Isnin, 10 Jun 2019

RANJAU - ZOY



Walaupun telah membelinya sebaik sahaja terbit pada 2016, hanya pada minggu ini sahaja dapat hamba membelek dan menamatkan pembacaan. Nak buat macam mana, buku terlalu banyak di rumah menunggu untuk dibaca. Masa pula perlu dibahagikan untuk lain-lain perkara juga. 

Ini merupakan sebuah karya tribute buat kartunis ZOY yang telahpun kembali ke rahmatulLah pada 5 Mei 2016. Ia merupakan kompilasi karya beliau yang pernah diterbitkan di bawah MOY. Apabila menyebut tentang ZOY, para peminat komik tempatan pastinya membayangkan karya-karya yang berlatar belakangkan seni bela diri. Hamba belum bertemu lagi mana-mana pelukis tempatan yang karyanya banyak memaparkan tentang seni bela diri khasnya seni silat nusantara selain beliau. Pernah hamba terbaca di satu tempat bahawa dikatakan ada pengamal seni bela diri yang tidak berpuas hati dengan karya ZOY kerana seolah memaparkan rahsia gerakan silat perguruan mereka. Hamba berpandangan bahawa mereka tidak perlu risau. ZOY bukannya mengajar setiap langkah satu persatu dan belajar melalui seni gambar adalah tidak sama dengan belajar melalui guru. Sikap negatif begini sebenarnya boleh menghalang minat seseorang kepada karya komik tempatan termasuk seni bela itu sendiri.

Melihat kepada Ranjau, adegan pertempuran dan perkelahian seakan tiada kesudahannya. Pemergian Ahmad Nizam ke ibu kota bagi mencari pekerjaan, walaupun baru beberapa hari sudahpun dipenuhi dengan babak berkenaan. Bagi menarik khalayak remaja, ZOY menyelitkan kisah cinta tiga penjuru yang akan menyebabkan pembaca berteka teki dengan kesudahannya. Selain daripada seni silat, pembaca boleh melihat lukisan seni bela lain seperti taekwondo dan gusti. 

Lukisan ZOY amat kemas dan teliti. Ia adalah gaya asli komik tempatan yang tidak dipengaruhi dengan gaya asing. Ia adalah gaya asli ZOY. Para peminatnya akan tahu gaya lukisan ZOY. Setiap ruang petak diisi dengan latar belakang yang sepatutnya tanpa meninggalkan ruang begitu sahaja. Setiap garisan yang dihasilkan terutama dalam babak perkelahian akan menambahkan lagi rasa real perkelahian tersebut. Selain Ranjau terdapat dua buah lagi komik pendek iaitu Gerak Tapak Rimau dan Badung.

Karya ZOY pernah tersiar di banyak lagi media cetak. Hamba harap pihak berkenaan sedia menerbitkan karya beliau dalam bentuk kompilasi. Tentu menarik kalau 'AYOKO' dapat dibaca semula kan!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...