Khamis, 30 Januari 2020

WARISAN DARAH PERWIRA SANG SAKA BIRU

Buku ini mempunyai tiga jilid dan jilid yang hamba baca ini adalah jilid yang pertama. Pada mulanya hamba menyangkakan ia adalah kisah mengenai Polis Di-Raja Malaysia itu sendiri. Tetapi sebenarnya ia adalah rakaman lisan pengalaman anggota-anggota 69 Komando.

Buku ini walaupun hanya setebal 333 mukasurat (tidak termasuk beberapa mukasurat awal yang mengandungi kata-kata aluan, catatan ringkas projek pendokumentasian, dokumen-dokumen perjanjian dan sejarah ringkas 69 komando yang melebihi 41 mukasurat), namun disebabkan bidang buku ini yang lebar serta fontnya yang kecil rasanya ia boleh melebihi 1000 mukasurat. Berdikit-dikit hamba membacanya dalam tempoh lebih kurang 3 minggu.

Siri buku ini menghimpunkan rakaman sejarah anggota 69 Komando secara lisan - verbatim - patah demi patah. Justeru membacanya tidak selancar dan seseronok membaca buku yang telah disusun dengan sebaiknya bersama dengan ayat dan tatabahasa yang sempurna. Ini menyebabkan kadangkala kita tidak dapat menangkap dengan baik apa yang cuba disampaikan. Kadangkala penceritaan tidak disusun mengikut kronologinya. Gaya penceritaan seperti ini hanya dapat kita fahami apabila kita mendengarnya secara lisan dan bukannya melalui pembacaan. Dari segi rekod ia mungkin baik kerana kita dapat merakam segala yang diceritakan. Namun bagi tujuan penulisan, untuk bacaan masyarakat, ia perlu disaring semula. Namun mungkin ini adalah kehendak pihak yang menerbitkan buku ini, mahu masyarakat mendapat segalanya tanpa suntingan.

Jilid pertama ini mengandungi temubual dengan 12 orang bekas anggota 69 Komando di mana kesemua mereka menyertainya pada tahun-tahun pertama penubuhannya. Kisah yang mereka ceritakan hampir serupa sahaja memandangkan mereka mendapat latihan yang sama serta pengalaman operasi yang hampir serupa - keazaban melalui latihan oleh Special Air Service (SAS) sama ada dari pihak British ataupun New Zealand, ketabahan menjalankan operasi yang memakan masa yang lama, adakalanya berbulan tanpa mandi dan membuka but sepanjang tempoh operasi, kepahitan meninggalkan keluarga sehinggakan isteri bersalinpun sang suami tiada di sisi. Tambah memeritkan apabila anak -anak yang masih kecil menjauhkan diri lantaran tidak kenal dengan wajah bapanya yang lebih banyak masa di hutan. Begitu juga dengan banyaknya operasi yang mereka sertai sehingga ada yang meragut nyawa rakan sendiri. Namun antara semua itu semangat setiakawanlah yang amat dibanggakan mereka yang kekal bertahan walaupun setelah menamatkan perkhidmatan.

Dalam jilid pertama ini juga ada dua tokoh yang sering disebut-sebut oleh hampir kesemua 12 orang yang ditemuramah iaitu ASP Mohd Zabri bin Abd Hamid dan SM (B) Apot a/l Saad.ASP Zabri dianggap sebagai seorang pegawai yang hebat dan berkaliber. Merupakan generasi pertama 69 Komando, beliau meninggalkan kita setelah cedera parah terkena jerangkap samar. Kematiannya ditangisi oleh para anggota. Manakala Encik Apot pula dianggap sebagai seorang tracker atau penjejak yang hebat. Namun apabila dibaca temuramah dengan beliau, dapat dilihat betapa Encik Apot amat merendah diri seolah-olah beliau sebenarnya tiada lansung kelebihan itu.

Generasi awal yang menyertai 69 Komando ini adalah rata-ratanya anak kampung yang sememangnya sedia hidup susah. Justeru cabaran yang mereka hadapi sebelum menyertai pasukan dapat dilalui dengan jayanya walaupun terasa amat sukar pada sesetengah orang. Mereka juga tidak merasa bangga dengan sumbangan mereka. Apa yang mereka sumbangkan hanya untuk negara, lagipun di awal penubuhannya gaji dan imbuhan mereka dapat tidaklah seberapa. Boleh dikatakan anggota 69 pada zaman darurat kedua ini tiada seorangpun yang mendapat pingat SP juga PGB. Tiada juga anugerah tanah dan rumah. Kerana itu ada orang berkata - komunis yang menyerah diri diberikan tanah dan beberapa kemudahan lain setelah mereka menyerah diri. Orang yang bersusah payah dibelakang tabir tidak pula mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Generasi awal komando ini semuanya telah bersara dan ada yang telahpun meninggalkan kita. Masih belum terlambat untuk memberikan mereka apa yang sepatutnya mereka patut dapat....


Nota - Buku ini hamba pinjam daripada En. Halim bin Ishak, seorang veteran 69 Komando melalui isteri beliau, Puan Rahayu Yasir. Sekalung terima kasih daripada hamba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...