Isnin, 17 September 2018

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2018



Tidaklah hamba ketahui bila bermulanya Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud ini. Yang hamba tahu ia telahpun berlansung beberapa kali dan merupakan antara larian yang sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan, bersesuaian dengan sifatnya yang bertaraf antarabangsa. Menyediakan beberapa jarak perlumbaan iaitu 42km, 21 km, 12km, 8km dan 5 km. Pada tahun ini jumlah keseluruhan penyertaan adalah seramai 50 ribu umat!! Hamba telah merancang dari tahun lepas lagi untuk menyertai larian ini. Justeru apabila pendaftaran mula dibuka pada awal tahun lalu hamba dan rakan-rakan larian Kesukeb tidak melepaskan peluang untuk mendaftar. Yuran penyertaan bagi setiap kategori larian boleh dianggap murah berbanding dengan acara larian lain yang pernah hamba sertai. Hamba percaya harga murah ini mungkin kerana faktor penaja yang ramai serta jumlah peserta yang besar bilangannya (yang sekaligus boleh memberikan keuntungan kepada penganjur).



Memandangkan larian bermula di Pantai Batu Buruk, hamba dan rakan-rakan memilih untuk menginap di hostel Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) yang tidak berapa jauh daripada venue tersebut. Ini memudahkan para peserta kerana tidak perlu berpagian keluar serta bersusah payah mencari tempat meletak kenderaan. Kami hanya berjalan kaki ke tapak permulaan.


Acara larian full serta half marathon (42 dan 21km) telah pun bermula pada malamnya dan tamat menjelang waktu Subuh. Manakala bagi acara bakinya bermula pada pagi hari. Hamba yang mengambil acara 5km hanya bermula pada jam 7.50 pagi, satu masa yang agak lambat bagi permulaan acara larian memandangkan waktu telahpun mulai panas. Tapi dapat difahami jarak besar pelepasan antara setiap kategori adalah disebabkan oleh jumlah peserta yang terlalu besar. Limpahan manusia yang menyarung baju larian berwarna hijau menyelubungi Pantai Batu Buruk pada pagi itu.




Permulaan larian berjalan dengan perlahan memandangkan kerana terlalu ramainya peserta. Cabaran permulaan larian ini adalah bau bauan sedap makanan daripada gerai-gerai makanan yang ada di pantai ini. Laluan kemudiannya menghala ke arah bandar, namun tidak terlalu jauh apabila laluan berpatah balik pada kilometer 2.5. Amat susah untuk berlari pada larian kali ini disebabkan terlalu ramainya manusia. Sudahlah manusianya ramai, laluan jalannya boleh dikira sempit memandangkan jalan yang sama juga menjadi laluan balik menuju ke garisan akhir. Lagipun bukan semua yang menyertai itu berlari. Ramai yang berjalan secara beriringan menyebabkan laluan kadangkala terhalang seterusnya mengganggu rentak larian.

Di penghujung larian, suasana agak sesak di kawasan pengambilan medal. Tiada goodie bag disediakan, hanya medal dan air minuman yang disediakan di dalam cawan. (mungkin kerana itulah juga harga penyertaan boleh menjadi murah). Apapun penyertaan larian ini hanyalah merupakan satu rutin dan menyertainya di luar kawasan membolehkan kami seolah datang bercuti sama. Terengganu memang banyak tempat untuk dilawati dan pastinya banyak tempat juga untuk memenuhi selera diri. Lepas bakar kalori sewaktu berlari, kita isi semula bahan bakar yang baharu!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...