Isnin, 4 Februari 2019

SENSHIN KORU - Gwendalvonlee




Oraittttt!!! Jangan kalut sekiranya tidak menjumpai novel ini di mana-mana kedai buku apatah lagi kedai basikal. Ia hanya dijual secara 'bawah tanah' dan peminat perlu menghubungi terus penerbitnya untuk memiliki novel ini. Diterbitkan oleh Adana Enterprise dan anda boleh menghubungi mereka di talian 03-61446525 atau melalui e-mel di alamat adanapublishing@gmail.com.

Walaupun kulit mukanya bertulisan bahasa Inggeris dan perkataan seperti bahasa Jepun, novel ini menggunakan bahasa Melayu. Sekali sekala dialog bahasa Inggeris akan muncul walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian. 

Anime dan manga adalah sesuatu yang sering dikaitkan dengan negara matahari terbit. Pengaruhnya ke atas masyarakat amat besar baik yang berbentuk lukisan, animasi hinggalah kepada budaya cosplay. Dalam animasi dan komik ia amat mempengaruhi segelintir pengkarya tempatan yang membawa (ataupun terikut-ikut) gaya berkenaan ke dalam karya mereka. Bukan hanya pengaruh lukisan bahkan penceritaan dan idea juga turut mengikut cara mereka. Kerana itu muncul kisah-kisah pelik manusia mempunyai kuasa ajaib, dewa-dewa, perang kosmik, robot dan sebagainya. Namun pengaruh anime di dalam bentuk penulisan tidak banyak berlaku. Namun karya yang hamba kemukakan kali ini sarat dengan pengaruh anime di mana ia merupakan kegemaran penulis novel ini.

Kisah di dalam novel ini tidak hamba ketahui bila latar masanya, berkemungkinan pada masa akan datang. Latar tempatnya ada yang di bumi, planet serta galaksi yang lain. namun walaupun di mana latar tempatnya serta tamadunnya, nama-nama wataknya cenderung kepada nama-nama Jepun dan Korea yang hamba tidak tahu kenapa. Mungkin tamadun Melayu sudah musnah atau nama seperti Awang, Merah Silu, Malim Deman, Si Kembang Cina tidak cocok untuk kisah pengembaraan angkasa lepas masa hadapan.

Walaupun kisah novel ini kelihatan seperti usaha watak utamanya Senshin Koru bersama-sama rakannya dalam SKY1 mencari anaknya, Senshin Kakashi yang diculik sehingga di bawa merentasi galaksi ke Planet Salju, namun kisah sebenarnya adalah hubungan kasih sayang suami isteri iaitu antara Koru dan Thea Qistina yang banyak diungkapkan melalui teknik imbas kembali. Kisah mereka memakan lebih daripada separuh novel ini menjadikan kisah menyelamatkan Kakashi umpama satu kisah sisipan sahaja.

Thea Qistina yang disangka mati dalam satu kemalangan bersama juak-juak mereka rupanya masih hidup. Beliau dalam identiti yang dikenali sebagai puteri Hwang Ri kerabat terakhir negara Georgia. Bezanya kini Hwang Ri tidak menyimpan memori silamnya. Dalam pencarian ini Koru bertemu semula Qistina yang telah kehilangan memori lalu ini. Jadi dalam masa inilah pelbagai kenangan lalu muncuk dalam bentuk imbas semula.

Kisah seperti ini adalah menjadi kegemaran mereka yang menyukai novel cinta jiwang karat bercampur aduk fantasi. Hamba pula sekiranya membaca novel cinta lebih menyukai novel yang berasaskan realiti, cinta yang membina jiwa, tidak lalai, berasaskan agama yang kuat dan yang penting tidak mengarut. Adakah novel cinta sebegitu? Baca sahaja Tenggelamnya Kapal Van der Wijk!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...