Selasa, 14 Januari 2020

SEBUAH KOTAK KAYU DAN IMPIAN SEORANG ANAK

Sewaktu hamba bersekolah rendah, keluarga hamba pernah tinggal di satu kawasan kuarters kerajaan di Jalan Channer (sekarang Jalan Datuk Siamang Gagap). Secara kebetulan terdapat ramai rakan-rakan yang seusia atau hampir sebaya. Berkawan dengan mereka memang seronok kerana hampir setiap hari ada sahaja aktiviti. Bila tiba musim bola, kita bermain bola sepak di sebuah padang yang amat luas di depan kawasan kuarters berkenaan. Begitu juga bila tiba musim permainan yang lain seperti takraw, guli, senapang kayu, rounders, baling selipar dan lain-lain, kami akan bermain dengan gembira sekali.

Satu hari seorang daripada kawan-kawan menyatakan mereka mahu ke library pada satu hari Sabtu. Hamba tak tahu apa yang mereka maksudkan, maklumlah bahasa Inggeris pun tak berapa pandai. Lagipun perpustakaan di sekolah hamba masih menggunakan nama lama iaitu kutub khannah!

Perpustakaan Seremban terletak lebih kurang 2km dari kawasan kuarters berkenaan dan kami pergi dengan berjalan kaki bersama-sama. Ketika itu berjalan kaki bukanlah menjadi sesuatu yang melelahkan dan kami tidak pernah merasakan ia satu jarak yang jauh. Bahkan untuk solat Jumaat pun penduduk di kuarters berkenaan masih perlu ke Seremban di mana terletaknya masjid yang paling dekat.

Bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan ketika itu terletak berhampiran persimpangan jalan, Jalan Dato' Abdul Malek dan Jalan Dato' Abdul Kadir. Bangunannya tidaklah terlalu besar. Keadaan dalamnya amat sempit dengan barisan rak-rak buku dengan meja-meja yang biasanya penuh digunakan oleh pengunjung. Sememangnya pengunjung telah sedia menanti di hadapan perpustakaan sebelum ianya dibuka lagi dan terus meluru mendapatkan tempat sebaik sahaja ianya dibuka. Ya, ketika itu perpustakaan masih lagi meriah dengan pengunjung, sama ada menggunakannya untuk mengulangkaji pelajaran, membaca buku sedia ada di situ - dan mungkin juga ada yang berdating! Juteru duduk di atas lantai akibat ketiadaan tempat duduk bukanlah sesuatu yang ganjil. Hari ini bangunan asal perpustakaan tersebut telahpun tiada lagi. ia kini menjadi tempat penjualan kereta.

Kunjungan itu dan seterusnya membuatkan hamba semakin jatuh cinta dengan buku. Walaupun dalam usia sekolah rendah, hamba gemar meminjam buku-buku yang tebal kerana tidak mahu selesai membaca dengan cepat. Walaupun demikian dalam masa dua atau tiga hari sahaja hamba boleh selesai membaca dua buah buku (dua buah buku dibenarkan untuk pinjaman ketika itu). Kadang-kadang walaupun tiada rakan yang mahu pergi, hamba boleh sahaja pergi sendiri berjalan kaki dengan adik hamba. Tidak timbul perasaan takut ketika itu untuk berjalan sendiri tanpa ditemani oleh orang dewasa. Lagipun ketika itu orang tidak menculik kanak-kanak. Hari ini penjahat semakin malas bekerja kerana itu mereka menculik kanak-kanak untuk mengemis dengan duit itu akhirnya masuk ke poket mereka. Penjahat yang menculik kanak-kanak sememangnya tidak gentleman, pemalas dan semestinya baghal!!

Kerana kerapnya ke perpustakaan, hamba mula mengimpikan untuk mempunyai sebuah perpustakaan sendiri di rumah. Perpustakaan di rumah itu pula hampir seperti perpustakaan yang sebenar - rak-rak yang dipenuhi buku, meja bacaan termasuk kaunter peminjaman buku! Hasrat itu hamba ada nyatakan kepada ayah hamba. Yalah kita ketika itu bila berada di usia kanak-kanak bukannya tahu akan kesusahan orang tua. Bukannya kita tahu untuk mengadakan semua itu bukannya murah dan memerlukan belanja yang amat besar. Ayah hambapun bukannya orang kaya, sekadar seorang kerani kerajaan.

Tapi ayah hamba cuba menunaikan hasrat seorang anak ini. Melalui sebuah kotak kayu yang beliau jumpai (hamba rasa itu kotak askar memandangkan ada tulisan yang berkaitan tentera), beliau baiki dan buatkan sebuah rak buku  yang kecil. Ya hamba amat seronok. Rak itu hamba letakkan majalah-majalah kartun yang ada di rumah. Sampai hari ini rak kecil berkenaan masih ada di rumah bapa hamba di Seremban. Ia bukan sahaja satu kenangan kecil bahkan hamba anggap ia satu tinggalan sejarah!

Apabila hamba membuat renovasi rumah sebulan dulu, para pekerja pembinaan telah meninggalkan satu kotak kayu di tempat pembakaran. Ia agak uzur, tidak kukuh dan ada bahagiannya yang telah sompek dan berlubang. Ia juga kotor dengan tanah. Kotak kayu itu hamba ambil, hamba cuci dan hamba cat. Hamba mahu mengenang semula apa yang ayah hamba pernah buat dahulu.

Hamba ingin buat semula perpustakaan mini di rumah seperti impian hamba dahulu. Mungkin masih juga tidak akan dapat menyerupai sebuah perpustakaan yang lengkap dengan kerusi mejanya (hamba beli tikar sahaja, nak membaca sambil bersila), tapi sekurang-kurangnya hamba ada tempat untuk 'bergelumang' dengan buku. Anak-anak hambapun boleh menggunakannya sebagai ruangan belajar mereka.

.......kalau ada yang nak sedekah kerusi meja, rak buku boleh saja............
 .

Kotaknya amat buruk dan usang. Ada kesan kotoran tanah dan cat.

Sebelum dibasuh.

Kotaknya setelah dibasuh
Kasi warna putih dulu.

Siap - kaler sparkling red.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...