Rabu, 4 Disember 2019

BIDADARI-BIDADARI SURGA - Tere Liye



Telah tujuh buah buku Tere Liye dalam siri Bumi hamba baca. Apabila membaca buku ini hamba tersentak apabila melihat begitu berbezanya cara penulisan beliau berbanding dengan siri Bumi. Siri Bumi sasarannya mungkin kepada pembaca remaja. Justeru gaya penulisannya lebih santai, sesuai anak muda dan lebih banyak unsur suspen dan keterujaan. Tetapi buku ini terasa lebih sasteranya, lebih melankolik dan lebih mencengkam jiwa. 

Satu sms yang hanya mengandungi 230 aksara yang dihantar oleh seorang ibu kepada empat orang anaknya - Dalimunte, Ikanuri, Wibisana dan Yashinta meminta agar mereka pulang segera menyebabkan kempat-empat mereka menghentikan serta merta pekerjaan mereka ketika itu dan memutuskan untuk pulang walaupun ketika itu kesemua mereka sedang dalam pekerjaan yang amat penting. Dalimunte yang sedang dalam pembentangan kajiannya di satu persidangan terus memberhentikan ucapannya, Ikanuri dan Wibisana yang baru sahaja sampai di Rome untuk satu urusan perniagaan penting terus sahaja membatalkan urusan tersebut dan memutuskan untuk pulang, manakala Yashinta yang sedang menjalankan kajian di kawah gunung berapi Semeru turut mengambil langkah yang sama. Ia akan menimbulkan tanda tanya kepada pembaca, apakah isi sms tersebut yang membuatkan mereka semua terus membatalkan segala urusan penting. Tere Liye hanya memaparkan isi kandungan sms tersebut pada bab terakhir novel ini.

Namun menelusuri novel ini kita akan tahu bahawa kakak kepada empat beradik ini sedang sakit. Kerana itu mereka semua mahu pulang. Tetapi tindakan mereka yang meninggalkan terus pekerjaan mereka yang amat penting semata-mata untuk pulang akan menimbulkan pertanyaan kepada pembaca, betapa penting atau besar watak kakak mereka - Laisa, sehingga kesemuanya buruan untuk pulang.

Tidak kesemua anak-anak kepada wanita bernama Lainuri dapat pulang dengan mudah. Kesemuanya mempunyai cabaran yang tersendiri. Tetapi semua cabaran yang dipaparkan sama sekali tidak menghalang mereka untuk pulang. Dalam memaparkan perjalanan pulang mereka, penulis banyak menggunakan teknik penulisan imbas kembali bagi memaparkan kenangan kesemua mereka bersama Laisa.

Melalui paparan kenangan inilah pembaca akan dapat mengetahui sekaligus menjawab persoalan kenapa kesemua adik-beradik ini mahu pulang dengan segera. Ternyata watak laisa merupakan seorang wanita yang terlalu banyak melakukan pengorbanan untuk adik-adiknya. Pesanan akhir arwah bapanya sebelum terkorban dibunuh harimau agar menjaga adik-adik benar-benar dipatuhi dan dijalankan dengan baik. Bahkan suka hamba menyatakan disini bahawa apa yang dipaparkan mengenai watak ini dalam memaparkan kasih sayang serta rasa tanggungjawab kepada adik-adiknya amatlah luar biasa. Dalam satu babak beliau tidak berfikir dua kali melindungi Ikanuri dan Wibisana, yang ketika itu sedang lari dari rumah, berhadapan dengan tiga ekor harimau di Gunung Kendeng.

Ternyata kesemua beradik ini turut menyayangi kakak mereka sehinggakan kesemua mereka lambat bernikah kerana tidak mahu melangkah bendul. Tapi mereka semua akhirnya bernikah juga setelah Laisa bertegas dengan mereka. kehebatan laisa bukan sahaja dalam pekerjaan menjaga dan memberi inspirasi kepada adik-adiknya, beliau bahkan seorang yang berwawasan jauh. Beliau telah berjaya menukar lembah kampungnya menjadi sebuah pusat penanaman strawberi yang berjaya sekaligus membantu ekonomi penduduk desa. Kerana ketabahan dan keteguhan jiwa inilah yang menyebabkan masyarakat desa juga turut hormat kepada beliau.

Semasa membaca, hamba tersedar yang penulis banyak menceritakan tentang perjalanan pulang Dalimunte, Ikanuri dan Wibisana sahaja. Tetapi kisah Yashinta seolah terhenti setelah dia memutuskan untuk turun dari gunung. Rupanya beliau telah terjatuh dan pengsan selama 20 jam. Setelah sedar, dan dalam keadaan kaki yang patah beliau bahkan mengambil masa beberapa jam lagi berjalan (termasuk pengsan) sebelum sampai di basecamp. Kehadiran Yashinta pulang ke desa penulis jadikan sebagai pelengkap novel ini. Hanya setelah Yashinta pulang, bernikah terus di hadapan Laisa yang sedang di penghujung nyawanya (bernikah atas permintaan Laisa sendiri), barulah Laisa kembali ke pangkuan Tuhannya.

Hamba boleh katakan bahawa novel ini adalah sesuatu yang luar biasa. Jalinan kasih sayang seorang kakak kepada adik-adiknya amatlah mengharukan sekaligus memberikan motivasi kepada kita untuk lebih menyayangi keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...