Isnin, 7 Januari 2019

KLONG MAI - Iman Fadia



Melihat kepada penampilan sampul novelnya, tajuk beserta dengan sinopsis yang ada di belakang novel pastinya pembaca akan melihat naskhah ini sebagai sebuah karya seram. Ini ditambah dengan penyataan peratus seram sebanyak 30%, thriller 20% dan misteri 50% yang turut berada di belakang buku!! Hamba cuma boleh memberikan 1% seram, tak berapa nak berasa thriller dan 5% misteri. 

Apabila kita rujuk kepada tajuknya, Klong Mai (yang bermaksud peti kayu) dengan caption 'ia hadir membawa seribu satu cerita' sepatutnya peti kayu inilah yang akan menjadi pokok atau tumpuan penceritaan. Namun hamba melihat sekiranya kisah peti kayu ini tidak dimasukkan sekalipun ia tidak akan merosakkan jalan cerita yang lain! Ini kerana ia bukan kisah seram. Ia adalah kisah kehidupan remaja yang disulam dengan kejiwangan dan cintan cintun. Kisah perhubungan remaja yang diwarnai dengan unsur irihati dan dendam hingga membawa kepada unsur sihir (dan sihir inipun tidak berkait juga dengan peti kayu tersebut).

Peti kayu yang dimaksudkan adalah sebuah peti yang telah diserahkan oleh Phat/Khalid kepada Dayah/Nur Hidayah sewaktu mereka berada di tingkatan empat. Peti itu diamanahkan kepada beliau untuk menyimpannya dengan ikrar Phat akan mengambilnya semula suatu hari nanti. 600 mukasurat berlalu namun kisah peti ini hanya muncul sekali sekala. Itupun lebih kepada Hidayah membeleknya sambil tertanya apa isi kandungan atau cerita di sebalik peti berkenaan. Itupun setelah peti berkenaan dapat dibuka dan diketahui isi kandungan peti itu kemudiannya, ia ternyata tidak berapa nampak kepentingannya dengan cerita ini.

Pembaca pastinya menyangka watak Phat akan menjadi tumpuan utama berdasarkan misteri kehidupannya, klong mai yang datang daripada dia, jelmaan wanita dan pengawal lelaki berkeris dan bertombak yang keduanya memakai pakaian bangsawan Siam zaman dahulu. Tapi apabila watak Phat dimatikan dan isi peti telah diketahui maka bagi hamba kisah ini dah boleh ditamatkan. Namun disebabkan novel ini bukanlah pasal peti itu tetapi adalah mengenai kehidupan Hidayah yang sampai 3 orang lelaki meminatinya yang membawa kepada rasa benci dan dendam beberapa wanita lain maka novel ini ditulis dengan panjang sehingga 839 mukasurat.

Walaupun novel ini tidak berjaya sebagai sebuah novel seram, tetapi ia boleh diikuti sebagai sebuah novel kisah masyarakat. Tanpa mengambil kira kisah peti kayu tadi, penulis novel ini sebenarnya boleh menulis dengan baik. Namun novel ini terlalu panjang dan menjadi sedikit kelelahan untuk menyudahkannya. Pengetahuan mengenai dunia perubatan membolehkan kehidupan sebagai pelatih perubatan serta pegawai perubatan dapat ditulis dengan baik. Terdapat juga beberapa kesalahan ejaan semasa menaip yang seharusnya dibetulkan editor. Terdapat banyak adegan terserempak/secara kebetulan di dalam novel ini. Contohnya bila pergi kedai makan akan terjumpa si polan, turun ke kawasan parking akan nampak si polan, bila pergi bercuti ke resort sekian kebetulan si polan ni pun ada dan banyak lagi. Adegan makan minum seperti kelaziman sebuah drama Melayu juga turut banyak.

Jadi sekiranya anda ingin membacanya anda perlu menukar persepsi bahawa novel ini bukanlah sebuah novel seram yang mampu membuatkan anda takut untuk ke bilik air apabila membacanya. Kalau sebagai sebuah novel remaja - hamba boleh rekemen buku ini untuk anda.

2 ulasan:

  1. Sha dah baca novel ini.. dan sha setuju novel ini lebih bercerita pasal Hidayah.. Tak seram sangat..

    BalasPadam

HAIWAN AJAIB DAN TEMPAT DITEMUI - J.K. Rowling

Buku ini merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada Fantastic Beasts And Where To Find Them . Ia adalah merupakan skrip asal kepada sebuah fi...