Sabtu, 14 Mac 2020

ANDING AYANGAN II - Ramlee Awang Murshid



Jarang hamba lambat membaca novel RAM setelah dibeli. Namun untuk Anding Ayangan II, hamba hanya membacanya selepas setahun dibeli. Dalam sela setahun itu pula beberapa novel RAM muncul dan kesemuanya telah hamba habiskan. Bagaikan tiada minat dan keinginan untuk membelek naskhah ini lantaran sirinya yang pertama terasa agak berbelit serta mengecewakan apabila kisah tersebut tidak mempunyai penamat bahkan bersambung. 'Fokus", itulah nasihat RAM pada temubualnya di mukasurat belakang. Ya hamba memang fokus dan novel kedua ini dapat hamba ikuti dengan baik berbanding yang pertama dan hamba merasakan gaya penulisan serta susunannya lebih baik berbanding yang pertama. Tetapi ia masih juga mengecewakan di akhirnya apabila naskhah ini juga masih belum tamat dan memerlukan sambungan.

Harry Potter adalah sejumlah novel bersiri kanak-kanak  yang mendapat sambutan di seluruh dunia. Walaupun ia merupakan siri novel yang bersambung yang mengambil latar masa yang bertahun-tahun, tetapi untuk setiap siri itu ia mempunyai penamat dan setiap siri mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tidak pada Anding Ayangan kerana kedua-dua naskhah yang telah dikeluarkan masih tergantung. Tiada keseronokan membaca naskhah sebegini. Ini kerana sementara menunggu sambungannya - RAM pula tidak terus mengeluarkan sambungannya dan mengeluarkan tajuk-tajuk yang lain dahulu - kita telahpun terlupa jalan cerita yang sebelum. Maaflah, hamba tidak mempunyai otak seperti komputer yang dapat menyimpan semua data dengan baik.

Benar kata RAM, pembaca perlu fokus. Ini kerana terdapat empat latar masa yang berbeza yang perlu diberi penumpuan. Kesemuanya berjalan serentak dan kadangkala boleh mengelirukan. Ada watak yang tercampak ke dunia nyata, ada yang tercampak ke dunia khayalan, ada yang mengambil latar masa dahulu sebelum kesemua bala besar terjadi dan ada kisah yang menghala kepada punca kesemua kisah dongeng ini menjadi nyata sehingga membawa bencana.

Memandangkan kisah ini masih belum menemui kesudahannya maka banyak teka teki yang masih belum terjawab. Segala-galanya tergantung. Tidak tahu bilakah RAM mahu mengakhirinya. Semakin panjang semakin mengharukan pembaca dan dalam masa yang sama memberikan keuntungan kepada penulis dan penerbit!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...