Isnin, 7 Januari 2019

MALAIUR MANIKAM - Uthaya Sankar SB



Apa yang terkandung di dalam buku ini adalah himpunan tulisan atau esei Uthaya yang pernah tersiar di pelbagai tapak. Hamba percaya Uthaya memang banyak menulis dalam pelbagai perkara atau tajuk, tetapi di dalam buku ini hamba melihat ia lebih tertumpu kepada dua perkara iaitu agama hindu dan orang Melayu.

Penceritaan beliau tentang agama hindu hamba anggap sebagai bahan bacaan untuk pengetahuan hamba. Namun di dalam penghuraian beliau ke atas beberapa perkara, hamba tidak seronok bahkan tidak setuju apabila beliau membuat perbandingan dengan Allah SWT. Contohnya apabila berkisah tentang jumlah dewa dalam agamanya, Uthaya menjelaskan bahawa hindu merupakan sebuah agama 'tauhid', hanya satu sahaja Tuhan. Kepelbagaian dewa yang ada telah Uthaya qiaskan dengan 99 sifat Allah. Maknanya satu Tuhan tetapi sifat-sifatnya dizahirkan dalam bentuk visual iaitu melalui pelbagai patung. Ini ternyata satu perbandingan yang batil dan tidak dapat hamba terima sama sekali. Carilah modal lain untuk membuat penjelasan.

Beliau ghairah menulis tentang orang Melayu. Tidak pula kelihatan beliau menulis atau mengkritik bangsa beliau sendiri. Beliau sebenarnya mengkritik (dibaca memperlekehkan) orang Melayu dengan cara yang paling sopan. Untuk itu beliau berlindung di sebalik tulisan orang lain seperti penulis yang bernama AB Sulaiman. Sekiranya orang marahkan Uthaya kerana mengkritik orang Melayu, maka beliau mudah sahaja boleh menjawab bahawa itu bukanlah kata-kata beliau. Beliau hanya memetik tulisan orang lain sahaja. Satu dua tulisan orang Melayu yang mengkritik kaum mereka sendiri inilah yang ghairah Uthaya gunakan sebagai modal dan pelurunya seolah tulisan positif penulis lain tidak ada.

Penulis secara halus cuba menimbulkan kebimbangan orang Melayu melalui takrifan Melayu di dalam perlembagaan yang beliau sifatkan longgar. Ini kerana dengan hanya beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu sahaja seseorang itu sudah boleh dikira Melayu. Lalu beliau timbulkan satu situasi seandainya ramai orang cina dan india yang ada sekarang ini beramai-ramai masuk ke dalam agama Islam dan mengamalkan budaya Melayu tanpa mereka ini perlu berkahwin dengan orang Melayu. Menurut Uthaya sekiranya ini berlaku 'kek' yang asalnya dinikmati oleh Melayu 100% kini terpaksa pula dikongsi dengan lebih ramai lagi, menjadikan saiznya lebih kecil. membaca tulisan berkenaan nampak seolah-olah baik sangat Uthaya ini memikirkan nasib orang Melayu tapi hamba nampak semacam menghasut. Oh ya biasanya apabila menulis tentang Melayu, Uthaya di awal-awal tulisannya lagi akan menulis bahawa tulisan beliau bukanlah untuk mempertikaikan akan hak istimewa orang Melayu, sebaliknya untuk memperkukuhkannya. Pandai betul beliau membuat penafian.

Beginilah Utahaya, sekiranya berbondong-bondong golongan ini masuk ke dalam Islam, kami tak akan bimbang sedikitpun untuk berkongsi rezeki yang ada. Ini kerana orang Islam adalah bersaudara. Saudara tak perlu bimbang dengan nasib orang Melayu. Apapun terima kasihlah di atas kerisauan anda itu!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...