Isnin, 25 November 2019

KOMET MINOR - Tere Liye


Ramalan hamba bahawa watak Batozar (rujuk novel Ceros Dan Batozar) akan muncul semula walaupun telah diledakkan sebelum ini adalah tepat. Beliau muncul dalam siri kali ini dan menjadi antara pendukung utamanya. Batozar muncul berteleportasi menerusi portal cermin yang dibawa Ali di dalam poketnya dan seterusnya membebaskan petualang tiga bersahabat berkenaan daripada cengkaman jaring perak.

Entah kenapa pada buku kali ini hamba merasa telah letih membacanya terutama apabila membabitkan kisah pertempuran. 100 mukasurat awal buku ini lebih banyak menceritakan perjalanan mereka di bumi klan minor yang kelihatan pelik, latihan kekuatan bersama Batozar serta pertempuran dengan cacing pasak yang menyaksikan Seli diracun haiwan tersebut.

Tere Liye apabila menimpakan sesuatu kepada wataknya tidak berbuat saja-saja kerana kekuatan persahabatan untuk menyembuhkan seorang sahabat beserta kekuatan diri untuk bertahan daripada serangan racun tersebutlah yang mendorong tuan Entre memberikan mereka kedudukan pertama cebisan senjata ampuh yang turut diburu oleh Si tanpa Mahkota. Ya setelah hamba dibosankan dengan 100 muka yang pertama, muka-muka surat yang seterusnya kembali membangkitkan adrenalin.

Senjata yang dicari mereka adalah hasil pertukangan Finale. Disebabkan satu peristiwa besar yang pernah berlaku ribuan tahun sebelum itu, Finale telah memisahkan senjata tersebut kepada tiga bahagian dan disimpan oleh tiga personaliti yang berbeza termasuk beliau. Ini kerana senjata tersebut pernah mencetuskan kebinasaan di dunia paralel beberapa ribu tahun yang lalu dan tidak seharusnya disimpan oleh sesiapa. 

Dua lagi bahagian senjata tersebut ada pada Arci dan Kulture. Tetapi untuk mendapatkan kesemua senjata tersebut bukanlah mudah apabila kumpulan petualang ini terpaksa menghadapi beberapa ujian sebelum penyimpan amanah senjata ini bersedia menyerahkannya. Tere Liye bijak menambahkan lagi rasa suspen pembaca apabila Si tanpa Mahkota berjaya merasmpas dua cebisan berkenaan dalam dua pertempuran. Ternyata beliau amat sukar ditumpaskan walaupun Raib, Seli dan Ali beserta Batozar telah menggabungkan kesemua kekuatan mereka.

Pertempuran terakhir mereka berlaku di sebuah kawasan lombong tempat Finale berada. Ia satu pertempuran yang hebat di mana Si Tanpa Mahkota bertemu dengan lawan yang setandingnya. Berbanding Si Tanpa Mahkota yang mempunyai pelbagai trik melawan (pukulan berdentum ,petir, berteleportasi dan sebagainya) lawan beliau kali ini - Finale, hanyalah seorang jaguh tangan kosong! Sekaligus menyampaikan mesej kepada pembaca bahawa seorang yang bijaksana boleh sahaja mengalahkan  musuhnya yang bersenjata.

Ya, Si Tanpa Mahkota akhirnya berjaya merampas cebisan terakhir dan menyatukannya, menjadikan para pembaca sesak nafas menantikan apa yang berlaku. Namun seperti biasa dalam buku-buku yang lalu, Ali sang geniuslah yang akan menyelesaikan masalah ini. Bagaimana? Bacalah sendiri.

Apabila Tere Liye memasukkan nama Ratu Calista dari Proxima Centauri, petualang baru bernama ST4R dan SP4RK serta kucing Raib si putih sebenarnya mempunyai kuasa yang tersendiri, hamba sudah mula mengeluh kerana memikirkan siri ini masih ada sambungannya dan belum lagi berakhir. Jangan risau Si tanpa Mahkota telahpun ditewaskan lewat buku ini. Kesemua nama di atas akan mempunyai novel lain yang terpisah kisahnya - seperti novel Ceros dan Batozar!

Dan jangan lupa, misteri siapa ibu bapa sebenar Raib masih belum terlerai.

Jadi berapa buah lagi buku nak keluar ni...........!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...