Khamis, 30 Mei 2019

HARIMAU MALAYSIA DI SOMALIA - Syed Othman Syed Omar & Nik Amran Nik Abd. Rahman



Peristiwa di dalam buku ini tidak dapat tidak orang akan mengaitkannya dengan filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott. Filem berkenaan pula dihasilkan berdasarkan novel oleh Mark Bowden yang juga menggunakan tajuk yang sama. Filem ini menggambarkan keperwiraan askar-askar Amerika menyelamatkan rakan-rakan mereka yang terperangkap setelah helikopter Black Hawk ditembak jatuh oleh militia.

Filem berkenaan secara realitinya telah melupakan jasa-jasa askar Malaysia yang turut sama membantu di dalam operasi berkenaan. Bahkan askar Malaysia memainkan peranan besar di dalam operasi berkenaan dan turut melindungi askar Amerika yang sama-sama dalam misi menyelamat tersebut.

Buku ini tidak ditulis di dalam bentuk novel. Ia amat straight forward dan hanya menyebut tentang operasi yang dijalankan oleh tentera Malaysia ataupun MALBATT. Terdapat dua kisah operasi besar yang dialami oleh tentera kita dikisahkan di dalam buku ini. Selain daripada kisah di atas terdapat satu lagi peristiwa yang tidak berapa diketahui ramai iaitu peristiwa semasa majlis pembukaan Mahkamah Agung Benadir. Dalam peristiwa ini berlaku sedikit pertempuran. Sepatutnya majlis berkenaan turut dijaga bersama oleh tentera negara lain tetapi sama ada mereka tidak berada di lokasi ataupun cabut lari terlebih dahulu. 

Keadaan yang hampir sama juga berlaku dalam peristiwa Black Hawk Dawn ini apabila terdapat tentera negara lain yang turut serta dalam operasi ini menampakkan sifat penakut mereka dengan memberikan beberapa alasan seperti ketiadaan alat infra red yang menyukarkan melihat dalam gelap dan sebagainya. Bahkan tentera haprak ini hanya bergerak separuh jalan sahaja. Justeru yang sebenar-benarnya bertempur dengan para militia bolehlah dikatakan hanya askar Malaysia dan Amerika sahaja.

Ternyata operasi berkenaan memakan masa berjam-jam lamanya dan pastinya kesemua askar kita berada dalam keadaan yang amat getir. Beberapa kecederaan serta satu kematian lansung tidak mematahkan semangat para pejuang bahkan menjadikan mereka lebih bersemangat lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...