Sabtu, 2 Februari 2019

OPHELIA - S.Kausari



Bermula dengan prolog yang baik, keinginan untuk meneruskan pembacaan mula membakar. Ditambah dengan kebolehan penulis menyusun ayat dan penceritaan. Namun lama kelamaan semangat hamba mula mendatar terutamanya apabila tumpuan penceritaan terlalu banyak berlaku di dalam terowong. Rasanya lebih separuh daripada penceritaan berlatar tempat di dalam terowong di bawah House Of Ophelia yang namanya digunakan sebagai tajuk novel ini. Walau bagaimanapun nama Ophelia itu sendiri umpama tidak ada kena mengena dengan pelbagai kejadian di dalam terowong berkenaan.

Penceritaannya lebih kurang sama sahaja dengan novel-novel seram yang anda pernah baca daripada penulis-penulis yang lain. Ia berkisar tentang pengalaman/kejadian/peristiwa yang menimpa/terjadi kepada sekumpulan pengkaji paranormal. Dan di dalam novel ini ia bertumpu kepada sebuah terowong seperti yang hamba sebutkan di atas. Kebetulan semasa berusaha menghabiskan novel ini hamba sempat menonton filem As Above So Below yang latar tempatnyanya juga merupakan terowong bawah tanah di Peranchis.

Terowong dalam Ophelia terasa begitu panjang. Tidak padan dengan kedudukannya di bawah rumah peninggalan zaman kolonial. Membacanya merasakan kesemua watak telah berjalan hingga berkilometer jaraknya. Terlalu banyak kejadian yang berlaku sepanjang masa kumpulan Xtreme Parahunters bersama rakan baru - Laura, Sam dan Rajen tempuhi sepanjang berada di dalam terowong berkenaan yang kalau mengikut lojik akal mereka semuanya telah kehabisan tenaga kerana tidak habis-habis bertarung dengan pelbagai makhluk yang ada. Oh ya Sam bahkan sempat mengajar asas mempertahankan diri serta menggunakan senjata termasuk pedang semasa di dalam terowong tersebut. Kecuali watak-watak ini sama tenaganya dengan watak cerita kartun, maka persoalan tenaga itu bolehlah kita letak ke tepi.

Hamba juga merasakan inilah kali pertama hamba membaca novel yang begitu banyak menggunakan teknik imbas kembali (flashback). Tidak dinafikan bahawa teknik ini digunakan bagi memperincikan/memperjelaskan tentak sesuatu watak, namun kadang-kadang ia berada tidak pada tempatnya. Contohnya semasa adegan suspen Jade dan aqil sedang mencari Zahed yang dilarikan suatu makhluk, teknik ini digunakan buat watak Jade mengenang permulaan beliau dalam dunia sihir dan Aqil yang mengenang kisah misteri sewaktu zaman kanak-kanaknya. Apa yang nyata, novel ini memang sarat dengan adegan imbas kembali.

Ada satu dialog oleh watak Ebriza pada muka surat 297 yang agak mengelirukan hamba. Ia berbunyi; " Sebenarnya dalam agama kami (Islam), yang diharamkan adalah meminta bantuan atau pertolongan daripada makhluk halus berupa jin, syaitan dan iblis untuk melaksanakan sesuatu hajat. Berlainan kalau mereka yang menawarkan pertolongan seperti zaman Nabi Sulaiman. Meminta pertolongan daripada mereka boleh menjadi syirik dalam agama Islam.........."

Dialog ini secara kasarnya boleh ditafsirkan sebagai kalau kau nak mintak tolong setan itu syirik, tapi kalau mereka offer maka boleh saja!! wahai penulis, sama ada kita meminta pertolongan atau bersetuju menerima pertolongan mereka ia sama sahaja, ia tetap syirik. Perbandingan yang anda buat dengan Nabi Sulaiman adalah batil. Anda mesti tahu bahawa Nabi Sulaiman tidak meminta pertolongan mereka, bahkan Baginda mengarahkan mereka dengan izin Allah jua. Perkara ini adalah mukjizat yang khusus buat Baginda sahaja dan tiada pada Nabi yang lain. Sekiranya menerima bantuan makhluk ini adalah harus sudah tentu dalam kisah Nabi yang lain juga akan ada kisah seperti nabi Sulaiman. Justeru, keistimewaan ini tidak ada pada insan yang lain. Anda boleh sahaja merujuk kepada para alim yang muktabar untuk penjelasan perkara ini (tetapi bukan merujuk dengan ustaz pesbuk ya).

House Of Ophelia dikatakan sebuah rumah peninggalan zaman kolonial ataupun British. Justeru seharusnya misteri yang ada di terowong berkenaan berkait dengan zaman ini atau selepasnya. Tetapi antara penampakan yang muncul di dalam terowong berkenaan termasuklah askar Jerman, seperti kata Rajen pada mukasurat 313. Tidaklah hamba ketahui sekiranya pernah ada askar Jerman yang berperang dengan British sewaktu mereka di Tanah Melayu ataupun ada askar Jerman yang dieksport begitu jauh dari tanah air mereka semata-mata untuk dihukum/disiksa di Tanah Melayu. Kalau askar Jepun yang penulis wujudkan, kaitannya masih relevan lagi.

Penulis juga harus teliti dalam pemilihan kata agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pembaca. Kita lihat pada ayat ini seperti yang terdapat di halaman 345;' "Assalamualaikum Pak Zaki," pamit Hamdani, ayah Aqil. Perbualan ini berlaku semasa Encik Hamdani baru bersua dengan Pak Zaki. Tetapi perkataan pamit ini bererti permisi akan pergi (berangkat, pulang); minta diri. Yang demikian, penggunaan perkataan pamit adalah tidak kena pada tempatnya. Pesan hamba usah terlalu ghairah menggunakan istilah yang jarang digunakan dalam perbualan harian kita tanpa merujuk terlebih dahulu akan maksudnya di dalam kamus. Ia sama seperti kekeliruan orang kita dengan perkataan sirna dan sinar. Ada yang menganggap sirna itu sama maknanya dengan sinar sedangkan sirna bermaksud hilang ataupun lenyap. Ini jenis mereka yang hanya mengutip perkataan yang sedap didengar daripada lirik lagu tanpa mengetahui akan maksudnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...