Sabtu, 8 Jun 2019

MEMBUNUH MUHAMMAD - Hilal Asyraf



Membaca novel-novel Melayu atau antarabangsa yang mengungkapkan kisah merentasi masa atau penggunaan mesin masa (time machine) bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa penulis yang pernah hamba ulas novel mereka di blog ini ada memasukkan elemen berkenaan. Namun pernahkah anda terfikir bahawa akan ada suatu hari nanti penulis yang membawa anda merentasi masa hingga ke zaman RasululLah? Misi tersebut menjadi besar apabila pihak musuh merentasi masa ke zaman berkenaan untuk membunuh Baginda. Benar, menulis tentang hal ini adalah sesuatu yang luar biasa dan amat bahaya. Terlalu banyak yang boleh ditafsirkan andainya penulisan hal sebegini dilakukan secara semberono. Misalnya, akan adakah hadith yang diriwayatkan oleh manusia yang datang dari masa depan? Adakah mereka berstatus sahabat kerana hidup di zaman itu bahkan pernah bertemu muka, mendengar ajaran Baginda walaupun tiada komunikasi lisan secara lansung. Berlapang dadalah apabila membaca novel ini. Banyak yang anda boleh fikirkan dan banyak pula pengajaran yang cuba disampaikan.

Novel ini adalah sambungan kepada Samurai Melayu dan merupakan siri terakhir dalam kumpulan novel Hero. Sebagai sebuah novel kemuncak suka hamba nyatakan di sini bahawa ia merupakan sebuah novel yang terbaik. Lebih baik daripada Samurai Melayu. Ia umpama anda menonton siri Avengers, maka episod endgame yang merupakan kemuncak siri berkenaan adalah yang terbaik serta yang paling ditunggu-tunggu. Novel ini tidak menunggu lama untuk memanaskan pembacaan. Dua misi berjalan serentak. Satu misi merentas masa ke zaman RasululLah bagi menghalang Nobu dan rakan-rakannya yang merancang untuk membunuh Baginda. Satu lagi misi memburu serta menghapuskan kumpulan Ryuken di Jepun. Sekiranya dijadikan filem maka kita akan dapat menyaksikan aksi yang tidak putus-putus. Tidak dinafikan agak sukar juga untuk membayangkan aksi pertarungan melalui pembacaan teks tetapi percayalah bahawa aksi yang ingin diceritakan adalah amat sengit sekali.

Melalui misi membunuh Nabi, Nobu menggunakan tiga lompatan iaitu yang pertama semasa RasululLah belum lahir, kedua semasa berlakunya perang Uhud dan yang terakhir ke satu tarikh rawak. Dalam lompatan yang pertama dan kedua, Mus'ab bersama Bakri dan Faisal berjaya memintas dan menggagalkan rancangan Nobu. Namun Nobu lebih licik kerana lompatan pertama dan kedua lebih kepada untuk memancing serta mengelirukan ketiga-tiga pahlawan tadi. Lompatan ketiga menjadi debaran kepada pembaca apabila ketiga-tiga mereka tidak dapat mengetahui ke masa mana menjadi hala tuju Nobu lantaran mesin masa mereka telah berjaya digodam musuh.

Sementara di Jepun misi untuk menjejak dan menghapuskan Ryuken juga bukan merupakan satu misi yang mudah. Untuk episod pertarungan di Jepun, pembaca perlu berimaginasi seolah melihat pertarungan antara Iron Man dan Godzila. Ia merupakan pertarungan yang seimbang serta mempunyai debaran yang tersendiri.

Dalam pada pembacaan novel ini, penulis cuba menyelitkan banyak mesej kebaikan serta Islam itu sendiri. Ia disampaikan secara sederhana dan tidak berlebih-lebih. Watak-watak baiknya adalah sederhana serta tidaklah digambarkan terlalu sempurna umpama malaikat sepertimana beberapa buah novel yang pernah hamba baca. Ia adalah lebih realistik serta bertepatan dengan suasana masyarakat sebenar.

Persoalannya sekarang perlukah hamba membeli baki tiga novel awal siri ini untuk mengetahui kisahnya secara lengkap. Duhai Asyraf silalah kirimkan daku tiga novel itu!!


2 ulasan:

  1. Dah baca siri pertama.... ingat nak lompat teruskah ke siri 5

    BalasPadam
    Balasan
    1. walaupun setiap novel boleh berdiri dengan sendirinya, tetapi pandangan hamba yang tidak membaca siri ini dari mula, terasa bagaikan ada kekosongan di situ. Kalau mampu mengikuti semua siri maka itu adalah lebih baik.

      Padam

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...