26 Ogos 2018

PULANG - Lily Haslina Nasir



Pertamanya hamba mengucapkan terima kasih kepada penulis naskhah Pulang yang sudi memberikan hamba novel ini. Agak teruja mendapat novel ini dari penulisnya sendiri yang turut disertakan dengan sedikit nota.

Untuk makluman, hamba belum lagi menonton filem ini yang mana ketika ini tayangannya juga telah beransur hilang daripada pawagam. Jadi hamba tidak dapat memberikan sebarang perbandingan antara novel dan filemnya. Sekiranya hamba menonton filem berkenaan, maka ulasan ini adalah lebih baik memandangkan novel ini merupakan adaptasi filem, bermakna ia ditulis berdasarkan skrip asal filem dan bukannya fillem berkenaan diadaptasi daripada sebarang novel.

Pulang sarat dengan unsur kasih sayang dan penderitaan. Ia berlegar antara tiga watak utamanya iaitu Othman, Thom dan Ahmad. Penceritaaan mengikut bab- bab dalam novel ini adalah mengikut pandangan daripada watak-watak tadi. Ini menyebabkan pembaca dapat menyelami rasa dan perasaan watak-watak tersebut dengan lebih mendalam. Segala rasa kecewa, marah, kasih, sayang, derita dapat dirasai secara lansung lewat penceritaan watak-watak tadi. Manakala watak-watak lain seperti Che Puteh, Salmah, Karim, Taib dan Lum muncul melalui penceritaan watak-watak tadi.

Walaupun kisah dalam pulang berjalan antara akhir 1930an sehinggalah 2010, tumpuan utama penceritaan adalah antara tempoh-tempoh pelayaran Othman sehinggalah kematiannya pada 1966. Kisah ini boleh sahaja berakhir pada 1966. Namun disebabkan Omar tidak berjaya menyampaikan berita itu kepada ibunya Thom menyebabkan kisah penantian ini berlarutan sehingga berpuluh tahun lamanya.

Novel Pulang bermula dengan kisah-kisah yang memperkenalkan watak-watak utamanya. Ia menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu di sebuah perkampungan nelayan pada akhir 30an. Kisah percintaan antara Othman dan Thom adalah satu pernyataan betapa bersopan dan terjaganya hubungan antara lelaki dan wanita pada ketika itu. Tika ini segala yang berlaku adalah indah-indah belaka memandangkan tanah air ketika itu masih lagi berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Kisah penderitaan pasangan ini boleh dikatakan bermula sewaktu Jepun mula menduduki Malaya. Othman dan Thom telahpun berkahwin dan Thom sedang mengandungkan anak mereka. Othman telah dibawa oleh Jepun bersama-sama pemuda kampung yang lain. Kelalaian seketika Jepun telah membolehkan Othman bersama sahabat barunya Lum melarikan diri. Di sinilah pembaca mula dihidangkan dengan penderitaan watak-watak utamanya. Othman derita sebagai pelarian manakala Thom terpaksa mengharungi hidup sendirian dan melahirkan anak mereka tanpa Othman di sisi. Kisah zaman Jepun ini juga merupakan satu permulaan hubungan erat antara Othman dan Lum yang walaupun berlainan bangsa dan agama tetapi mengaku saudara dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

Sejak awal lagi pembaca telah dihidangkan dengan kisah kasih sayang antara kedua pasangan ini. Kesusahan hidup menyebabkan Othman berusaha gigih untuk mencari rezeki di laut walaupun dalam keadaan laut yang ribut bergelora. Ketidak pulangan Othman dari laut membuatkan Thom bertekad mencarinya bersama rakan Othman walaupun dia tahu akan bahayanya. 

Ketika Othman menyatakan hasrat untuk pergi belayar, Thom telah mula merasakan kerisauan akan ketidakpulangan Othman. Ini memandangkan Othman sudah dua kali 'hilang' daripada beliau iaitu sewaktu zaman Jepun dan sewaktu dibadai gelora laut dahulu. Namun Thom tahu bahawa Othman mempunyai keazaman yang kuat yang membuatkan beliau belayar juga.

Kisah pelayaran Othman bukan suatu yang muluk-muluk ceritanya. Othman hidup dalam derita. Manakala di kampung, Thom dan Omar yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan derita. Tiada surat yang Othman kirimkan melainkan sekeping poskad di setiap tempat beliau berlabuh dengan catatan yang sama pada setiap poskad. Lamanya Othman meninggalkan Serkam, menyebabkan Thom menyusul beliau di Hong Kong berdasarkan poskad terakhir Othman. Bukanlah suatu yang mudah bagi Thom untuk mengadakan wang yang banyak bagi memulakan pencarian tersebut.

Pencarian Thom sebenarnya bagi hamba bolehlah dianggap sebagai misi bunuh diri. Ia juga membayangkan bahawa Thom tidak pun berfikir panjang dan hanya mengikut kata hati. Mencari Othman di Hong Kong berdasarkan poskad terakhir yang dikirimkan sejujurnya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil kerana Othman tentunya telah belayar ke tempat lain. Sementelahan pelayaran Thom ke Hong Kong juga akan memakan masa berhari hari lamanya. Pergi ke Hong Kong tanpa sebarang pengetahuan adalah suatu yang sia-sia. Tiada perancangan rapi yang di atur, tiada maklumat yang dicari terlebih dahulu dan tiadanya pelan tindakan kecemasan. Akhirnya Thom nyaris dijual ke rumah pelacuran. Di sini muncul semula watak Lum sebagai penyelamat yang menyelamatkan Thom daripada perkara tersebut.

Sepanjang pembacaan, persoalan yang kerap timbul adalah kenapa Othman tidak pulang ke kampung halamannya. Tidakkah beliau rindu akan anak isteri yang ditinggalkan? Apakah sebab yang menghalang beliau daripada pulang. Kisah Pulang tidak tergesa-gesa menjawab pertanyaan tersebut. Ia mahu pembaca terus berteka teki sehinggalah menemui jawapannya dalam bab-bab akhir.

Antara perkara menarik lewat novel ini adalah keindahan pantun-pantun yang ditulis pada setiap permulaan bab baharu. Pantun-pantun berkenaan dikarang dengan baik dan umpama pembayang akan penceritaan yang akan dibaca oleh kita. Satu lagi perkara menarik adalah timbulnya nama John Lennon dalam cerita ini yang dikatakan menjadikan kelab kelasi Melayu di Liverpool sebagai medan awal beliau mengasah bakat. Pembatalan beliau mengadakan persembahan semasa hari perasmian kelab tersebut dikatakan sebagai bermulanya penubuhan The Beatles.

Lily Haslina Nasir berjaya menulis novel ini dengan baik yang hamba anggap adalah berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai penulis. Andai diberikan tugas ini kepada budak-budak baru nak up mungkin tidak sebaik ini hasilnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...