Jumaat, 30 November 2018

SINDIKET - Arman Jazee

Pada bab pertama ini lagi Arman Jazee telah membuat kejutan kepada hamba apabila memaparkan isu murtad. Ia apabila seorang isteri yang tidak lagi mahu hidup susah bersama suaminya, menuntut sebuah perpisahan serta mahu berkahwin dengan seorang lelaki asing. Beliau bahkan tega untuk meninggalkan kedua orang anaknya. Bab seterusnya banyak memaparkan penderitaan kedua beradik tadi yang tidak lagi dipedulikan bapa mereka. Sepak, pukul, terajang bagaikan menjadi makanan harian mereka. Arman Jazee bijak memainkan emosi pembaca dalam bab-bab awal ini. Penderitaan, kepayahan dan kesusahan kedua beradik ini memang dapat dirasai. Bahkan penderaan yang dilakukan terhadap mereka telah dilukis dengan baik oleh penulis. Ia turut memaparkan kasih sayang seorang abang terhadap adiknya yang kurang upaya sehingga sanggup meletakkan nyawanya demi mempertahankan beliau. Kisah kedua beradik ini terhenti dengan episod kematian mereka di tangan samseng jalanan.

Seterusnya pembaca dibawa kepada pokok penceritaan, kisah pemerdagangan manusia/organ manusia yang dimulakan dengan penculikan Zera dan Zeri, dua beradik yang pulang dari sekolah. Penulis memasukkan elemen 'penculikan van putih' yang pernah tular satu ketika dahulu. Pembaca seterusnya akan dipaparkan dengan kegigihan seorang ibu bernama Munira yang berusaha keras untuk mengesan kehilangan anak-anaknya. Kegagalan pihak polis menyelesaikan kes tersebut memaksa beliau bertindak sendiri. Melalui bantuan fail penyiasatan daripada seorang anggota polis beliau memulakan siasatannya dengan meneliti pattern penculikan tersebut. Usaha beliau akhirnya menemukan dengan markas para penculik tersebut. Namun kerana tindakan yang tidak bijak menyebabkan beliau terjebak ke dalam permasalahan yang lebih besar lagi.

Episod seterusnya terasa lebih mencengkam.apabila Munira menjadi buruan sindiket tersebut bersama seorang lelaki bernama Somchai yang dikatakan mengkhianati kumpulan tersebut. Adegan-adegan pertempuran tangan kosong mahupun bersenjata, penuh dengan darah dan tulang temulang yang patah akan menghiasi banyak bab berikutnya. Di mana kalau ia difilemkan sedemikian pastinya banyak memaparkan adegan ganas yang tidak sesuai untuk tontonan sesetengah pihak. Munira daripada seorang wanita yang naif beransur-ansur menjadi seorang yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh.

Episod-episod akhir menjadi lebih hebat lagi apabila penulis mula memaparkan kaitan antara Munira dan Somchai dengan pemimpin kumpulan The Ogra. Ternyata pengakhirannya bukanlah umpama kata-kata ....and they happily lived ever after, tetapi ia tetap mempunyai makna yang tersendiri.

Karya Arman Jazee seperti biasa mempunyai ramuan yang mantap untuk peminat novel berunsur thriller. Hamba melihat beliau semakin meningkat dan tulisannya sudah boleh mengatasi Ramlee Awang Murshid!!


7 ulasan:

  1. salam sahabat...terima kasih kerana membaca Novel sindiket serta membuat review...saya sangat menghargai tetapi statement terakhir berkaitan dengan RAM...saya jadi takut....siapalah saya penulis kecil berbanding Maestro yang hebat itu...(marah peminat RAM nanti..) heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah kenyataannya saudara. Sejak membaca kali pertama tulisan insan bernama Arma Jazee, saya tidak ragu-ragu untuk membeli karya yang lain. Nama Arman Jazee setakat ini di mata saya menjanjikan mutu dan kepuasan. Peminat RAM tak perlu marah, yang perlu mereka lakukan ialah ambil mana-mana karya Arman dan mulakan pembacaan!!

      Padam
  2. Terima kasih sahabat...sokongan tuan memberi semangat untuk saya terus menulis. Sekarang dalam proses menulis kisah thriller supernatural....tapi agak pening untuk mengaitkan semua situasi...doakan moga dapat di siapkan tahun ni..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wahhhh ini baru betul berita panas secara lansung daripada sang penulis. Thriller adalah forte saudara dan supernatural adalah sesuatu yang baru. Saya harap saudara dapat mengekalkan rasa cemas dan curious pembaca sepertimana novel-novel sebelum ini. Kalau sudah siap saya berhajat nak senaskhah dengan tanda tangan saudara. All the best!!

      Padam
    2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
    3. salam sahabat....LP3 sudah ada di pasaran ya. Kalau ada kelapangan sila lah dapatkan ya...terima kasih

      Padam
    4. wauuuu...terima kasih. InsyaAllah. karya bermutu harus disokong!!

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...