Ahad, 10 November 2019

PENANG THEN & NOW - Marcus Langdon & Keith Hockton



Di sebuah kedai buku dalam sebuah bangunan yang terletak bersebelahan hotel lokasi hamba bermesyuarat dua minggu yang lalu, hamba tertarik melihat begitu banyak tajuk yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang. Kebanyakan buku-buku tersebut tidak ditulis oleh anak tempatan tetapi oleh pengkaji dari luar negara. Ada dua kemungkinan kenapa anak tempatan tidak menulis berkenaan sejarah tanah airnya sendiri. Pertama samaada kurang minat atau kepakaran untuk menulis atau kedua kurangnya dana atau penajaan untuk melahirkan buku sedemikian. Buku-buku yang hamba lihat rata-ratanya dicetak dalam edisi coffee table yang sememangnya berharga agak mahal. Dalam hal buku ini ia mendapat penajaan daripada dua pihak yang gambar lama premis mereka turut terkandung di dalamnya. Ini bukanlah kali pertama kedua-dua penulis buku ini menulis tentang Pulau Pinang. Mereka pernah melahirkan beberapa buku yang berkaitan yang mana tajuk-tajuknya ada dipaparkan di dalam buku ini.

Ketika memilih buku ini, penjual memberikan pujian atas pilihan tersebut dan menyatakan bahawa buku ini baharu sahaja diterbitkan beberapa bulan yang lalu. Dalam kesempatan itu beliau turut menerangkan serba sedikit tentang buku ini dan memberikan pandangannya sebagai seorang kelahiran Pulau Pinang. 

Buku ini sepertimana tajuknya memaparkan perbandingan gambar beberapa tempat di Pulau Pinang sejak lebih 100 tahun dahulu dan sekarang. Ia dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu :-
                             i.  The Waterfront
                             ii.  Beach Street
                             iii. The Esplanade
                             iv. George Town Streets, dan
                             v.  Beyond The Town.

Gambar-gambar lama didapatkan oleh penulis daripada pelbagai sumber manakala bagi gambar 'hari ini' dirakamkan oleh Fox Foo. Dalam hal merakamkan gambar keadaan hari ini, jurugambar seboleh-bolehnya cuba mencari angle yang sama sepertimana gambar yang lama. Walau bagaimanapun tidak semua gambar dapat dirakam dalam kedaan yang sama. Ini disebabkan halangan seperti adanya adanya bangunan tinggi yang menghalang dan sebagainya. Oleh yang demikian, jurugambar turut menggunakan drone bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Pada tiap-tipa gambar yang dipaparkan, penulis memberikan keterangan ringkas tentang sejarah bangunan berkenaan seperti kegunaan asal, pemilikan serta keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Mana-mana bangunan yang mellaui perubahan, kerosakan atau dimusnahkan oleh sebab pepeprang turut sama diceritakan.

Tidak semua gambar lama yang dipaparkan masih wujud pada hari ini. Ada yang musnah disebabkan pengeboman zaman perang dunia serta perang Jepun. Ada juga yang rosak disebabkan peredaran zaman dan ada juga yang dimusnahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan yang lain. Contohnya seperti bangunan Chinese Palacial Residence seperti di bawah yang hari ini telah berdiri bangunan kondominium di lokasi yang sama. Ya bangunan yang saiznya umpama kompleks pejabat majlis perbandaran ini adalah sebuah kediaman. Bayangkan kekayaan pemilknya!


Jikalau diteliti, kesemua bangunan-bangunan ini amat sarat dengan senibina Eropah. Ia tidak menghairankan memandangkan penjajah tanahair datang dari dunia sebelah sana. Sekiranya tidak diberikan keterangan atau gambar berkenaan kosong daripada gambar manusia, tentu ada yang menyangka ia adalah gambar Eropah pada masa lalu. Sinibina lalu ini amat catik dan berseni. Binaannya juga kukuh serta masih banyak yang bertahan hingga ke hari ini. Walaupun demikian, dengan berlalunya masa, banyak bangunan ini mengalami sedikit perubahan sama ada dari segi renovasi kecil ataupun warna. Ada juga banguna yang ketika dahulu mempunyai kawasan yang lapang di sekitarnya kini telah berada di birai jalan.

Kalau kita menyangka semua yang dibina oleh bangsa Eropah ini adalah sempurna dan bebas daripada kecacatan, ia tidaklah begitu tepat kerana mereka juga adalah manusia yang sama dengan kita, pastinya ada melakukan kesilapan. Ini sepertimana catatan pada mukasurat 244 buku ini selepas menceritakan tentang projek landasan keretapi Bukit Bendera; '....It replaced an earlier attempt to construct a railway nearby, which, when completed in 1904, failed to operate due to serious flaws...'

Buku ini adalah satu koleksi terbaik untuk dimiliki oleh para pencinta sejarah. Adalah lebih seronok mempelajari sejarah melalui penceritaan bergambar beserta penerangan yang ringkas. Gambar bangunan-bangunan lama di Pulau Pinang masih banyak lagi yang boleh kita lihat di internet. Tidak semuanya ada dimuatkan di dalam buku ini disebabkan kekakangan tertentu. Anda boleh sahaja memilih mana-mana gambar lama (boleh sahaj di tempat anda sendiri) dan seterusnya cuba mencari lokasi kawasan berkenaan hari ini dan merakamkan gambar keadaan kawasan yang terkini. Hamba percaya ia akan menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...