Jumaat, 10 Mei 2019

PANGLIMA SALLEH SELEMPANG MERAH - Zaharah Nawawi



Kita harus mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) kerana mencetak kembali buku ini. Kali pertama ia dicetak adalah pada 1998 sehinggalah kali terakhir pada 1995 melalui cetakan ketiga. Jika tidak generasi terkemudian bukan sahaja tidak dapat menghayati sejarah getir orang Melayu ini bahkan buku cetakan yang lama akan dijual dengan harga yang kadangkala tidak masuk akal. 

Apa yang boleh hamba katakan adalah, semua anak bangsa kita wajar membaca buku ini. Melaluinya kita akan tahu betapa perit dan getirnya kehidupan sekitar pendudukan Jepun di mana kerisauan bukan sahaja terhadap tentera Jepun tetapi juga terhadap pengganas komunis yang juga sedang meluaskan pengaruh. Anak bangsa juga harus tahu akan keberanian nenek moyang mereka mempertahankan tanah air tanpa rasa takut walaupun hanya mempunyai senjata yang terhad. Semangat yang ada pada mereka telah mencetuskan keberanian yang luar biasa sehingga bisa menakutkan para musuh. Ia ini bukan kisah rekaan sebagai hiburan amsa lapang. Anak bangsa kita harus membaca buku ini agar sedar bahawa dapatnya kita berehat di rumah atau pergi bercuti ke mana-mana tanpa rasa risau adalah kerana jasa nenek moyang kita dahulu yang terlebih dahulu menggadai nyawa. Bahkan buku ini juga akan mengajar kita tentang musuh bangsa serta musuh dalam perjuangan itu sendiri.

Latar waktu buku ini adalah sekitar zaman pendudukan Jepun. Kita sering mendengar betapa kejamnya Jepun ketika memerintah. Kita mengetahui betapa sengsaranya rakyat Tanah Melayu ketika itu, tetapi kita kurang tahu sewaktu itu juga rakyat turut tertekan dengan adanya komunis. Mebaca buku ini hamba agak sedikit terkejut kerana walaupun latar waktunya adalah di zaman Jepun, tetapi kekejaman yang sebenar dan lebih besarnya datang daripada pengganas komunis. Tidak dapat hamba bayangkan akan kehidupan pada waktu itu. Tidak cukup dengan Jepun, komunis juga bermaharajalela.

Mangsanya pada waktu itu tentulah orang Melayu. Meeka dihendaki memberikan sumbangan kepada komunis di hutan. Orang Melayu juga dibunuh sesuaka hati. Sering terjadi orang yang pergi ke bandar untuk membeli barang tidak kembali lagi. Batang-batang kayu ada tersedia di kedai-kedai di bandar untuk memukul orang Melayu. Mereka akan diikat kemudiannya di dalam guni sebelum direbus hidup-hidup di dalam kawah. Ada yang dipanggil untuk bertanam ubi yang sebenarnya diarah menggali lubang sebelum mereka kemudiannya ditanam hidup-hidup. 

Orang Melayu adalah bangsa yang penyabar. Hingga hari ini kita masih orang yang penyabar. Walaupun diseksa sebegitu teruk namun mereka masih lagi sabar. Namun perlu diingat kesabaran bangsa ini ada batasnya. Apabila ia melampaui hadnya maka barulah ia akan meledak dan selepas itu berlakulah amukan yang tidak dapat ditahan lagi. Inilah yang berlaku kepada orang Melayu ketika itu. Ketika keadaan menjadi semakin buruk, muncullah Panglima Salleh menawarkan diri bagi memimpin orang Melayu untuk bangkit berjuang menentang komunis.

Sebelum hamba pergi lebih jauh, suka hamba ingatkan bahawa penulisan buku ini dilakukan oleh penulis denagn terlebih dahulu mengumpul maklumat daripada mereka yang pernah terlibat seperti para pejuang, keluarga Panglima Salleh sendiri termasuk juga keluarga Dato' Onn. Justeru ia bolehlah dikatakan sebagai sumber daripada orang pertama. Sumber lansung daripada panglima Salleh tidak ada memandangkan beliau telah meninggal dunia pada 21 April 1959.

Ketika memulakan perjuangan, tidak ramai yang mahu turut serta, tidak sampai 40 orang pun. Sama ada mereka takut ataupun belum begitu meyakini akan kepimpinan Panglima Salleh. Namun kejayaan demi kejayaan yang diperolehi membuatkan sokongan yang diberikan semakin bertambah. Semakin ramai yang menyertai perjuangan. Apatah lagi apabila mereka berjaya menumpaskan beratus-ratus komunis dalam sesuatu pertempuran dengan kadang-kadang tiada seorangpun para pejuang yang menemui kecelakaan.

Orang menyangka Panglima Salleh kebal. Tetapi di dalam buku ini dinyatakan beliau sendiri menganggap dirinya orang biasa sahaja bahkan ada peristiwa yang membuatkan bahunya tercedera. Begitu juga dengan kisah parang terbang yang sering dikaitkan dengan beliau, tiada satupun episod di dalam buku ini yang menceritakan hal berkenaan. Selempang merah juga hanya diberikan kepada orang tertentu dan ia hanya kain biasa yang ada dibacakan doa. Air Yasin yang diberikan minum tidak lebih hanya untuk membangkitkan semangat sahaja.

Walaupun zaman berkenaan alat perhubungan adalah terhad dan tidak canggih lansung, musuh dalam selimut dapat bergerak dengan cukup pantas membocorkan rahsia para pejuang. Lebih malang bukanlah orang lain yang membocorkannya tetapi mereka yang menjadi gunting dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam.

Satu rancangan besar untuk merancah komunis di Batu Pahat telah merisaukan para pemimpin komunis. Mereka yang berselindung di sebalik kelab-kelab cina telah meminta bantuan Dato' Onn untuk memujuk Panglima Salleh menghentikan serangan. Dato' Onn berjaya memujuk beliau dan Bandar Batu Pahat aman daripada serangan. Peristiwa itu kemudiannya membawa kepada perjanjian perdamaian antara komunis dan penduduk temapatan. Untuk makluman ketika itu Jepun telahpun menyerah dan British telahpun kembali. Tetapi komunis tetap komunis. Mereka masih lagi membunuh orang Melayu hingga membuatkan para pejuang bangkit kembali. Perkara ini mengajar kita bahawa orang Melayu ini memang suka kepada perdamaian sedangkan musuh hanya mahu membuat helah sahaja. Ia mengajar kita juga agar tidak mudah percaya kepada sesuatu pihak yang hanya menjadi musang berbulu ayam.

Perjuangan Panglima Salleh diiktiraf oleh pihak istana. Gelaran panglima itu juga turut diiktiraf oleh baginda Sultan. Panglima Salleh telah dilantik sebagai penghulu Mukim Empat pada 26 Disember 1945. Beliau turut dianugerahkan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) pada 17 September 1955.

Buat pengkhianat bangsa, hati-hati mengacah orang Melayu. Kesabaran mereka nampaknya makin terhakis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...