Rabu, 24 Jun 2020

BLUES ORANG JELEBU - The Libyaman



Seperti kelazimannya, buku-buku yang hamba baca telah dibeli sejak sekian lamanya. Yang inipun dah dua tahun dalam simpanan. Sudahlah dua tahun terperap, karyanya juga terbit tahun 2013, nampak macam hamba ini pembaca buku-buku lama sahaja. Tetapi buku bukan surat khabar. Surat khabar yang dibeli hari ini, pada hari esok orang dah tak minat nak baca walaupun hakikatnya akhbar juga memberikan banyak ilmu selain berita dan hiburan. Berlainan dengan buku, walaupun dibaca bertahun selepas penerbitannya, biasanya ia tidak basi. Lainlah kalau yang dipaparkan merupakan keputusan nombor ekor yang lepas.

Kalau ditanya kenapa buku ini hamba beli, hamba rasa tidak ada jawapan yang kukuh. Mungkin sebab hamba juga orang Jelebu. Mungkin sebab tarikan prakatanya oleh Tukar Tiub aka Hishamuddin Rais yang juga membesar di Jelebu. Atau juga buku ini dah dijual murah ketika itu? Walau apapun, mempunyai seorang Jelebu yang menulis buku (catatan dalam buku ini berasal dari blog) mungkin kelihatan hebat. Ini kerana tak ramai orang Jelebu yang dikenali kerana penulisan. Yang biasanya orang tahu ialah Tan Sri Dato; seri Utama Rais Yatim. Selain itu orang cuma tahun Jelebu merupakan kawasan yang terkering di Malaysia - kerana mempunyai taburan hujan tahunan yang rendah. Tapi percayalah, Jelebu merupakan kawasan yang tenang untuk tinggal. Tak banyak kenderaan kecuali di musim perayaan dan mempunyai banyak dusun durian kampung yang lazat. Kalau kau percaya dengan kecantikan gadis Jelebu seperti yang disenandungkan Dato' Hattan dan Waris, kau boleh cekidaut sendiri!

Membaca naskhah ini, ia mengingatkan hamba kepada Dari Tanjung Malim Ke KLCC oleh Fdaus Ahmad. Kedua penulis melukiskan kisah kehidupan mereka dengan menggunakan bahasa yang santai dengan suntikan humor. Namun tulisan Fdaus ternyata lebih ganas lagi namun lebih fokus dengan kisah hidupnya yang berakit dengan perjalanan ulang aliknya bekerja dari Tanjung Malim ke KLCC. Blues Orang Jelebu menyentuh kehidupan The Libyaman yang mengaitkan dengan tiga latar tempat iaitu Jelebu, Jordan dan Libya. Namun antara bab ke bab seakan tiada kesinambungan dan bagaikan ada lompong di tengah-tengah. Maksud hamba bagaikan ada maklumat yang tidak disampaikan dan tiba-tiba sahaja pembaca telah dibawa melompat ke satu cerita yang baharu. Contohnya sedang kita melayani kisah penulis dengan daerah Jelebunya, tiba-tiba kita dah sampai ke Jordan dan tiba-tiba pula ke Libya. Tidak dinyatakan perjalanan yang lengkap contohnya bagaimana punca ke Jordan/Libya, apa tujuan ke sana dan sebagainya. Mungkin kisah-kisah ini ada diungkapkan di dalam blog penulis dan mungkin juga tidak. Sekiranya ada tetapi tidak dimasukkan dengan sengaja, ia membuatkan para pembaca tergantung persoalannya - yang pastinya tidak akan berjawab sampai bila-bila kecuali jika kita sendiri rajin nak berutus surat (e-mel) dengan sang penulis.

Walaupun demikian, hamba dapat memahami dengan baik apa yang disampaikan oleh penulis sama ada di Jelebu ataupun kelananya di bumi Arab. Mungkin juga kerana hamba sendiri anak jati Jelebu, pernah hidup di dunia Arab dan jarak umur kami yang tidak jauh - walaupun hamba lebih tua. 

Pengalaman penulis dengan warga dunia Arab rasanya lebih kurang sama sahaja dengan hamba. Orang kita yang pernah hidup bersama mereka, rasanya lebih banyak mengutuk perangai mereka berbanding memuji. Setiap warga dunia Arab mempunyai kisah kemalasan dan ke'idiot'an mereka yang tersendiri dan hamba tidak menyangka sikap orang Libya yang penulis coretkan ternyata lebih hancur berbanding Arab yang hamba kenali. Kalau nak melihat pengotornya Arab, mungkin anda boleh menonton satu filem Mesir yang bertajuk El-Ott. Perghhh kawasan setinggan kita pun tak macam tu sampahnya. Kalau serupapun mungkin lebih kurang sama macam satu penempatan haram di Bukit Malut di Langkawi sana.

Penulis ada mengkisahkan tentang satu jenaka yang dinisbahkan kepada Presiden Mubarak dan Presiden Ronald Reagan tentang Arab Mesir yang suka kencing di tempat awam secara terbuka. Hamba juga pernah mendengar kisah yang serupa lebih 20 tahun yang lalu. Cuma ia dinisbahkan kepada Arab Maghribi. Mungkin kisah yang seperti itu masyhur di negara Arab dan berubah versinya mengikut kawasan.

Hamba ada meninjau blog Blues Orang Jelebu. Nampaknya seperti blog tersebut telah lama tidak aktif dengan entry terakhirnya bertarikh 8 Oktober 2016. Tidaklah hamba tahu sekiranya penulis masih lagi berkelana di Libya atau mana-mana negara Arab ataupun telah bekerja semua di tanah air.

Hamba harap beliau menulis semula!


2 ulasan:

  1. 2 tahun baru baca. Kira normal la bagi penggemar buku. Saya pon Ada beberapa buku yg masih tersimpan,menunggu giliran untuk dibaca (mungkin beberapa minggu@bulan kemudian).

    BalasPadam
    Balasan
    1. Satu penghormatan untuk menerima ziarah daripada penulisnya sendiri.

      BarakalLahu feek.

      Padam

AKU, KAU & BOLA - LIGA SUPER

  Komik ini tebal sungguh dan amat berpuas hati membacanya. Segala-galanya adalah kissah yang berkaitan dengan bola sepak. Walaupun mengguna...