Isnin, 24 Ogos 2020

CERITA SAYA - Lim Goh Tong



Buku ini hamba pinjam daripada perpustakaan jabatan. Mengikut rekod pinjaman, hamba orang yang pertama membuat pinjaman buku ini sejak ia mula berada di perpustakaan pada 2016. Harapannya ini bukan kali pertama buku ini dibaca semenjak ia berada di situ. Hamba percaya ada yang pernah membaca buku ini di perpustakaan berdasarkan 'kelusuhan' buku ini.
Walaupun buku ini kelihatan tebal, ketebalannya adalah disumbangkan oleh mutu kertas yang baik serta saiz font yang besar. Sekiranya ditaip dalam font yang kecil sedikit serta menggunakan kertas biasa, ia pastinya akan menjadi nipis. Sehubungan itu buku Cerita Saya ini hamba percaya tidaklah menceritakan segala-galanya akan kisah hidup Lim Goh Tong (LGT). Walau bagaimanapun hamba juga percaya orang yang memilih buku ini pastinya lebih mahu membaca tentang usaha pembangunan Genting Highland.
Buku ini, kisahnya daripada Lim Goh Tong, tetapi ditulis oleh Chew Sau Loong. Versi asal buku ini adalah dalam bahasa Cina sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kerana itu apabila hamba membaca buku ini kadangkala berasa sedikit kejanggalan dalam penggunaan bahasa Melayu - kesan terjemahan lansung daripada bahasa lain.
Memandangkan tiada catatan tentang latar pendidikan LGT di dalam buku ini, pastinya beliau hanya mendapat pendidikan yang tidak formal. Namun membaca keseluruhan buku, pembaca pastinya bersetuju bahawa walaupun tanpa pendidikan yang tinggi, beliau pastinya seorang yang bijaksana dan bijak merebut peluang.
Meninggalkan negara asalnya yang mula kacau bilau akibat peperangan, beliau merantau ke Tanah Melayu bagi mencari penghidupan. Sesungguhnya pengalaman awal beliau sebelum ke Tanah Melayu tidaklah seberapa. Hanya berniaga benih sayuran membantu bapanya sebelum menjalankannya sendiri setelah kematian bapanya. Beliau asalnya adalah seorang introvert. Menyedari bahawa sikap sebegini tidak membawa keuntungan, beliau cuba menukar keperibadian beliau kepada seorang yang peramah. Ternyata beliau nampak akan kelebihan menjadi seorang yang peramah dan ia pastinya banyak membantu beliau di dalam membina perniagaan.
Seperti yang hamba sebutkan di awal tadi, walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, beliau adalah seorang yang bijaksana dan pandai mengambil peluang. Kalahnya Jepun dan kembalinya orang putih ke Tanah Melayu, mereka telah membawa pelbagai mesin pembinaan untuk memulihkan negara. Setelah beberapa tahun, mesin-mesin ini telah dijual secara tender dan LGT mengambil peluang membeli mesin-mesin berkenaan. Mesin berkenaan kemudiannya dibaik pulih dan dicat baru seterusnya dijual dengan harga yang lebih tinggi. Dari situlah beliau mula mengukuhkan perniagaan, menyimpan modal yang lebih besar dan seterusnya mencuba perniagaan-perniagaan baru.
Menjadi seorang kontraktor, syarikat beliau pernah mengambil beberapa projek yang 'mustahil' sehingga dianggap bodoh dan akan mendapat kerugian yang besar. Walaupun bukan seorang jurutera atau arkitek bertauliah, kebijaksanaan beliaulah yang membuatkan projek-projek berkenaan dapat disiapkan dan seterusnya menaikkan lagi nilai syarikat beliau sebagai kontraktor yang berkebolehan dan boleh dipercayai.
Dan inilah juga yang berlaku apabila beliau mula mahu membangunkan Genting Highland. Tiada siapa yang mahu menyertai beliau bahkan tiada yang percaya beliau boleh membangunkan Genting. Bahkan orang meramalkan beliau akan gagal dan rugi. Tiadanya penyertaan daripada rakan kongsi mungkin ada baiknya juga (walaupun agak sengsara dari sudut kewangan) - beliau booleh membuat keputusan sendiri dengan pantas tanpa campur tangan ataupun dipertikaikan oleh orang lain. Ya, pada ketika itu sememangnya ia suatu yang mustahil, apatah lagi teknologi pembinaan tidaklah seperti sekarang. Dan apa yang berlaku seterusnya adalah sejarah.
LGT mahu membina Genting atau Gunung Ulu kali sebagai sebuah kawasan pelancongan tanah tinggi, sama seperti Cameron Highland, tempat di mana beliau mendapat idea untuk tujuan tersebut. Asalnya beliau hanya mahu membina sebuah hotel 38 bilik. Tetapi tawaran seorang pemimpin negara agar beliau memohon lesen kasino telah merubah segalanya. Bermula dari situ perancangan beliau telah berubah. Dari hotel 38 bilik, beliau telah merancang sebuah hotel yang lebih besar. Amat ajaib apabila permohonan lesen kasino beliau hanya diluluskan hanya dalam masa enam jam setelah beliau menghantar permohonan. Nampaknya begitu mudah tanpa perbincangan serta kajian oleh pihak kerajaan. Dalam awal buku ini LGT ada menyebutkan tentang kepentingan institusi keluarga. Mungkin beliau hanya namapak kepentingan itu apabila berkait dengan diri beliau sahaja tetapi tidak nampak kepentingan ia pada orang lain. Mungkin beliau tidak sedar bahawa perjudian juga boleh menyebabkan sesebuah keluarga itu porak peranda. Tetapi itulah, keputusan telah dibuat oleh pimpinan dahulu. Hamba berlepas diri. Hamba sama sekali tidak menyokong sebarang perniagaan perjudian - tidak kiralah di tempat yang besar atau hanya sekadar di kaki lima.
Kisah pembangunan Genting Highland adalah kisah yang memenuhi 2/3 buku ini. Ia sesungguhnya adalah projek berani mati. Kejayaan pembangunannya yang pertama telah membawa kepada kejayaan-kejayaan lain. Perlu dijelaskan bahawa LGT mula membangunkan Genting pada usia yang telah lanjut, pada usia yang orang lain mula bersara, berehat dan menikmati masa pencen dengan bahagia. Beliau mahu menunjukkan bahawa usia bukanlah penghalang untuk memulakan sesuatu yang besar. Dan setelah pembangunan Genting, beliau masih terus bergerak sehingga beliau kemudiannya mempunyai empayar kapal persiaran pula (kejayaan ini banyak beliau pulangkan kepada kemampuan anak beliau. Lik Kok Thay). 
LGT menyerahkan tampuk perniagaan beliau kepada Lim Kok Thay pada tahun Tun Mahathir menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Tun Abdullah. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2007. Syarikat yang beliau tinggalkan masih lagi bergerak cergas tanpa tiada tanda berhentinya.

Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

2 ulasan:

  1. Nak tanya Buku ni blh dapat di mana?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Buku ni dulu mudah didapati di MPH. Tak tau ada jual lagi atau tidak memandangkan penerbitannya sudah lama.

      Padam

KEMBARA DARUS SENAWI 1963 - Darus Senawi & Izzat Ibrahim

  Hamba tidak dapat menahan diri daripada mencapai buku ini dan melihat isi kandungannya. Lagipun ini kali pertama hamba memasuki kedai buku...