Sabtu, 15 Februari 2020

QISAS - Hasrul Rizwan



Pehhhh tamat juga membaca trilogi novel ini dengan tajuk akhirnya berjudul Qisas. Tidak dinafikan bahawa membaca siri kedua (Tuhan) terasa macam anti klimaks, sebab dalam siri kedua itu penumpuan adalah kepada kisah Joe dan bukannya kembar Adam dan Akhil. Cerita Joe yang ala-ala Back To The Future itu hanya terlalu sedikit kaitannya dengan kisah kedua kembar ini. Hanya di penghujungnya sahaja nak menunjukkan bahawa Joe membawa khabar dari masa hadapan - Adam dan Akhil bakal dibunuh!

Jadi Qisas adalah tindakan yang dijalankan oleh kedua kembar tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Joe. Mereka harus terlebih dahulu menamatkan riwayat bakal pembunuh mereka sebelum mereka sendiri dibunuh. Untuk itu mereka harus kembali semula ke Kuala Lumpur bagi mengatur perancangan. Malangnya ketika mereka sedang berurusan dengan sebuah bank, telah berlaku rompakan yang menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan. Walaupun dilepaskan polis, mereka telah menjadi perhatian pihak berkuasa tersebut kerana ulah mereka yang kelihatan mencurigakan.

Tapi mereka tiada alasan untuk menamatkan nyawa seseorang tanpa sebab. Justeru mereka menggunakan qisas sebagai 'lesen' untuk membunuh setelah mendapat 'keizinan' daripada keluarga mangsa yang pernah dibunuh oleh bakal para pembunuh kedua kembar itu (ha ha jangan pening kepala membaca tulisan ini. Anda perlu cari novel ini juga).

Novel ini rasanya yang paling banyak menggunakan bahasa kasar berbanding dua novel sebelumnya. Ia ada unsur jiwang sedikit apabila Adam dan Maria bertemu kembali serta ada unsur sedih apabila ada ahli keluarga mereka yang terkorban. Namun tanpa kedua beradik ini sedari, perbuatan mereka membunuh bakal pembunuh mereka adalah satu kesilapan yang besar. Kerana perbuatan yang kedua mereka cetuskanlah sebenarnya yang menyebabkan mereka dibunuh. Seandainya mereka tidak mengendahkan mesej daripada Joe dan tidak pergi memburu pembunuh mereka, kebarangkalian tragedi yang besar ini tidak akan berlaku.

Ketiga-tiga novel ini amat memuaskan hati hamba selaku pembaca. Tidak banyak novel sebegini dihasilkan memandangkan genre jiwang karat masih merajai jiwa peminat buku. Hamba looking forward untuk membaca lain-lain buku oleh penulis ini di masa yang akan datang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...