Ahad, 5 Januari 2020

MURTAD - Hasrul Rizwan



Novel ini walaupun pernah beberapa kali hamba ketemu sama ada di kedai buku mahupun di mana-mana pameran, lansung tidak pernah menggoda hamba untuk membelinya. Lebih-lebih lagi hamba tidak pernah mendengar nama apatah lagi membaca karya penulis ini sebelumnya. Namun satu posting seorang sahabat di FB yang menyatakan bahawa buku ini amat menarik untuk dibaca telah merubah segalanya. Cuma agak lambat hamba membacanya walaupun telah dibeli lebih setahun yang lalu. Oh ya novel ini sebenarnya berbentuk trilogi. Mujur juga hamba terus membeli kesemuanya memandangkan hamba kini tidak lagi melihatnya di pasaran.

Pada kulit depannya tercatat 'untuk pembaca matang'. Gambarnya menyunjukkan dua pucuk pistol bersama berpuluh-puluh kad dengan satunya tercatat kalimah syahadah - membuatkan pembaca perlu menjaga kemuliaan kalimah ini agar tidak dipijak atau perkara yang tidak sepatutnya. Tajuknya nampak berat, seolah sebuah buku agama. Buku di tangan hamba adalah merupakan cetakan yang keenam (April 2018), menunjukkan buku ini sememangnya best seller sehingga membuatkannya dicetak berkali-kali. Aduhai, siapakah penulis ini yang bukunya menjadi minat ramai? 

Biasanya dengan membaca bab pertama, kita boleh menilai penulisan seseorang itu menarik ataupun tidak. Justeru hamba boleh bersetuju dengan posting sahabat hamba di FB tadi bahawa buku ini memang menarik. Bab awalannya telah membangkitkan perasaan ingin terus membaca sehingga ke penghujungnya.

Bab pertamanya menukilkan pembunuhan ke atas seorang lelaki yang murtad oleh dua orang pemuda adik beradik bernama Adam dan Akhil. Ya, bab awal ini sahaja sudah menimbulkan persoalan kepada pembaca - siapa mereka - kenapa membunuh - adakah ini novel dakwah dan sebagainya. Bahkan garapan dialognya sebelum menamatkan nyawa si mangsa memberikan gambaran kepada hamba bahawa sang penulis sememangnya boleh menulis!

Seterunya barulah pengkisahan tentang siapa kedua pemuda ini, bagaimana mereka boleh menjadi pembunuh sehinggalah kepada tugasan terakhir mereka yang menuntut begitu ramai nyawa. Semua plot disusun dengan baik dan tidak memeningkan pembaca begitu juga dengan jalinan watak dan perwatakannya.

Kedua pemuda yang berasal dari utara ini berkelana ke ibukota untuk menghadiri temuduga kerja yang berakhir dengan kemarahan si abang - Adam, apabila si penemuduga dianggap seperti memperlekehkan agama. Adegan perkelahian mereka melawan sekumpulan samseng taik minyak yang cuba memperlakukan sesuatu kepada seorang gadis telah dilihat oleh seorang lelaki yang kemudiannya bakal merubah kehidupan mereka.

Gambaran Adam dan Akhil melakukan pembunuhan mereka dilihat memang professional. Mereka mahir menggunakan senjata dan berlawan secara tangan kosong. Namun dalam hal ini penulis tidak menjelaskan bagaimana mereka berlatih, belajar cara merancang pembunuhan sehingga tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan sebagainya. Seolah secara semula jadi - selepas bersetuju menerima tugas sebagai pembunuh - mereka terus menjadi pro. ini sahaja persoalan yang tidak terjawab - yang lain ok!!

Adam dan Akhil, walaupun merupakan seorang pembunuh, penulis telah memasukkan unsur 'dalam hati ada taman' juga. Namun ia tidaklah seperti drama meloyakan dalam novel-novel cinta. Keduanya tetap kelihatan sempoi, tidak kelihatan jiwang dan masih lagi mengetahui mana yang harus didahulukan. Namun semua ini akan mempunyai kaitan antara satu sama lain hingga ke hujung cerita. Adam dengan Maria - Maria anak Ghous samseng si pemurtad yang bakal menjadi tugasan akhir mereka. Ghous pula melalui anak buahnya memeras Pak Razak seorang peniaga kecil. Pak Razak ada anak gadis bernama Zulaikha yang selalu diintai Akhil ketika pulang bekerja yang akhirnya diselamatkan oleh beliau apabila diculik oleh samseng-samseng Ghous. Ghous pula berang dengan kekalahan anak buahnya di tangan lelaki yang tidak dikenali lantas mengarahkan agar lelaki misteri ini diburu. semuanya saling kait-mengait, disusun dengan cantik sekali hinggalah ke akhirnya.

Bab akhir - sebuah epilog - turut menyajikan sesuatu yang mendebarkan. Keduanya telah cuci tangan dan dikejutkan oleh kehadiran seorang pemuda yang telah mereka bunuh. Kejutan diberikan penulis apabila pemuda tersebut mendakwa datang dari masa depan. Memang kena baca segera juga sambungannya!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...