Jumaat, 10 Julai 2020

SELENA - Tere Liye

Ini bukan kisah seorang gadis latin sama ada dari Sepanyol mahupun Mexico. Bahkan Selena ini bukan makhluk asal bumi ataupun datang dari angkasa lepas. Bagi yang mengikuti novel-novel siri Bumi oleh Tere Liye, nama Selena bukanlah sesuatu yang asing. Selena adalah guru matematik kepada Raib, Seli dan Ali, tiga jagoan yang mewarisi teknik tempur mengikut klan masing-masing. Jika dalam siri-siri yang lalukita hanya mengenal sedikit sahaja tentang watak Selena, maka kali ini Tere Liye tampil dengan pengkisahan asal usul beliau.

Ternyata beliau asalnya bukanlah siapa-siapa. Seorang anak yang tinggal di Distrik Sabit Enam, daerah yang serba serbi mundur dan gersang. Telah kematian kedua ibu bapanya yang kemudian tinggal bersama pakciknya yang bernama Raf di Kota Tishri mengikut wasiat ibunya. Raf seorang kontraktor dan telah mengarahkan Selena untuk bekerja membuat terowong kereta bawah tanah pada hari beliau tiba di rumah Raf lagi. Memang melampau Raf ini sebab Selena baru sahaja berusia 15 tahun. 

Satu kelebihan Selena adalah daya pengelihatan beliau yang tajam serta boleh mengingati setiap perincian. Bakatnya itu kemudian telah memudahkan kerja-kerja binaan mereka. Watak Aq yang merupakan mandur kepada Selena mempunyai sifat yang prihatin. Aq memgajar Selena matematik, mengajar beliau, membenarkan Selena belajar apabila ada masa lapang sewaktu bekerja dan menggalakkan Selena mengambil peperiksaan. Menakjubkan Selena lulus dalam peperiksaan untuk belajar ke peringkat lebih tinggi sedangkan sebelum itu beliau tidak pernah bersekolah kerana kemiskinan.

Selena mencuba peluang untuk memasuki Akademi Bayangan Tingkat Tinggi (ABTT) dan telah melepasi dua tapisan ujian. Namun beliau gagal dalam ujian ketiga yang melibatkan teknik pertarungan. Ini amat mengecewakan beliau sedangkan dalam ujian sebelumnya beliau mendapat kedudukan kedua dan ketiga terbaik. Ketika inilah munculnya Tamus, satu watak yang berkomunikasi melalui cermin. Watak ini telah kita kenali dalam siri pertama Bumi lagi. Tamus boleh memulihkan tenaga bertarung Selena dan itu tentunya memerlukan balasan.

Selena diterima masuk ke ABTT dan kisah kemasukan beliau di hari pertama memang menggemparkan. Peristiwa berkenaan juga menjadikan beliau target oleh para seniornya. Berkenalan dengan dua watak baru iaitu Mata dan Tazk, ketiga mereka ini kemudiannya menjadi rakan baik serta memiliki kemahiran tempur yang melebihi orang lain.

Tamus telah memberikan satu tugas sukar buat Selena dan mengugut akan menghapuskan kuasa beliau sekiranya Selena gagal melaksanakannya. Selena tiada pilihan kerana jika kemahiran tempur yang beliau ada ketika ini dimusnahkan, maka tiada makna untuk terus berada di ABTT. Selena tidak mengetahui bahawa Tamus merupakan salah seorang crook dalam siri ini yang bakal menghuru harakan dunia paralel. Yup Selena berjaya melaksanakan misi sukar ini dengan penuh kepayahan. 

Kisah Selena berakhir di tahun pertama pengajiannya dan setelah beliau menyerahkan apa yang dikehendaki oleh Tamus. Ia diikuti dengan satu bab epilog masa kini di mana Selena berada dalam tahanan di satu tempat yang tidak diketahui. Selena sedang cuba berhubung dengan Raib, Seli dan Ali. Teka teki pembaca belum berakhir. Pembaca perlu mencari Nebula pula untuk kisah seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...