Selasa, 14 Julai 2020

HOMESTAY - Eb Reeza, Maria Kajiwa, Rhea



Homestay merupakan sebuah antologi daripada tiga orang penulis. Menggunakan homestay sebagai tema, konsep sebegini mirip projek seram Buku Prima iaitu menggunakan tema yang khusus dan menggabungkan beberapa penulis dalam sebuah buku. Tiga tajuk yang terdapat di dalam antologi ini adalah Honeymoon, Homestay Putih Nian dan Rahsia. Novel ini menggunakan bahasa Melayu yang baik tanpa dicacatkan dengan bahasa slanga ataupun apa-apa yang tidak molek. 

Secara keseluruhan kisah-kisah seram yang dipaparkan tidaklah begitu seram ketika dibaca tetapi sekiranya ia datang dalam bentuk filem hamba percaya akan terasa keseramannya melalui kesan khas serta solekannya. Kisah pertama ialah gangguan terhadap pasangan yang baru berkahwin dan bercuti di sebuah homestay. Mengabaikan nasihat petugas untuk tidak keluar dari bilik selepas jam 10 malam, mereka telah mengalami gangguan sehingga akhirnya membawa kematian kepada mereka berdua. Saya merasa agak lucu membaca asbab kejadian di penghujung kisah apabila dinyatakan mereka yang sepatutnya menginap di Kubu Homestay telah tersalah memasuki Kubur Homestay! Pasangan ini menuju ke lokasi berpandukan Google Maps. Nampaknya koman sangat aplikasi ini apabila membawa penggunanya ke lokasi yang salah.

Kisah kedua oleh Maria Kajiwa hamba rasa yang paling menarik - tentang sebuah rumah yang dibeli oleh seorang pemuda bernama Razak untuk dijadikan homestay. Gangguan saka yang ada di situ telah menyebabkan usaha renovasi rumah berkenaan agak tergendala. Dalam usaha membuang saka berkenaan, Razak yang sepatutnya membuang saka berkenaan telah membuat perjanjian baru dengan makhluk berkenaan menyebabkan masalah yang dihadapi tidak lagi selesai.

Kisah ketiga, sepasang suami isteri bersama anak mereka memilih sebuah homestay untuk memulihkan semula hubungan mereka. Tanpa disedari, si isteri mempunyai agenda tersendiri yang amat jelik sekali. Dan tanpa si isteri juga sedar, pemilik homestay juga mempunyai agenda yang lebih jelik lagi. Dan yang amat jelik lagi mereka berdua sebenarnya mempunyai satu pakatan yang jahat tanpa si isteri sendiri sedar bahawa dia juga terperangkap. Secara tidak sedar hamba merasa benci dengan sifat seorang isteri yang khianat kepada suaminya walau apapun alasan. 

Sekiranya anda menyukai kisah seram yang melampau, antologi ini bukanlah untuk anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...