Rabu, 13 Februari 2019

JEJAK SENI JOHAN JAAFFAR - Tan Sri Johan Jaaffar



Terlalu banyak yang diceritakan oleh penulis di dalam buku ini. Bahkan hamba percaya banyak lagi yang tidak dituliskan beliau. Keghairahan serta keseronokan beliau menulis dapat dihayati melalui penceritaan di setiap bab dan mukasurat. Inilah kisah Tan Sri Johan Jaaffar yang menulis khusus tentang pengelibatan beliau dalam bidang seni. Buku ini boleh sahaja menjadi autobiografi beliau. Tetapi Johan benar-benar mengikuti tajuk buku ini. Ia hanya berkisah tentang perjalanan seni beliau. Kisah hidup beliau yang lain hanya disentuh secara mendatar itupun hanya yang berkait dengan kerjaya seni beliau. justeru peminat beliau yang mahu mengetahui riwayat hidup beliau dengan lebih mendalam terutamanya kisah beliau menerajui Syarikat Utusan Melayu dan juga Media Prima Berhad, mungkin harus menunggu buku yang lain pula - sekiranya ada!

Kisah perjalanan seni penulis memakan masa yang panjang - melebihi 50 tahun! Bermula daripada kenangan dan pengalaman bangsawan semasa zaman kanak-kanak, diikuti pengelibatan dalam kumpulan sandiwara kampung - Badan Bestari Sungai Balang, zaman universiti yang menyaksikan beliau lebih aktif terutamanya setelah mendekati kumpulan Anak Alam, sewaktu di DBP dan seterusnyalah ketika di Utusan dan Media Prima.

Namun antara kesemua zaman itu,kisah bangsawan semasa beliau kanak-kanaklah yang paling menarik perhatian hamba. Hamba tidak ada banyak pengetahuan tentang bangsawan. Yang ada hanya kisah sedikit sebanyak yang hamba baca di mana-mana media. Tetapi pengalaman penulis dengan bangsawan memberikan hamba banyak perkara baru - kehidupan mereka, gaya hidup, cara mereka berinteraksi sesama sendiri serta bersama peminat, jatuh bangun mereka dan lain-lain lagi. Dalam bab bab ini hamba lihat penulis adalah seorang yang adventurer, berani mencuba apatah lagi tahu berusaha untuk mencari wang saku sendiri.

Memandangkan hamba tidak melalui zaman ini maka segala kisah dalam bab bab ini adalah amat menerujakan. Dari keghairahan bersama Bnitang Timur Opera hinggalah kepada 'keghaiban' mereka secara tiba-tiba dan kisah yang berlaku selepas itu, dapat memberikan gambaran tentang kehidupan masyarakat ketika itu sama ada 'artis' bangsawan itu sendiri ataupun masyarakat kampung di sekitar.

Dalam bab bab yang lain yang lebih panjang lagi kisahnya, dapat hamba katakan bahawa penulis adalah seorang yang berani mencuba, berani mengambil risiko serta ghairah untuk menghasilkan produk yang baik dan berkualiti. Adalah amat membanggakan penulis apabila ramai daripada kalangan yang pernah dididiknya menjadi sebuah nama besar di kemudian hari. Hamba kagum kerana penulis dapat mengingati nama-nama mereka yang pernah terlibat dengannya dalam dunia pementasan/teater dengan baik. Bahkan beliau amat menghargai jasa kawan-kawan yang pernah susah senang bersama dengannya. 

Buku ini secara tidak lansung memberitahu hamba tentang peribadi ataupun Johan di sebalik tabir. Ini kerana mata hamba lebih banyak melihat beliau sebagai peneraju badan korporat serta penulis berbanding dengan kerjaya seni beliau secara menyeluruh ataupun keperibadian beliau sendiri. Buku ini walaupun khusus tentang dunia seni beliau tetapi hamba melihatnya boleh juga menjadi satu bentuk motivasi kepada orang ramai untuk berjaya mencapai apa yang mereka impikan. dari seorang budak kampung dan seterusnya menerajui organisasi yang disenaraikan di bursa saham, bagi hamba ini bukan calang-calang orang. Dan hamba melihat kesemua kejayaan ini bermula dari satu punca yang agung - ayah beliau!! Ketika semua anak Melayu di kampung itu belajar di sekolah Melayu, Johan dihantar ke sekolah Inggeris walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi, apatah lagi keluarga mereka bukan sebuah keluarga yang senang. Kisah penulis yang berusaha keras untuk memajukan mutu bahasa Inggeris beliau turut memikat hati hamba. Tidak hairan hari ini hamba dapat melihat mutu bahasa Inggeris beliau amat tinggi. Hamba suka membaca tulisan beliau di The Sun - The Bowerbird Writes - kualiti penguasaan bahasa bersama kualiti pancaran minda.

Dia atas meja hamba ada lagi buku Johan yang belum dibaca. Mungkin perlu dimulakan segera...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...