Khamis, 16 Mei 2019

GILA-GILA #1



Sekalung tahniah hamba ucapkan di atas pelancaran apps GG Komiks beberapa minggu yang lalu. Yang paling istimewa tentulah penyiaran terbitan awal majalah ini yang boleh sahaja dibaca secara percuma. Walaupun hamba lebih suka membaca edisi fizikal, tapi hamba percaya bahawa pihak Gila-Gila terpaksa mengambilkira akan pesaingan pesat dalam era teknologi ini. Semoga kelahiran apps ini akan memberikan sinar baru buat majalah Gila-Gila yang masih lagi bertahan hingga ke hari ini semenjak keluaran sulungnya pada tanggal 1 April 1978.

Kebetulan hamba memang tidak pernah membaca edisi sulung Gila-Gila. Jadi hamba rasa seronok apabila dapat menatapnya secara digital. Cuma sebab mata orang sebegini sudah kabur maka agak tidak selesa untuk menatap di skrin yang kecil. Memandangkan ia tidak boleh di muat turun, maka hamba buat cetakan skrin untuk membolehkan hamba melihatnya menggunakan komputer desktop dan boleh juga untuk hamba cetak buat simpanan sendiri. Cuma kerja membuat cetakan skrin itu lecehlah sedikit dan memakan masa. Tetapi kerana nak membaca dengan selesa perlulah juga untuk menggigihkan diri.

Melihat kepada edisi pertama ini dapat kita katakan bahawa ketika ini Badol merupakan artis ataupun pelawak yang popular ketika itu. Kartun Zainal Buang Hussein (ZBH) bertajuk Nasib Si Bedul yang berasaskan filem Si Badul lebih menjelaskannya. Seperti yang kita ketahui ZBH memang pakar melukis karikatur dan menambahkan kelucuan dengan gerak badan watak-wataknya. Gila-Gila #1 dipasarkan dengan harga RM1 tetapi harganya kini telah mencecah ribuan ringgit mengikut harga collector. Kerana itu sekali lagi hamba mengucapkan terima kasih atas lahirnya apss ini kerana ia memberikan peluang untuk lebih ramai menatapnya ataupun yang tidak mapu membeli dengan harga keras berkenaan.

Diterajui oleh empat orang pemuda, selain ZBH adalah Jaafar Taib, Mizhar dan Azman (kini Dato'), kesemua mereka melukis untuk edisi awal ini. Selain itu terdapat juga kartun sumbanganpelukis-pelukis lain seperti Zamriabu, Rejabhad, Junhairi (Long), Alim, Nan, Mohd Ali Rabani dan lain-lain lagi. Hamba percaya lukisan, rekaletak, bingkai kartun dan kotak dialog banyak dilakukan secara manual. Kotak dialog contohnya akan dibuat pada helaian lain dan kemudiannya ditampal di atas helaian lukisan. Begitu juga dengan pewarnaan. Justeru kita akan merasai lukisan yang lebih asli dan bakat yang sebenar para kartunis.

Terdapat juga beberapa tulisan lucu hasil sumbangan orang ramai terutamanya dan anda perlu tahu bahawa Abdullah Hussein (kemudiannya menjadi Sasterawan Negara) ada menyumbang tulisan dalam edisi yang pertama ini.

Kelahiran Gila-Gila sebenarnya menjadi benchmark majalah-majalah kartun yang lahir selepasnya. Kebanyakan mereka cuba meniru cara Gila-Gila yang menyebabkan mereka ini kemudiannya tidak dapat bertahan lama. Ia juga membuka jalan untuk kelahiran lebih ramai kartunis sehingga menjadikan kerjaya sebagai pelukis kartun tidak lagi dipandang rendah.

Bermula daripada edisi pertama ini, secara perlahan-lahan Gila-Gila mula meningkatkan kualitinya. Kartunisnya mula dikenali dan pejabat mereka sering menjadi tumpuan para pelawat terutamanya daripada sekolah-sekolah. Beberapa siri kartunnya telah menjadi legenda seperti aku Budak Minang, Ayop Anak Tulakang, Periwira Mat Gila, Tiga Dara Pingitan dan banyak lagi.

Kita mengharapkan agar Gila-Gila terus bertahan walaupun cabarannya semakin kuat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...