Khamis, 16 Julai 2020

ROCK KAPAK NOT DEAD - Ocha Vozvyshennyy


Sekiranya anda memang Mat Rock sejati era 80-90an, tentunya sudah dapat meneka tanpa penuh keraguan dari manakah kulit buku ini dinspirasikan. Ia mengambil hampir 100% reka hias kulit album kumpulan Wings yang bertajuk Hukum Karma. Tajuk buku 'Rock Kapak Not Dead' adalah tulisan yang biasa dilihat diconteng di dingding-dinding atau di pintu jamban serta di beg sekolah budak rock tahun 90an. Memandangkan buku ini hamba beli secara atas talian, maka hamba tidak dapat melihat, menyelak-nyelak sepertimana ketika membeli di kedai buku. Hamba jangkakan ia agak tebal dan ditulis mengikut bab tertentu berdasarkan perkembangan dunia rock tempatan atau dalam kata lainnya sebuah mini eksiklopedia rock tempatan.

Tetapi buku ini tipis sahaja dan ia ditulis dalam bentuk sebuah cerita sambil diselitkan dengan beberapa fakta mengenai senario dan lagu rock tempatan. Di antara penceritaan, penulis menyelitkan QR code yang akan membawa pembaca ke laman You Tube yang mengandungi lagu-lagu rock seperti lagu yang disebutkan dalam buku tersebut. Memandangkan ini adalah sebuah novel jadi fakta-fakta rock yang terkandung di dalam penceritaannya adalah bersifat rojak, tidak mengikut kronologi masa serta tidak membahaskan secara meluas tentang semua senario ataupun kumpulan muzik yang ada. Dan hamba percaya kebanyakan fakta atau lagu-lagu yang dipilih oleh penulis adalah mengikut kecenderungan penulis sendiri yang lebih kepada rock berat. Antara peristiwa besar dalam dunia rock tempatan adalah larangan berambut panjang sekiranya mahu muncul di kaca televisyen. Sekiranya penulis lebih rajin untuk menebalkan novelnya, banyak lagi peristiwa besar yang boleh disebutkan seperti pengharaman rock setelah berlakunya kekecohan di Tapak Pesta Sungai Nibung, bantahan konsert Scorpion, dua anggota Search yang pernah ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dan lain-lain lagi. Jadi belum ada lagi penulis yang menulis tentang hal rock tempatan secara khas dan terperinci serta dijadikan sebuah buku.

Kisah dalam novel ini sebenarnya mudah sahaja. Bermula daripada seorang anak muda berusia 14 tahun bernama Lokman yang patah hati dengan seorang gadis. Ia diikuti dengan minatnya secara perlahan-lahan dalam muzik rock, usahanya belajar bermain muzik sehinggalah berjaya mempunyai band sendiri yang aktif bermain di dalam beberapa gig. Ayah Lokman memang tidak gemar dengan apa yang beliau lakukan. Lebih-lebih lagi minat Lokman yang berlebihan terhadap muzik rock menyebabkan beliau agak lalai dalam pelajaran. Lokman ini adalah pemuda zaman milleneum dan bukannya ramaja zaman rock kapak. Tetapi kerana muzik ini, beliau mula berpakaian seperti rockers zaman itu yang menyebabkan beliau kelihatan janggal di mata masyarakat. Lokman juga mula dikenali sebagai Man Bising kerana strumming gitarnya yang berkarat dan bising.

Lokman ini hamba lihat bukanlah budak yang bodoh sangat. Setelah gagal dalam kesemua matapelajaran dalam peperiksaan percubaan SPM, beliau melupakan muzik seketika dan memberikan tumpuan dalam matapelajaran. Hasilnya keputusan yang beliau perolehi adalah baik juga. Berjaya mendapat tawaran ke ASWARA serta Politeknik Sabak Bernam, beliau terpaksa meyambung pelajaran di politeknik setelah tidak direstui ayahnya untuk ke ASWARA. Lokman ini sejenis manusia yang tidak suka dengan sekolah. Beliau menganggap sekolah umpama kilang yang hanya akan melahirkan robot. Bagi hamba pemikiran Lokman ini silap. Hamba setuju bahawa pekerjaan apapun (asalkan halal dan tidak menyalahi agama dan undang-undang) yang dilakukan setelah tamat pelajaran adalah terpulang kepada individu. Apa yang kita perlu cari di sekolah atau mana-mana pusat pengajian adalah ilmunya. Kalau nak jadi rockers macam mana sekalipun, tanpa ilmu itu kita tetap nampak bodoh. Benar ilmu itu boleh didapati dimana-mana dan tidak semestinya di sekolah. Tetapi untuk menganggap tempat sedemikian tidak lebih daripada sebuah kilang adalah pemikiran yang silap. Lokman ada belajar akaun secara jarak jauh dan berjaya mendapatkan diplomanya. Namun beliau melakukannya hanya kerana tidak mahu masyarakat melihatnya tidak mempunyai segenggam sijil dan bukannya kerana ilmu. 

Lokman agak berjaya di dalam muziknya walaupun sekadar kumpulan kecil yang bermain di gig gig. Tidak berapa berjaya di dalam kerjaya kerana asyik berhenti kerana tidak serasi. Namun beliau agak lama bekerja di sebuah kedai gitar yang membolehkan beliau mempelajari ilmu menghasilkan gitar sehingga beliau kemudiannya boleh membuka kelas khas untuk mengajar membuat gitar.

Pengakhiran novel nipis ini hanya meninggalkan persoalan kepada pembaca kerana Lokman hilang secara tiba-tiba. Di hari yang sepatutnya beliau diberitahu khabar gembira bahawa kumpulan People On strike mendapat tawaran merakamkan album, beliau dikesan telah hilang dari penginapannya. Penulis tidak memberitahu akan sebab musababnya kecuali melalui dialog ayah Lokman yang mengatakan Lokman bimbang dengan populariti yang dinikmatinya. Khabar angin tentang keberadaan Lokman di Indonesia juga tidak begitu membantu.

Sesungguhnya hamba menyampah dengan kisah yang tergantung!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...