Sabtu, 9 Februari 2019

BUKU KESIHATAN DIABETES OLD MASTER Q



Saya mengenali beberapa orang penting di dalam Diabetes Malaysia, sebuah NGO yang bergerak cergas dalam mempromosikan gaya hidup sihat dalam usaha untuk mencegah penyakit diabetes. NGO ini juga memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang telah mendapat penyakit tersebut. Mereka yang saya kenali tersebut amat komited dengan pertubuhan ini dan bekerja keras untuk menyampaikan mesej-mesej kesihatan kepada rakyat sama ada yang berskala kecil hinggalah ke skala besar. Baru-baru ini saya diberikan sebuah buku atau komik sebagai usaha terbaru mereka untuk mendidik masyarakat tentang diabetes.

Buku ini memaparkan kartun-kartun daripada komik Old Master Q. Watak-watak berkenaan menyampaikan pelbagai mesej melalui beberapa kartun lerang yang amat mudah difahami oleh pembaca. Kartun-kartun berkenaan diselang selikan dengan beberapa artikel pendek yang dibuat secara menarik yang menerangkan tentang diabetes, cara pencegahan, cara pemakanan serta beberapa tips serta nasihat-nasihat lain.

Satu soalan yang saya kemukakan kepada pihak berkenaan ialah kenapa tidak menggunakan pelukis kartun tempatan untuk menyampaikan mesej berkenaan. Mengapa perlu menggunakan pelukis dari Hong Kong, tidakkah ia memerlukan perbelanjaan yang besar? Saya dimaklumkan bahawa pihak NGO mendapat khidmat pelukis secara percuma, tiada satu sen pun yang perlu mereka keluarkan untuk bayaran pelukis. Mereka hanya perlu mencari dana untuk mencetak komik ini sahaja. Mereka berjaya mendapatkan tajaan untuk cetakan, lalu buku ini terhasil dan diedarkan secara percuma.

Alkisahnya pelukis berkenaan sedang bercuti di Pulau Pinang. (Pelukis asal Old Master Q ialah Alfonso Wong. Beliau menggunakan nama pena Wong Chak yang juga merupakan nama Cina anak sulung beliau Joseph Wong. Alfonso telahpun meninggal dunia dan Joseph mengambil alih melukis komik tersebut hingga ke hari ini). Di sana beliau secara kebetulan telah menemui tempat NGO ini lalu mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti mereka. Melihatkan komitmen mereka dalam usaha untuk memerangi diabetes, Joseph telah menawarkan khidmat beliau sebagai satu cara beliau untuk menyumbang kepada masyarakat, and the rest is history.

Apabila pihak luar mempunyai kesedaran untuk melakukan kerja amal sebegini, kita sepatutnya mempunyai sedikit rasa malu. Belum ada lagi komik yang khusus tentang kesihatan hasil air tangan pelukis kita. Saya membayangkan sebuah majalah khas seperti Gila-Gila ataupun Ujang, namun pengisian kartunnya adalah tentang kesihatan dan gaya hidup sihat yang disampaikan dengan gaya penuh humor. Ya saya tahu idea ini mungkin tak ke mana, apatah lagi dengan perkembangan dunia humor tanah air yang semakin suram. Tapi ia tak mustahil untuk dilaksanakan kan!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KITAB TAMADUN ROM - Hafizul Adnen

  Tebal sungguh buku ini. Berminggu juga hamba ambil masa nak menyudahkannya. Hafizul Adnen menghidangkan kepada pembaca perkara yang jarang...