Isnin, 14 Oktober 2019

MATAHARI - Tere Liye



Kali ini hamba tidak membaca siri karya ini yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu Malaysia, sebaliknya membaca teks asal dalam Bahasa Melayu Indonesia. Pada mulanya hamba terpaksa memberhentikan bacaan beberapa kali bagi mencari makna beberapa perkataan yang tidak difahami. Namun lama kelamaan pembacaan menjadi semakin lancar memandangkan terdapat perkataan yang telah dicari ditemui lagi pada muka-muka surat yang seterusnya. Antara perkataan-perkataan baru yang dapat hamba pelajari ialah:-

# Celemek - apron
# Spidol - pen marker
# Tongsi - selfie stick
# Petak umpet - permainan sorok-sorok (hide and seek)
# Tas ransel - beg galas
# Tameng tak kasatmata - medan kuasa halimunan (invisible force field)
# Kecoak - lipas
# Bola kasti - bola besbol
# Garpu tala - sepit udang (fork)
# Becus - mampu

Agak menarik pada beberapa perkataan Bahasa Melayu Indonesia ialah mereka memberikan pemaknaan kepada banyak perkataan Inggeris yang kadangkala di dalam Bahasa Melayu Malaysia menggunakan semula perkataan asal dalam bahasanya seperti perkataan apron dan marker. 

Sekiranya dalam dua buah bukunya yang lalu, Raib, Seli dan Ali telahpun melakukan petualangan ke dunia paralel Klan Bulan dan Klan Matahari, kali ini mereka memulakan misi mencari jalan ke Klan Bintang. Perlu diketahui dalam penceritaannya pada masa hari ini, tiada siapa yang tahu di mana kedudukan beradanya klan tersebut. Ali yang telah diberikan oleh Av sebuah alat yang mengandungi semua khazanah bacaan perpustakaan klan bulan telah menghabiskan banyak masanya meneliti, mengkaji dan menggali rahsia kesemua klan yang ada. Beliau bukan sahaja akhirnya mengetahui di mana keberadaan klan Bintang bahkan telah berjaya menggunakan ilmu pengetahuan tersebut bagi membina sebuah kapsul terbang yang turut mempunyai unsur kekuasaan makhluk Klan Bulan dan Klan Matahari.

kalau dahulu mereka dengan mudah dapat memasuki dunia klan lain menggunakan 'buku kehidupan' tapi kali ini mereka tidak berbuat demikian. Ini memandangkan Raib patuh kepada arahan Av dan Cikgu Selena yang sebelum itu tidak membenarkan mereka menggunakan buku itu tanpa kebenaran mereka. Kerana itu pengembaraan kali ini agak mencabar kerana buat pertama kalinya mereka menggunakan kepintaran mereka untuk mencari kedudukan Klan Bintang. Klan Bintang tidak berada di langit tinggi, sebaliknya mereka membuat koloni di dasar bumi! Menggunakan kapsul terbang ciptaan Ali yang dinamakan ILY (sebagai satu penghormatan di atas pengorbanan sahabat mereka Ily - sila rujuk buku kedua, Bulan) mereka melakukan penjelajahan dengan mengesan kedudukan lorong-lorong kuno menuju ke dasar bumi.

Walaupun pemergian mereka pada asalnya hanyalah sebagai satu petualangan dengan tidak membawa sebarang misi khusus, kedatangan mereka telah di salah anggap sehingga dianggap sebagai satu ancaman di dunia Klan Bintang. Boleh hamba katangan bahawa pertarungan yang mereka hadapi kali ini adalah lebih mencabar berbanding dengan pertarungan yang telah mereka hadapi di Klan Bulan dan Matahari. Musuh-musuh mereka semakin canggih. Namun Tere Liye mengimbangkannya dengan pertambahan kekuatan ketiga-tiga watak hasil pengalaman dan latihan. Bahkan kekuatan beruang jadian Ali dalam buku kali ini adalah lebih hebat apabila sebelum itu beliau telah menyuntik DNA Raib dan Seli ke dalam badannya hingga menyebabkan beruang jadian tersebut turut mempunya unsur kuasa seperti mereka berdua.

Buku kali ini banyak memfokuskan kepada kepintaran watak Ali. Ia juga menyingkap serba sedikit mengenai kehidupan Ali dan keluarganya yang sebelum ini tidak digambarkan sejelasnya dalam buku Bumi dan Matahari. Walaupun Raib merupakan watak utama di dalam siri ini, namun watak Ali merupakan satu watak yang memberikan kesan yang besar kerana kepintaran beliau banyak menyelesaikan masalah dalam pengembaraan mereka. Dalam buku ini juga Raib telah berjaya berterus terang dengan kedua 'ibu bapanya' tentang kuasa yang beliau miliki dan seterusnya mengetahui serba sedikit tentang asal usul beliau. Dalam buku ini juga buat pertama kalinya buku kehidupan dapat dibaca oleh Raib setelah dapat 'dibuka dengan kuncinya' di mana sebelum ini buku itu hanya kelihatan kosong. Yang nyata apa yang dikatakan buku itu bukanlah hakikatnya sebuah buku melainkan sebuah mesin canggih yang mencatatkan kisah kesemua waris keturunan murni serta sebagai satu alat yang boleh membuka portal menuju ke klan lain.

Jika dalam kedua buku sebelum ini semua masalah dapat diselesaikan di dalam buku berkenaan, dalam Matahari kisahnya belum berakhir hingga mendatangkan keresahan di jiwa pembaca!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...