Selasa, 29 Januari 2019

HANTU KOMIK - Bophairy



Hamba rasa adalah menjadi impian setiap kartunis selain melihat karya mereka dicetak dalam mana-mana majalah, adalah untuk mempunyai antologi komik atau kartun mereka sendiri. Ini kerana kebiasaannya penerbit hanya memilih karya ataupun kartunis yang mantap ataupun mempunyai nama dalam penerbitan mereka. Hantu Komik adalah antologi kartun kepunyaan Bophairy yang banyak menghasilkan karya di bawah label Komik-M. Mengandungi lapan buah kartun yang pernah tersiar di bawah penerbitan tersebut, kesemuanya mempunyai jalan cerita dan kelucuan yang tersendiri. Turut dihidangkan ialah temubual bersama kartunis, gambar ruang kerja beliau serta tutorial melukis mengikut gaya Bophairy.

Buat mereka yang tidak biasa dengan Komik-M, anda perlu tahu bahawa komik-komik label ini menggunakan Bahasa Melayu yang standard dan tidak menggunakan bahasa pasar. Justeru ia adalah baik untuk pembelajaran bahasa tersebut terutamanya kepada bukan penutur bahasa ini serta orang luar negara yang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu. Hamba amat mengesyorkan komik sebagai alat bantu mengajar bahasa kepada bukan penutur bahasa tersebut. Pengalaman hamba sendiri ketika mempelajari bahasa Arab, komik banyak membantu memandangkan ia menggunakan gaya bahasa pertuturan harian.

Kartun Bophairy ni kemas, kiut miut dan kebanyakannya dihasilkan serta diwarnakan secara digital. Hamba pula sukakan lukisan secara tradisional - lakaran dan warna dengan tangan. Lukisan beliau lebih berat kepada gaya tempatan dengan sedikit sentuhan gaya manga. Setakat ini penceritaan komik beliau lebih banyak yang sesuai untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Adalah penting untuk Bophairy mempunyai sebuah komik yang akan menjadi lagenda serta menjadi sebutan. Ia adalah seperti siri Aku Dan Sesuatu milik Aie, Bersama Selamanya oleh Gayour, Aku Budak Minang oleh Ujang, Ayop Anak Tulakang oleh Nan dan lain-lain lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KITAB TAMADUN ROM - Hafizul Adnen

  Tebal sungguh buku ini. Berminggu juga hamba ambil masa nak menyudahkannya. Hafizul Adnen menghidangkan kepada pembaca perkara yang jarang...