Isnin, 17 Februari 2020

HAURA - Ramlee Awang Murshid



Sekiranya pembaca mengharapkan RAM menghidangkan menu thrillernya kepada anda seperti  biasa, usahlah kecewa kerana kali ini RAM menulis sebuah kisah cinta! Ya, beliau menulis kisah cinta. Namun usah risau, beliau tidak menulis kisah cinta meleleh air hidung. Jiwangnya tidak terlalu karat bahkan ditulis sepertimana lazimnya beliau menulis kisah-kisah thrillernya. Bayangkan sebuah kisah cinta dalam acuan penulisan kisah thriller! Kerana itu seperti lazimnya, RAM masih berteka teki dengan pembaca tentang siapakah si fulan dan si fulan. Tentunya apabila anda membaca ringkasan Haura yang terdapat di kulit belakang novel, anda akan dapat merasakan betapa suspennya kisah ini nanti. namun apabila telah membaca keseluruhan novel hamba merasakan penulisan ringkasan tersebut lebih bersifat bombastik untuk menarik perhatian pembaca - dan ia berjaya! (juga berjaya merabakkan poket kita :-D ).

Sebenarnya kisah dalam Haura ini mudah sahaja - Adam Fahmi syokkan Waheeda, Waheeda pun begitu juga, Mereka tiada jodoh - Waheeda bertunang dan bernikah dengan Faizal, Adam Fahmi bertemu Jessica, Beliau syok dengan Jessica sehingga berlakunya perkahwinan. Namun kesemua itu tidak menjadi nadi dalam penceritaan. Kisah sebenarnya adalah apabila Jessica hilang ingatan akibat satu kejadian yang melibatkan beliau dengan penjenayah dan usaha Adam Fahmi untuk memulihkan ingatannya. 

Dalam menjalankan usaha memulihkan beliaulah RAM membentangkan cabaran yang perlu dihadapi oleh Adam Fahmi sambil imbas semula kejadian-kejadian lalu yang membentuk sebuah rantaian penceritaan. Jessica secara total tidak ingat atau kenal lansung dengan Adam yang telah menjadi suaminya. Bahkan beliau mempunyai rasa tidak senang dengan orang Islam serta mengaitkan mereka dengan keganasan.

Islamophobia menjadi satu elemen yang mewarnai penceritaan novel ini. Walaupun meletakkan ringkasan kejadian berdarah di dua buah masjid di New Zealand, Haura sebenarnya tidak terlalu berkait dengan tragedi tersebut. Rasa tidak senang kepada Islam juga hanya disentuh melalui beberapa watak namun sudah memadai untuk mewakili pandangan secara umum segelintir manusia yang bersikap fanatik dan memandang Islam dengan curiga.

Namun RAM harus berhati-hati dalam perkara yang melibatkan fakta. Kisah ini berlaku sehari selepas kejadian di New Zealand yang berlaku pada 15 Mac 2019. Pada permulaan penceritaan, RAM telah meletakkan penceritaan yang bertarikh 9 tahun sebelum tragedi. Jadi hamba assume pada 2010. Ayat yang pertama menceritakan watak Fahmi yang menaiki Grab. Grab hanya bermula pada 2012. Begitu juga dengan kisah yang berlaku sebelum 2010 itu apabila RAM bercerita tentang Fahmi dan Waheeda yang dating di Bangi Gateway. Pada 2010 Bangi Gateway belum siap lagi! Mungkin hamba silap - dan kalau silap tolong betulkan hamba.

Perjalanan Adam bagi mengembalikan semula ingatan isterinya adalah sesuatu yang seronok untuk dibaca. Dah lama rasanya hamba tak dapat kenikmatan sebegini membaca novel RAM, sebagaimana novel-novel lamanya seperti Tombiruo, Ranggau, Hatiku di Harajuku dan ADAM. RAM bagi hamba lebih cekap menulis kisah masa kini berbanding fantasi masa silam seperti Anding Ayangan. Yaa... pandangan hamba mungkin berbeza dengan pengikut fanatik RAM. Hamba bukan fanatik RAM walaupun hampir semua bukunya hamba beli. Bila fanatik, yang tidak enakpun dibilang sedap. Sikap peminat sebegini boleh sahaja menghancurkan diri penulis yang akan merasakan karya beliau tetap mantap seperti sediakala. Hamba harap karya RAM selepas ini bakal mengekalkan momentum seperti di dalam Haura dan silalah menulis kisah thriller kembali.

Mujurlah kisah Haura ini ditulis oleh RAM. Andaikata ia ditulis oleh penulis novel cinta yang lain, tajuknya bisa sahaja menjadi 'Suamiku Chef Nasi Lemak', 'Teh Tarik Cinta', 'Minah Salleh Itu Isteriku', 'Nasi Lemak Buat Jessica', 'Puan Polis Dan Abang Nasi Lemak' dan lain-lain tajuk meleleh lagi!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HAIWAN AJAIB DAN TEMPAT DITEMUI - J.K. Rowling

Buku ini merupakan terjemahan bahasa Melayu kepada Fantastic Beasts And Where To Find Them . Ia adalah merupakan skrip asal kepada sebuah fi...