Isnin, 13 Mei 2019

KASYAF AIN - Ramlee Awang Murshid



Novel ini merupakan naskhah yang diterbitkan sendiri oleh penulis melalui RAM Typewriter. Edarannya juga dilakukan oleh pihak RAM sendiri. Kerana itu novel ini agak payah untuk ditemui (setakat ini hamba belum pernah menemuinya di mana-mana kedai buku). Pembelian boleh dilakukan melalui kelab RAM atau mana-mana pameran yang mereka adakan. Tidaklah hamba ketahui sekiranya pengedaran secara begini bagi menjadikan ia sebuah buku yang ekslusif atau sememangnya strategi pemasaran mereka. Sudah terbiasa dengan novel RAM yang diterbitkan oleh Karangkraf, justeru penampilan muka depan novel ini dilihat biasa-biasa sahaja tidak seperti kelaziman kulit muka buku RAM oleh Karangkraf yang sentiasa nampak menarik. Mujur jugalah isi dalamannya tidak sebegitu.

Bertemu nama Liau Gantua pada awal pembacaan, hati hamba terdetik bukankah nama ini pernah hamba temui dahulu? Lantas muka-muka surat yang seterusnya memberikan jawapan itu. Kisah dalam Kasyaf Ain adalah sama seperti kisah Tetamu Siang yang terkandung dalam Antologi Mistik Jembalang yang pernah hamba ulas pada 2015 dahulu. Bezanya dalam antologi berkenaan kisah yang dicatatkan ringkas sahaja lebih kurang 200 mukasurat dan lebih panjang dalam Kasyaf Ain. Dalam ulasan Tetamu Siang hamba ada menulis; '.....Novel ini akan lebih menarik sekiranya ruang masa antara kedua kurun tersebut diisi dengan usaha keturunan Adi untuk menghapuskan pontianak sehingga mengambil masa yang begitu lama. Alaf 21 sepatutnya menjadikan bahagian Ramlee ini sebagai sebuah novel lain yang boleh berdiri dengan sendirinya tanpa perlu bergandingan dengan penulis lain.' Walaupun RAM tidak menggunakan sela masa berkenaan untuk berkisah tentang usaha beberapa keturunan Tok Adi menghapuskan pontianak aka Cindai namun RAM berkiasah tentang usaha dua orang keturunan Tok Adi untuk menghapuskannya pada latar masa kini. Dan walaupun Alaf 21 tidak mengambil inisiatif untuk menjadikan Tetamu Siang sebagai sebuah novel berasingan, RAM telah melakukannya secara sendiri melalui Kasyaf Ain.

Kasyaf Ain mengambil dua latar masa iaitu hari ini dan pada pertengahan abad ke-19. Pada abad lalu ia menjurus kepada permasalahan syirik yang berlaku kepada sebuah kampung serta usaha untuk menghapuskan jembalang. Penghapusan etnik jembalang itu menyaksikan seekor daripadanya yang bernama Cindai telah terlepas.

Lepasnya Cindai itulah yang membawa kepada kisah ke latar masa kini apabila Cindai yang dianggap berada dalam sarungan Hanum Saskia telahpun dapat ditumpaskan oleh Syamel. Kisah bagaimana pembunuhan itu berlaku, asal usulnya dan lain-lain lagi diceritakan secara imbas lalu kepada seorang pegawai polis bernama Rosman yang sebenarnya mempunyai kaitan susur galur dengan Syamel.

Seperti yang hamba catat di atas, kisah dalam Kasyaf ain sama sahaja dengan ulasan pada Tetamu Siang dan anda boleh melihatnya di laman berkenaan. Hanya ia lebih panjang dengan penambahan plot dan konflik. 

Diakhir bab RAM membayangkan bahawa Cindai yang sebenarnya bukanlah berada pada tubuh Hanum Saskia bahkan pada tubuh Anita yang merupakan rakan sejawat Rosman. Adakah ini satu lagi hint bahawa ia akan mempunyai sambungan lagi?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...