Isnin, 22 April 2019

44 CINTA - Komik M & Tembakau



44 Cinta adalah merupakan himpunan koleksi komik yang pernah dilukis oleh kartunis Tembakau di bawah jenama Komik-M. Ia bolehlah dikatakan sebagai sebuah koleksi tribute buat almarhum yang telahpun meninggalkan kita pada Syawal tahun yang lalu. Di samping koleksi komik beliau, terdapat juga beberapa buat karya tribute hasil karya beberapa kartunis seperti Bophairy, Ahmad Nor Fitri, Mohd Ekram Hashim, Alifstyle, Azhar Abdullah dan lain-lain lagi. Selain itu beberapa catatan daripada rakan almarhum turut dimuatkan. Terdapat dua catatan istimewa yang turut dicoretkan oleh isteri almarhum, Siti Nuraznie, juga anak sulung beliau Izzah Azhar. Coretan isteri almarhum turut dimasukkan satu lukisan yang pernah dilukis khas untuk isterinya manakala pada coretan Izzah, beliau memasukkan beberapa lukisan hasil beliau sendiri. Jelas bakat Tembakau turun kepada anak sulungnya ini.

Karya-karya Tembakau penuh dengan falsafah. Pemikiran beliau disampaikan secara berkias dan menuntut pembaca untuk berfikir dengan lebih luas. Contohnya pada karya Hikayat Robot beliau cuba menyentuh tentang orang kita sebenarnya pernah memikirkan tentang robot pada masa dahulu. Beliau menggunakan Hikayat Indera Putera sebagai dalilnya. Di dalam hikayat tersebut terdapat pelbagai haiwan ajaib yang gagah perkasa untuk bertempur. Namun haiwan-haiwan ini bukanlah bergerak dengan kuasa sihir ataupun sakti seperti kelaziman sesebuah hikayat. Kesemua haiwan berkenaan mempunyai 'tali sawat' yang boleh kita terjemahkan sebagai satu alat mekanikal. Bukankah robot bergerak secara mekanikal.

Banyak karya almarhum yang 'bersepah' di merata majalah. Ia perlu dikumpul dan dijilidkan sebagai rujukan buat generasi akan datang terutamanya buat pencinta komik tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...