Selasa, 30 Jun 2020

NAMA BETA SULTAN ALAUDDIN - Faisal Tehrani



Apabila membaca buku ini, hamba menyedari bahawa hampir tidak ada penulis tempatan yang menulis tentang kisah sejarah tanah air, apatah lagi dengan menggunakan bahasa yang biasa ditemui dalam hikayat-hikayat lama. Sama ada penulisan begini tidak lagi diminati, penulis tidak mempunyai kemahiran ataupun karya sebegini tidak penting lansung dalam dunia penulisan tempatan. Ya, banyak benar beza dunia penulisan dahulu dengan sekarang. kalau dahulu bahasa yang digunakan adalah bermutu tinggi, bahkan karya yang dianggap picisan sekalipun biasanya masih menggunakan bahasa Melayu yang betul, Tapi hari ini kerana mahu dikatakan urban, maka gaya bahasa yang digunakan agak sedikit longgar, boleh masuk slanga, mencarut, bahasa pasar dan sebagainya. Mungkin ada yang berpandangan perkara sebegini tidak mengapa dan tidaklah mendatangkan masalah yang terlalu besar. Tetapi hamba dapat sedikit kesannya dalam kerja pejabat sehari-hari. Contohnya apabila diminta membuat draf surat. Generasi dahulu yang sudah biasa menulis surat dengan menggunakan bahasa Melayu yang standard biasanya tidak akan bermasalah untuk mengarang. Namun bagi generasi terkemudian yang banyak menaip di komputer menggunakan bahasa ringkas dan 'urban', maka karangan mereka membuatkan ianya dipenuhi dengan calitan-calitan merah.

Kisah Sultan Alauddin memang tidak banyak ditemui dalam mana-mana penulisan. Justeru hamba percaya bahawa penulis sendiri menggunakan imaginasi atau datang dalam versi sendiri dengan disesuaikan dengan fakta sedia ada ketika mengarang buku ini. Karya ini dipersembahkan melalui penceritaan seorang datuk yang pandai bercerita kepada cucu-cucunya. Si datuk bercerita dengan baik bahkan menggunakan bahasa klasik zaman silam. Sekali sekala para cucu akan menyampuk dan bertanyakan soalan.

Kita ketepikan soal cerita ini sahih atau tidak dari segi sejarah. Buku ini sebenarnya banyak menyampaikan mesej yang boleh kita jadikan panduan. Antaranya peri pentingnya bersatu padu dan elakkan daripada dengki mendengki apatah lagi di kalangan adik beradik. Dalam hal ini Raja Ahmad digambarkan sebagai seorang yang tidak senang dengan adindanya Raja Hussain (Sultan Alauddin) sehingga tergamak mahu membunuh baginda di Pulau Besar. Persoalan tentang kesetiaan juga menjadi antara inti perbincangan di dalam buku ini. Terdapat para pembesar di istana yang diragui akan kesetiaan mereka serta menjadi gunting dalam lipatan atau bara di dalam sekam. Kerana menjaga kepentingan peribadi juga seorang isteri sanggup berkomplot membunuh seorang suami. Kisah Sultan Alauddin versi faisal menggambarkan bahawa baginda mangkat kerana diracun oleh beberapa orang dalam istana sendiri.

Selain elemen bahasa, buku ijni turut menampilkan kehebatan penulis di dalam perkara lain seperti pengetahuan mengenai sebuah kereta lembu. Ini dapat dilihat dalam kisah Sultan Alauddin membina kereta lembu bersama dua sahabatnya. Dalam pembinaan ini pembaca akan dapat melihat beberapa istilah-istilah berkaitan serta jenis-jenis kayu yang sesuai untuk membina bahagian tertentu kereta lembu.

Antara kesemua kisah, hanya kisah Sultan Alauddin membunuh pencuri sahaja yang pernah hamba baca ketika kecil dahulu manakala kebanyakan kisah yang lain rasanya inilah kali pertama hamba dengar atau baca. Pemerintahan baginda sesungguhnya tidak lama dan baginda mangkat dalam usia yang sangat muda. Pengganti baginda Sultan Mahmud, walaupun merupakan zuriat baginda sendiri, digambarkan bahawa baginda bukanlah pilihan utama. Kerana percaturan golongan mamak di istana pewaris yang sepatutnya telah diketepikan lalu jadilah Melaka dipimpin oleh seorang raja yang lemah yang akhirnya menyebabkan Melaka jatuh ke kuasa asing sehingga menyebabkan berakhirnya Kesultanan Melayu Melaka. 

Kisah politik istana Melaka adalah satu sejarah yang sepatutnya mengajar kita hari ini tentang apa perkara yang sepatutnya dilakukan dan apa yang perlu dielakkan. Sejarah bukanlah satu bacaan santai untuk hiburan masa lapang. Segala kisah yang telah lalu kita pelajari untuk membentuk atau mencorakkan masa depan. Kegagalan memahami sejarah akan membuatkan kita mengulangi semula mana-mana sejarah yang gagal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...