Rabu, 17 April 2019

HASAN - Dr Yazeed Hair Johari



"Nah, saya bagi tuan baca buku ni", kata seorang pegawai hamba yang ketika itu datang atas satu urusan. Hamba membelek-belek buku tersebut. Sebuah buku seram hasil penulisan seorang pegawai perubatan.

" Awak nak saya buat ulasan ke?"

"Nak bagi tuan baca. Tapi boleh juga kalau nak buat ulasan".

Hamba ambil buku tersebut sambil dalam masa yang sama memikirkan ratusan buku lagi yang telah hamba beli dan masih belum terusik. Kebetulan keesokan dan lusanya hamba ada tugasan luar pejabat jadi hamba berpeluang membacanya di dalam perjalanan dan dapat menghabiskan bacaan pada hari yang kedua.

Apa yang dapat hamba katakan adalah buku seram ini adalah berlainan daripada buku seram daripada beberapa penulis yang pernah hamba baca sebelum ini. Mungkin kelainan ini berpunca daripada kisah itu sendiri yang didakwa merupakan pengalaman sebenar yang berlaku terhadap penulis. Walaupun cara tulisan dan pengolahan penulis tidaklah sehebat penulis professional, namun tulisan beliau tidak bosan untuk dibaca bahkan ada debaran mennati di setiap bab yang disinggahi. Justeru buku ini hamba syorkan untuk bacaan peminat genre seram.

Seorang doktor telah dilatih dengan ilmu perubatan yang memerlukan kajian dan pembuktian secara saintifik. Perkara yang berkait dengan alam ghaib mungkin tidak begitu diminati/dihiraukan atau dipercayai oleh segelintir mereka. Namun pengalaman penulis menghadapi semua ini memberikan satu dimensi baru kepada beliau. 

Walaupun buku ini diberikan judul Hasan, nama yang merujuk kepada watak seorang pesakit di dalam buku ini, misteri yang berlaku adalah lebih daripada itu. Ia melebihi daripada Hasan itu sendiri, bahkan hingga ke saat akhir buku ini segala apa yang berlaku masih menjadi misteri dan penuh tanda tanya. Bahkan pengakhiran buku ini juga dibuat sejurus selepas penulis ditimpa kemalangan jalan raya yang akan menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada pembaca memandnagkan pencarian penulis terhadap semua jawapan masih belum lagi dinoktahkan.

Secara keseluruhannya kisah dalam buku ini berlegar kepada persoalan saka. Penulis yang berpindah ke sebuah daerah mengalami beberapa peristiwa ganjil di tempat baru beliau bertugas. Gangguan yang pada mulanya disangka datang daripada kemusnahan sebatang pokok di perkarangan hospital dan saka yang diwarisi Hasan menjadi bertambah misteri apabila didapati pada diri penulis juga ada sesuatu yang mendampingi. Boleh dikatakan kehidupan penulis amat meletihkan kerana sering diganggu tanpa mengira masa dan tempat. Lebih menyeramkan apabila gangguan ini menjadi 'pendua' atau menyamar watak-watak yang dikenali penulis bahkan menyamar sebagai penulis sendiri! Usaha untuk melawan anasir tersebut melalui bantuan beberapa kenalan juga tidak kelihatan mudah dan memakan masa beberapa lama juga. 

Buku ditangan hamba ini baru dicetak pertama kali pada Mac 2019. Ini bermakna ia masih baru dan hamba membacanya selepas baru sebulan di pasaran. Mungkin ada sambungan lagi bagi penulis memberikan jawapan kepada persoalan yang telah ditimbulkan. Kalau ada bermakna misteri buku ini masih belum selesai!


Nota - Buku ini telah dihadiahkan oleh saudari Zalilyani Khadijah. Terima kasih daun keladi, kalau ada berilah lagiII :-D




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...