Khamis, 23 Julai 2020

INI SEKOLAH KITA - Hidayu Hatta, Musa Nuwayri & Faris Isa

Buku ini memenangi Anugerah Buku Negara 2017 bagi kategori kemanusiaan. Tentu ada sesuatu yang istimewa yang menyebabkan ia memenangi anugerah tersebut.

Membaca buku ini sangat mengujakan. Hamba tidak menyangka bahawa ada NGO di Jordan bagi mendidik anak-anak pelarian Syria ditubuh dan diterajui oleh anak Malaysia, bahkan mereka ini masih lagi bergelar pelajar universiti. Membahagikan masa di antara pelajaran serta kerja amal, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Bahkan walaupun ketika sibuk bergelut dengan peperiksaan, mereka tetap komited memberikan perkhidmatan kepada anak-anak pelarian ini.

Bukan mudah untuk mendidik kanak-kanak - apatah lagi anak-anak Arab. Sementelahan lagi peperangan serta kehidupan sebagai pelarian juga kehidupan jalanan telah membentuk anak-anak ini sedikit kasar. Hamba tabik dengan para sukarelawan Malaysia ini. Mereka nampak akan keburukan yang lebih besar sekiranya anak-anak ini terus dibiarkan liar di jalanan. Pendidikan adalah cara yang paling baik. Walaupun dari segi kemudahan ataupun silibus mungkin jauh daripada sistem persekolahan setempat, namun memberikan mereka sedikit pengetahuan - dapat mengeja, membaca dan mengira - juga membaca Al-Quran adalah sesuatu yang tidak ternilai. jangan terkejut walaupun mereka anak Arab, masih ada yang tidak tahu membaca Al-Quran.

Terlalu banyak dugaan yang para sukarelwan ini hadapi. Sebagai seorang yang pernah hidup bersama dengan orang Arab, hamba dapat menyelami perasaan mereka. Apatah lagi apabila dikhianati mereka yang saban hari kelihatan bermanis muka dengan kita. Kisah 'pengkhianatan' yang diungkapkan salah seorang penulis mungkin sukar dihadamkan mereka yang jarang berinteraksi dengan orang Arab. Kasihan hamba dengan para sukarelawan ini. Mereka hanya pelajar yang kurang penagalaman tetapi mempunyai keazaman yang tinggi melangit. Mereka tidak lansungmementingkan diri sendiri. Ya, orang seperti ini tidak ramai, dan biasanya yang mengubah dunia juga bilangannya tidak ramai seperti ini.

Hamba percaya para penulis ini sudahpun pulang ke tanah air bagi menabur bakti di negara sendiri pula. Moga semangat mereka terus menyala dan sama-sama memajukan pelajaran dan pemikiran rakyat Malaysia pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...