
Memandangkan ideanya adalah daripada Ujang, hamba melihat Abe mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan watak dalam novel Jibam, juga oleh Ujang. Watak seorang kanak-kanak bodoh-bodoh alang, yatim dan kerap dibuli. Bezanya membaca Jibam akan terasa lebih tragis justeru disampaikan dalam gaya yang serius manakala Abe lebih santai dan penuh kelucuan di sana sini. Kelucuan pada lukisan oleh Aie ini tidak terhad kepada dialognya sahaja bahkan kepada gaya kartun itu seperti memek muka dan gerak laku yang menimbulkan kelucuan yang tersendiri.
walaupun Abe adalah watak yang sepatutnya menjadi tumpuan, kadangkala kita seperti melihat watak Che Din, seorang pemuda yang kerap membela Abe ketika dibuli seperti lebih dominan. Che Din seorang pemuda kampung yang tidak mempunyai kerja tetap, dipandang rendah oleh keluarganya, dicemburui beberapa kutu kampung tetapi juga disenangi kerana akhlaknya yang baik serta sifatnya yang ringan tulang.
Abe menjadikan Che Din sebagai teman serta tempat mengadu hal terutama apabila dibuli oleh anak-anak kampung. Che Din pula rajin melayan karenah Abe yang kelakuannya kadang-kadang mendatangkan kemarahan orang lantaran sifat dirinya yang tidak sempurna. Kehidupan Abe umpama malap apabila Che Din yang menjadi pembela beliau meninggal dunia akibat kemalangan diikuti dengan kematian nenek beliau.
Lukisan Aie di dalam Abe banyak menumpukan kepada suasana kampung. Beliau melukis dengan agak detail justeru sesuai untuk dijadikan kepada para pelukis amatur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan