Sabtu, 18 April 2020

GILA-GILA EDISI MUSIM COVID


Selesai menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, membeli barang-barang dapur di sebuah pasaraya, hamba ke sebuah kedai serbaneka bagi melihat-lihat majalah yang ada. Rak majalahnya begitu banyak yang kosong. Sama ada disebabkan memang tidak banyak majalah yang dicetak ketika ini ataupun pihak penerbitan sendiri tidak menjualnya sepanjang musim PKP ini. Tapi sebenarnya setiap kali hamba ke kedai inipun memang tidak banyak lagi majalah yang dijual. Bahkan kedai ini yang asal tujuan pembukaannya itupun untuk menjual akhbar dan majalah, kini lebih banyak menjual minuman dan makanan ringan dengan sedikit barangan permainan!

Di kedudukan teratas rak majalah berkenaan tersusun kemas beberapa naskhah majalah Gila-Gila keluaran terbaru. Walaupun di kulitnya tercatat keluaran Mac 2020 dan bukannya April 2020, itu sememangnya keluaran paling baru memandangkan majalah berkenaan umpama terbit lewat tidak mengikut bulan semasa.

Covernya oleh pelukis tersohor Jaafar Taib yang memaparkan jenaka di musim covid ini. Walaupun hamba menyedari bahawa majalah ini sekarang lebih banyak mengulang siar kembali kartun-kartun lama dan hanya sedikit sahaja kandungan kartun yang baru, namun hamba cuba untuk memberikan sokongan terhadap majalah ini. Hamba percaya Gila-Gila hari ini tidak untung banyak (dan barangkali tidak untung lansung). Gila-Gila hari ini umpama melakukan CSR, hanya untuk memastikan legasi kartun negara masih lagi bernafas walaupun ramai rakan seangkatan, apatah lagi yang datang kemudiannya banyak yang telah berkubur. 

Hanya kulit depannya sahaja yang bertemakan covid, namun isi dalamannya tiada yang bertemakan demikian kecuali ruangan pojok Geromal oleh Mansasau. Hanya ada beberapa kartun baharu sahaja seperti Bedah oleh Suko, Hijrah Ke Isketambola oleh Pheno Menon, beberapa kartun satu mukasurat serta beberapa tulisan pojok. Yang lainnya, atau 75 ke 80% adalah siaran ulangan terpilih daripada majalah-majalah lama.

Walau apapun, usaha menerbitkan majalah ini serta usaha untuk mengekalkannya amatlah hamba puji. Majalah ini boleh hidup lebih lama lagi dengan bahan-banhan baru yang lebih segar dengan syarat ramai yang kembali menyokong dan membeli majalah ini. Percayalah, majalah kartun lebih seronok dibaca dalam bentuk fizikal berbanding maya.

Menghidupkan legasi majalah ini adalah satu harapan yang kita sandarkan kepada generasi baru. Bukan sahaja kita membantu menghidupkan sebuah penerbitan, tetapi memberi peluang kehidupan serta rezeki kepada pengkarya dan kartunis tempatan!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...