Jumaat, 20 Mac 2020

KULIAH TERAKHIR (THE LAST LECTURE) - Randy Pausch



Hamba percaya ramai yang telah membaca karya ini, tidak kira dalam versi asal berbahasa Inggeris ataupun versi terjemahan seperti ini. Buku Kuliah Terakhir atau The Last Lecture ini adalah berdasarkan satu sesi ceramah yang pernah disampaikan oleh penulisnya sendiri, Randy Pausch.

Sememangnya satu kebiasaan universiti tempat Randy mengajar menganjurkan majlis ceramah mengenai kuliah terakhir ini di mana para penceramah akan membayangkan tentang kematian mereka dan merenungkan apa yang paling penting dalam hidup. Randy pada ketika itu telahpun sedia menghidap penyakit kanser pankreas. Tetapi Randy, instead of bercakap tentang kematian yang akan dihadapinya, bercakap tentang kehidupan ataupun apa yang beliau istilahkan sebagai 'Mencapai Impian Zaman Kanak-Kanak"!

Sebenarnya Randy cuba menghabiskan sisa hidupnya dengan cara yang paling positif dan bukannya berkeluh kesah dengan apa yang terjadi. Di mata orang beliau kelihatan sihat kerana gaya hidupnya yang kelihatan ceria. Namun ini tidak bermakna beliau lansung tidak berfikir tentang kematiannya. Beliau tidak sedih akan beliau yang akan meninggalkan keluarga tetapi sedih apabila memikirkan keluarga yang akan kehilangan beliau, terutama anak-anak beliau yang ketika itu masih kecil yang akan kehilangan bapa mereka.

Dalam buku yang ini (dalam ceramah beliau juga) beliau berkisah tentang hidup zaman kanak-kanaknya, apa yang beliau ingin capai serta peranan ibu bapa dalam mendidik beliau serta membantu beliau mencapai apa yang beliau kehendaki. Randy turut mengkisahkan apa yang beliau cuba lakukan dalam waktu yang singkat ini bagi memberikan satu kenangan indah buat orang kesayangan yang akan beliau tinggalkan. Bahkan buku ini juga adalah satu bentuk peninggalan Randy buat mereka. Dia mahu anak-anaknya tahu siapa bapa mereka dan apa yang dia mahu anak-anaknya jadi nanti.

Secara tidak lansung buku ini juga adalah satu motivasi kepada pembaca, menyampaikan pelbagai perkara yang positif dalam menjalani kehidupan. Buku di tangan hamba ini adalah cetakan tahun 2015, hamba membelinya pada 2019 dan hanya berpeluang membacanya pada 2020! Randy pula telah meninggal dunia pada 2008. Bermakna telah 12 tahun beliau pergi dan ilmu yang ditinggalkannya masih dibaca sehingga ke hari ini. Dalam konteks Islam, antara tiga amal yang tidak terputus adalah 'ilmu yang bermanfaat'. Justeru jika ilmu yang baik kita tinggalkan maka akan berterusanlah pahalanya selagi masih ada orang yang membaca, beramal dan medapatkan manfaatnya. 

Randy telah lama tiada, tetapi ilmunya masih bersama kita!

(Rakaman syarahan The Last Lecture oleh Randy Pausch masih boleh ditonton di internet).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...