Ahad, 30 Ogos 2020

GEMPAK RAPSODI #segardalamingatan


Seperti kebiasaan kebanyakan buku hamba yang lain, buku yang ini juga selepas dibeli, diperam sekian lama sehingga ada waktu untuk membacanya. Dan bagi mencari masa membaca, buku ini hamba baca sewaktu menunggang basikal senaman di gimnasium. Ada baiknya juga membaca semasa menunggang basikal senaman. Selain dapat memanfaatkan masa dengan melakukan dua aktiviti dalam satu waktu (membaca dan bersenam), kelekaan membaca akan membuatkan kita terlupa akan kepenatan berkayuh kerana terlalu asyik menatap buku. Sedar-sedar masa telahpun berlalu dan kita telahpun menamatkan waktu berkayuh. Yup, ini bukan kali pertama hamba berkayuh sambil membaca. Telah beberapa buah buku hamba lakukan seperti ini.

Ada lebih kurang 12 pelukis dalam kompilasi ini seperti Zint, We-Man, Rimba Sipolan, Zuan, Scarecrow, Taufan, Octopus, Totoro, King Kong, Ageha, Mr. Children dan Baba Chuah yang tampil dengan pelbagai cerita. Gempak Rapsodi menghidangkan siri lengkap XC-Fighter karya Zuan. Kalau baca secara bersiri di majalah memang letih kerana terpaksa menunggu terbitan akan datang sebelum dapat menyambung bacaan. Namun dalam kompilasi ini kita boleh membaca terus sekaligus. walau bagaimanapun hamba bukanlah peminat gaya lukisan Zint walaupun persembahannya boleh dikira lucu.

Dimensi ke-4 oleh Octopus menghidangkan karya bisu yang menuntut pembaca berfikir. Ia memang sebuah cerita pelik tetapi dengan gaya lukisan yang menarik serta expresi watak yang sesuai mengikut cerita, persembahan Octopus boleh dikira menarik walaupun hadir tanpa sebarang dialog.

Hamba seperti biasa menggemari karya Baba Chuah. Ini kerana lukisan Baba Chuah lebih bersifat tempatan dengan tidak banyak pengaruh manga atau manhwa. Baba Chuah boleh melukis tentang suasana dan budaya orang Melayu dengan baik sekaligus menunjukkan pengetahuan beliau yang mendalam terhadap budaya tempatan. Dalam karya beliau yang bertajuk Harimau Misteri ini beliau menggambarkan suasana masyarakat Melayu di kampung dengan baik sekali termasuk gaya pemakaian serta persekitaran yang benar-benar menampakkan persekitaran kampung tradisional. Lain-lain pelukis dalam kompilasi ini, lukisan mereka lebih banyak dipengaruhi unsur gaya luar. Orang lain mungkin gemar gaya sebegini, tetapi tidak bagi hamba secara peribadi. Kadang-kadang ia nampak janggal. Contohnya dalam karya Taufan Pesaka oleh Taufan, walaupun berlatarbelakangkan zaman Melaka, namun bukan sahaja gaya lukisannya, tetapi penceritaannya juga banyak dipengaruhi idea luar. Kerana itu apabila membacanya hamba tidak berasa seperti cerita tempatan. Ia seperti sebuah cerita Hong Kong yang dialih bahasa sahaja.

Ada lagi beberapa siri kompilasi Gempak yang masih berada dalam plastik. Kebarangkalian untuk menghabiskannya di atas basikal juga adalah besar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...