Jumaat, 24 April 2020

TITAH PADUKA SERI


Titah Paduka Seri merupakan sebuah antologi cerpen yang mengandungi sebanyak 31 buah cerpen daripada 31 orang penulis yang ternama. Ini termasuklah beberapa karya Sasterawan Negara seperti Arena Wati dan Shahnon Ahmad. Penulis yang lain juga bukan calang-calang orangnya. Mereka sememangnya mempunyai nama yang kukuh dalam dunia sastera tanahair, pernah melahirkan beberapa karya yang hebat serta menerima pelbagai anugerah termasuk di peringkat antarabangsa. 

Kumpulan cerpen terpilih yang diselenggarakan oleh Amida Abdul Hamid (Anis) ini merupakan karya-karya terpilih daripada cerpen-cerpen yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera antara 1990 hingga 1999. Kita maklum bahawa majalah ini merupakan majalah sastera terunggul di negara terbitan Dewan Bahasa & Pustaka yang hanya memilih tulisan-tulisan yang terbaik sahaja. Justeru antara puluhan tulisan terbaik itu, dipilih sebanyak 31 karya untuk dimuatkan di dalam antologi ini.

Menggunakan tajuk Titah Paduka Seri, berdasarkan cerpen tulisan Abdul Latiff Bakar, cerpen Latiff ini saya kira sebagai satu karya sinis berkenaan kemelesetan ekonomi yang melanda tanah air kita sekitar penghujung 90an. Namun Latiff mengambil latar masa zaman dahulukala bagi menyampaikan mesejnya.

Apabila ada 31 karya, maka tentulah pelbagai tema yang dibawa oleh para penulis ini. Begitu juga dengan gaya bahasa, pengolahan, penggunaan metafora dan pelbagai lagi yang hamba kira apabila dibaca oleh generasi hari ini mungkin akan merasai sedikit kesulitan untuk memahami maksud yang tersirat. Ini memandangkan gaya penulisan hari ini lebih straight to the point, kurang gaya bahasa sastera di samping penggunaan slanga (dan tidak kurang bahasa kasar dan carutan). Walau apapun, ia adalah corak penulisan masa lalu yang penuh dengan ketelitian dalam penggunaan bahasa, satira dan sinis juga perlambangan yang kadangkala bombastik. Generasi muda harus membiasakan membaca karya sebegini agar nilai-nilai baik dalam penulisan sastera Melayu terus terpelihara sampai bila-bila.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...