Rabu, 8 Julai 2020

NEVER GROW UP - Jackie Chan with Zhu Mo


Satu perkara yang membuatkan Jackie Chan kesal adalah bahawa beliau tidak mempunyai pelajaran yang tinggi. Banyak tempat dalam buku ini yang menunjukkan kekesalannya. Lebih-lebih lagi apabila tiba kepada perkara yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris. Pengalaman beliau ketika pertama kali menaiki kapal terbang untuk ke Australia agak melucukan akibat kekurangan itu. 

Jackie pernah bersekolah selama setahun sahaja, lebih kurang setakat darjah satu di tempat kita. Namun beliau tidak minat dengan pelajaran. Beliau nakal, suka membuli orang lain, tidak serius dengan pelajaran dan kerap bergaduh. Ini membuatkan beliau kemudiannya dimasukkan ke Chinese Drama Academy. Pada hari pertama di sana beliau suka dengan keadaan di situ kerana para pelajarnya kelihatan berlatih kung fu dan beliau merasakan itu amat menarik. Sementelahan lagi beliau pernah dibajar seni Gung Har oleh bapanya. Ketika ditanya berapa lama dia sanggup berada di situ, beliau dengan yakin menjawab -selamanya!

Namun setelah menyedari akan realiti, Jackie ternyata menyesal. Ini kerana tempat tersebut sangat keras pengajarannya. Dari pagi hingga ke malam hanya diisi dengan latihan bela diri. Jackie menulis jadual hariannya seperti berikut;

Wake up at 5:00 a.m. for breakfast. 

Practice kung fu until noon. 

Lunch. 

Practice until dinner at 5:00 p.m. 

Dinner. 

Practice until bedtime at 11:00 p.m. 

Do it again the next day.

Malah Jackie menyifatkan keberadaan beliau selama 10 tahun di akademi berkenaan sebagai a decade of darkness! Mengharungi latihan yang keras, hasilnya anda bokeh lihat sendiri mutu kung fu beliau di setiap filem lakonannya. Di sanalah beliau berkawan dengan teman sepelathan yang kemudian hari ramai yang turt bersama beliau di dalam industri filem Hong Kong.

Selain kung fu tentunya memoir ini dipenuhi pengkisahan beliau dalam dunia lakonan. Jackie mengambil masa yang lama untuk jadi terkenal. Di awal pembabitannya, beliau hanya menjadi watak sampingan atau tempelan di dalam filem aksi yang hanya menjadi mangsa belasahan hero. Pelakon tambahan yang beraksi ketika itu, sudahlah hanya menjadi mangsa belasahan, wajah mereka pun tidak berapa kelihatan di dalam filem. Mereka hanya akan nampak dari belakang atau sekilas pandangan sahaja. Malah Jackie juga kerap berlakon sebagai orang mati dan beliau merupakan yang terbaik ketika melakonkan peranan berkenaan. 

Selepas kematian Bruce Lee, syarikat perfileman cuba untuk mengisi lompong tersebut dengan mencari hero baru seperti beliau. Malah jalan cerita juga hampir sama, lebih kepada hero yang mahu membalas dendam. Jackie ketika kali pertama menjadi hero juga berlakon mengikut formula berkenaan. Filem awal beliau tidak berapa menjadi sehinggalah apabila beliau berpeluang melakukannya mengikut cara sendiri barulah berlaku perubahan dalam senario filem Hong Kong. Anda boleh lihat sendiri filem awal beliau yang berjaya iaitu Snake In The Eagle's Shadow dan Drunken Master dan membandingkannya dengan filem genre aksi sebelumnya, pasti akan nampak perbezaan. Inilah kali pertama filem aksi diadunkan dengan komedi dan tidak terikat dengan struktur filem aksi sebelumnya. Inilah permulaan kejayaan Jackie. Dan apabila beliau bernaung di bawah syarikat Golden Harvest, beliau diberikan kebebasan untuk mengarah mengikut acuan sendiri dengan bajet dan masa yang tidak terhad. Kepercayaan syarikat berkenaan telah dibalas oleh Jackie dengan sebaiknya.

Jackie bersama pasukan stunt beliau sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat para peminat. Kerana itu beliau melakukan sendiri setiap lagak ngeri yang kebanyakannya mendatangkan kecederaan. Malah di setiap akhir filem kita boleh melihat blooper aksi berkenaan. Antara kecederaan yang paling teruk adalah sewaktu filem Armour of God yang menyebabkan pendengaran beliau di sebelah telinga rosak selamanya. Bab ini antara yang menarik kerana Jackie bercerita tentang perkara di sebalik tabir tentang penggambaran babak aksi berkenaan. Bacalah tentang pengalaman aksi beliau jatuh dari jam dalam Project A serta terjun dari tingkat tinggi bangunan kompleks perniagaan melalui lampu-lampu dan kaca dalam Police Story.

Jackie boleh dilihat sebagai seorang yang amat mengutamakan sahabat terutamanya pasukan stunt serta kawan-kawan CDAnya. Beliau tidak kedekut berbelanja untuk kawan-kawannya. Beliau pernah membelikan jam mewah berharga berpuluh-puluh ribu seutas untuk setiap ahli pasukan stunt beliau. Beliau juga suka makan secara beramai-ramai dengan kawan-kawan sehinggakan anak beliau Jaycee menyifatkan beliau hanya ingat beberapa kali sahaja mereka pernah makan bertiga sebagai satu keluarga. Yang lainnya, pasti ada yang turut serta. Kisah kedermawanan Jackie bagi hamba agak hebat. Beliau tidak kedekut menderma. Mungkin kerana itu rezeki beliau kelihatan tidak putus. Kerap juga beliau berkisah tentang zaman miskin beliau dan keluarga.

Unruk menembusi pasaran Hollywood bukanlah satu yang mudah dan Jackie pernah gagal di peringkat awal. Jackie turut menyebut perbezaan budaya kerja antara team beliau dan Hollywood. Di Hollywood setiap pekerja telah ditentukan pekerjaan mereka dan mereka hanya akan melakukan pekerjaan yang telah ditentukan tersebut. Contohnya jikalau dia hanya bekerja mengangkat propmaka itu sahajalah yang akan dilakukan. Mereka sama sekali tidak akan melakukan perkara lain. Berbeza dengan team Hong Kong yang lebih bersifat all rounder tanpa mengira siapa. Siapa yang berada berhampiran lokasi untuk mengangkat barang maka dialah yang akan membantu. Bahkan Jackie menyifatkan tenaga kerja Hollywood agak perlahan. Jika pengarah meminta sesuatu perkara, sudahlah ia hanya akan diambil oleh pekerja yang berkenaan sahaja, mereka juga tidak mempunyai sifat kesegeraan ataupun sense of urgency. Berbeza di Hong Kong, pengarah bertempik sekali sahaja sudah cukup membuatkan pekerja kelam kabut.

Sebenarnya banyak kisah Jackie yang menarik yang perlu anda sendiri membacanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Walau apapun kisah beliau, pasti ada pandangan yang tidak menyamai dengan kita di sini sama ada dari segi ugama ataupun budaya. Yang penting mana yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.


......frust juga Jackie tak sebutpun beliau dapat Dato' dari Kerajaan Melaka serta pengalaman merakam Police Story Supercop di Malaysia!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...