Ahad, 21 Jun 2020

REPUBLIK SUNGAI GOLOK - Isma Ae Mohamad



Rasanya dua tahun lepas hamba memperolehi buku ini. Hamba dapat di Pesta Buku Selangor. Ketika itu hamba singgah di reruai Dubook dan melihat buku ini ada di atas meja petugasnya. Takut nak usik, mungkin petugas akan menyusunnya di rak nanti. Tak apa, mungkin ia ada di rak pameran. Namun di rak pameran tidak ada lansung buku ini dan buku ini juga kemudiannya tidak lagi berada di atas meja petugas. Tak ada rezeki nampaknya. Memandnagkan ketika itu hamba memborong agak banayk buku di reruai berkenaan, petugas dengan bermurah hanti telah menghadiahkan sebuah buku. Dan inilah bukunya! Alhamdulillah dari hasrat asal nak membelinya, kemudian dapat secara percuma pula.

Ini kali pertama hamba membaca karya penulis ini. Kali pertama juga hamba mengenali nama beliau. Tetapi karya ini bukan calang-calang. Gaya penulisannya amat baik sekali. Entah kenapa membaca buku ini hamba teringat dengan novel Salina harapan Sasterawan Negara A. Samad Said. SN A. Samad Said berjaya menjadikan Salina sebuah karya agung kerana penceritaan di dalam Salina nampak hidup. Ia adalah hasil pengalaman penulis yang pernah merasai kepayahan hidup di zaman Jepun. Begitu juga dengan karya penulis ini. Pengalaman hidup di wilayah sempadan bahkan sebagai PATI lagi telah menjadikan karya ini hidup dan dapat dihayati pembaca dengan baik. Kerana ini adalah kisah beliau, ini adalah kehidupan beliau!

Republik Sungai Golok adalah kisah kehidupan di sekitar Sungai Golok sama ada di sebelah Malaysia ataupun di sebelah Thailand. Sungai Golok adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan kedua buah negara ini. Ia adalah hasil kelicikan penjajah  orang putih dan politik pemimpin negara gajah putih sehingga menyebabkan beberapa buah negara Melayu lenyap dari peta dunia. Ia juga memisahkan kaum keluarga orang Melayu yang diam di kawasan berkenaan. Bayangkan keluarga yang hanya tinggal di seberang sungai sahaja tetapi telah berada di dalam sebuah negara yang asing serta memiliki kewarnegaraan yang berbeza.

Isma Ae melakarkan kehidupan di sekitar Sungai Golok melalui beberapa watak utama yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak. Isu-isu yang melatari kawasan ini seperti perjuangan kemerdekaan Pattani, penyeludupan, dua kewarganegaraan, pencerobohan sempadan, PATI dan lain-lain digarap dengan baik melalui watak-watak ini. Ia adalah kisah survival orang Melayu di kawasan berkenaan. Ia adalah kisah kesusahan hidup, peritnya mencari rezeki dan peritnya hidup apabila negeri sendiri jadi milik orang. Walaupun sama sebangsa, seagama dan mempunyai hubungan keluarga, pemisahan sempadan telah menjadikan kehidupan amat berbeza. 

Beberapa watak penting yang mempunyai kisah tersendiri dilakarkan melalui watak Ramlee, Keluarga Ahmad,Faisal, Irfan , Radzi, Rashid dan beberapa watak lagi. Setiap watak mempunyai kisah hidup tersendiri. Ramlee, warganegara Thai yang tinggal dengan keluarganya di Malaysia secara haram. Tidak bersekolah, bersemangat mempelajari bahasa Thai di wat Siam dan menjadi seorang penyeludup. Ahmad, selalu tertanya-tanya kenapa dia menjadi warga Thai tidak seperti dua kakaknya yang mempunyai surat beranak 'sana' dan bersekolah di Malaysia. Ayahnya seorang penyeludup dan selalu membawa Ahmad bersama. Kakak Ahmad yang bernama Fatimah digambarkan sangat berani. Sanggup cuba memintas bot menteri bersama abangnya semata-mata mahu menyerahkan sepucuk surat membantah cadangan pembinaan tembok di tebing sungai Golok. Fatimah juga pernah menumbuk muka Faisal, anak ketua balai. Faisal, anak seorang ketua balai, kelihatan patriotik serta benci dengan kegiatan penyeludupan. Dia kelihatan seperti seorang kaki repot. Irfan pula anak seorang yang berpengaruh di Selatan tetapi selama ini tinggal di Bangkok bersama ibunya. Hnaya apabila ibu tirinya meninggal barulah beliau dan ibunya dibawa tinggal di kawasan selatan. Tidak tahu berbahasa Melayu dan pernah mewakili Thailand dalam bolasepak. Radzi dan Rashid, anak Tok Neban yang tinggal di buah negara yang berbeza. Ketidakserasian mereka membuatkan Tok Neban mencetuskan perlawanan bolasepak antara dua negara.

Latar masa kisah ini hamba jangkakan pada penghujung 2004 atau awal 2005. Ini memandangkan penulis ada menyebut dua kejadian yang pernah berlaku sebelum itu iaitu tragedi pembunuhan di Tak Bai serta tsunami di Acheh. Pergolakan di selatan dengan adanya kumpulan pemisah menjadikan kawasan selatan tidak aman. Orang ramai tidak selesa dengan tentera yang selalu berkeliaran dan akan resah apabila tentera melakukan penyerbuan. Bunyi tembakan seakan tidak asing di sana. Kegiatan penyeludupan bagaikan sesuatu yang tidak apa bagi penduduk kedua tebing. Asalkan mereka tidak menyeludup barang haram seperti senjata, arak dan dadah, maka setakat menyeludup lebu dan beras itu tidak mengapa. Tidak mudah untuk melakukan penyeludupan kerana rondaan pihak berkuasa yang kerap dan tidak mudah juga pihak berkuasa mahu melakukan tangkapan kerana banyaknya pangkalan haram dibina. Kegiatan penyeludupan adalah sumber ekonomi. Kerana itu ura-ura pembinaan tembok di sempadan meresahkan mereka. 

Penulis turut memasukkan kisah politik secara tidak lansung. Bagaimana parti cuba membeli undi penduduk terutama orang Melayu Thailand yang mempunyai kad pengenalan Malaysia dengan memberikan sumbangan apabila hampir musim pilihanraya. Bagaimana dalam ucapan politik di sebelah Siam yang sentiasa menjanjikan pembangunan di kawasan selatan. Bagaimana setiap kali pemimpin besar dari Kuala Lumpur datang melawat maka semua pengkalan haram tidak dapat beroperasi. Dan setiap kali kawasan di sempadan mendapat ketua balai yang baru, keazaman mereka adalah untuk membanteras kewujudan pangkalan-pangkalan haran ini.

Isu agama turut dilakarkan denganmenunjukkan bahawa orang Melayu di selatan Thai amat taat beragama. Mereka selalu ke surau, masjid dan balaisah. Acara perayaan Aidil Adha disambut meriah dengan diadakan keramaian yang diisi dengan persembahan nasyid serta pertandingan seperti membaca, dikir dan sebagainya. Ayah Ahmad ketika menyeludup juga tidak pernah memberi rasuah kepada polis kerana itu haram. Penyeludup yang taat agama juga tidak menyeludup arak, dadah dan senjata api.

Antara yang menarik tulisan Isma Ae ialah kisah perlawanan bolasepak yang membabitkan anak-anak yang tinggal di dua kawasan tebing sempadan ini. Di sebelah Malaysia pasukannya bernama Border United manakala di sebelah Siam dinamakan Atas Tebing Star. Perlawanan bolasepak ini seolah satu titik yang membawa kesemua watak kanak-kanak ini pada satu tempat. Ia umpama jalinan-jalinan yang asalnya berlainan akhirnya bersatu di satu titik. Penyediaan pasukan, latihan, semangat untuk menang berjaya ditonjolkan penulis dengan baik seolah perlawanan bolasepak ini adalah sesuatu yang amat besar dan utama. ia adalah perlawanan anta dua buah negara!

Republik Sungai Golok tidak diakhiri dengan  - and they lived happily ever after - Ahmad terkorban sewaktu menjalani aktiviti penyeludupan, Irfan membawa diri setelah ayahnya meninggal di Makkah dan Ramlee sekeluarga ditahan penguatkuasa - antara faktor yang membawa kesusahan kepada pasukan Atas Tebing  Star!

Terlalu banyak untuk dicatatkan tentang buku ini. Ia amat menarik dan hamba terbayang sekiranya kisah ini difilemkan. Kisah kehidupan dari sempadan adalah lain daripada novel-novel yang pernah anda baca sebelum ini. Anda patut mendapatkannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...