Khamis, 20 Ogos 2020

HIKAYAT HANG TUAH - Naskhah DBP

 


Hikayat Hang Tuah yang hamba baru sahaja selesai membacanya ini adalah merupakan edisi cetakan tahun 2017. Ia adalah Naskhah Dewan Bahasa & Pustaka yng diperolehi daripada Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad (Tengku Seri Utama Raja), seorang kerabat diraja Kelantan. Atas usaha Allahyarham Kassim Ahmad yang merumikan buku ini, ia telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1964. Andaikata tida usaha merumikan hikayat ini nescaya amat sukarlah untuk membacanya memandangkan gaya tulisan dan bahasanya yang amat berbeza dengan hari ini. Bahkan usaha menerbitkan nashah ini bukanlah sahaja setakat merumikannya sahaja bahkan turut merujuk kepada beberapa naskhah Hikayat Hang Tuah yang lain serta mereka yang pandai bahasa. Tidaklah patut sekiranya kita menyatakan usaha ini sesuatu yang sia-sia memandangkan bangsa asing seperti orang Inggeris dan Belanda juga ada mengkaji hikayat ini. Jikalau orang asing mengambil usaha sedemikian, apatah pula anak bangsa sendiri. Naskhah 1964 ini kemudiannya diterbitkan semula dalam edisi Karya Agung Melayu pada 1997 dengan pengenalan tambahan oleh Dr. Noriah Mohamed. Edisi Karya agung ini merupakan edisi mewah kepada beberapa manuskrip Melayu dan dijual dengan harga yang agak tinggi. Justeru naskhah yang hamba baca ini adalah naskhah kulit nipis yang berasaskan edisi Karya Agung 1997 tersebut.

Kulit buku yang menampilkan dua pendekar sedang bertempur secara sihouette tersebut sebenarnya menarik. Tetapi penerbit atau editor mungkin tidak terperasan akan imej lampu kalimantang yang berada di atas membuatkan imen ini tidak nampak seperti dari zaman lampau.

Banyak sudah tulisan serta kajian yang dibuat ke atas hikayat ini. Bahkan pengenalan oleh Kasim Ahmad dan Noriah Mohamed juga sebenarnya sudah agak memadai. Justeru tulisan hamba ini bukanlah satu kajian atau ulasan terperinci terhadap karya ini. Ia tidak lebih sekadar pandangan terpencil seorang peminat sastera atau karya-karya Melayu.

Membaca keseluruhan hikayat, hamba bersetuju dengan pandangan bahawa karya ini hanyalah merupakan sebuah fiksyen atau cerita dan bukannya sebuah dokumen sejarah. Lagipun namanya adalah 'hikayat' dan hikayat bermaksud cerita. Ia adalah sebuah cerita dengan menggunakan latar watak, tempat dan masa kejadian sebenar. Ia adalah seperti kenyatan yang seperti kita lihat dalam movie orang putih - based on true story atau based on true event. Kita tidak perlu melatah atau taksub dengan bermatian-matian mempertahankan hikayat ini adalah benar 100%. Kita perlu membaca sepenuhnya hikayat ini dengan membandingkannya dengan fakta-fakta yang sahih. Secara peribadi hamba percaya bahawa watak Laksamana Hang Tuah itu wujud dan hamba percaya beliau adalah merupakan seorang tokoh yang hebat. Namun dalam masa yang sama juga hamba percaya bahawa beliau juga adalah seorang manusia biasa sama seperti kita. Justeru kadangkala kita akan melihat hikayat ini kadangkala mengangkat watak Laksamana secara berlebih lebihan yang mana saya percaya ia adalah untuk mengangkat tinggi watak itu sendiri dan menjadikannya hero agung. Apapun hamba bersetuju dengan pandangan bahawa penulis hikayat ini seorang yang berpengetahuan dan banyak membaca. Perlu diketahui Hikayat ini berlansung sehingga penaklukan Belanda ke atas Melaka dengan pertolongan orang Melayu Johor - lebih 100 tahun selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis. Hikayat ini pula kebarangkalian tamat dikarang pada 1878 atau 1849 berdasarkan beberapa naskhah yang ada. Apabila hikayat ini dikarang selepas lebih 300 tahun maka tentulah ia bergantung dengan banyak sumber lisan sahaja yang tidak lari daripada tokok tambah. Dalam hkayat ini banyak tersebut akan kembara laksamana ke beberapa negara yang pada hari ini dapat kita lihat bahawa negara itu benar-benar ada. Sekiranya negara di sekitar jajahan takluk Melaka kita tidah hairan sekiranya ia berada di dalam pengetahuan penulis. Namun apabila ia turut menulis tentang beberapa negara atas angin kita boleh katakan bahawa sama ada perjalanan tersebut benar-benar berlaku ataupun penulis hikayat sememangnya seorang berpengetahuan serta seorang ahli kembara.

Antara kisah-kisah dalam hikayat yang kita dapati berlainan daripada catatan sejarah yang seterusnya boleh membawa kepada perbincangan lanjut adalah:-

- Raja Melaka yang pertama adalah anak Sang Sapurba yang bernama Sang Maniaka yang sebelumnya telah dirajakan di Bentan. Ia bertentangan dengan fakta bahawa pemerintah Melaka yang pertama adalah Parameswara yang sebelum itu pernah memerintah Singapura atau Temasek lebih kurang 9 tahun. Parameswara adalah cicit Sang Nila Utama yang membuka Singapura. Parameswara melarikan diri dari Temasek yang diserang oleh Majapahit yang dibantu oleh Sang Rajuna Tapa yang membelot.

- Melaka mengikut sejarah diperintah oleh beberapa orang Sultan. Hikayat ini menampilkan Sang Maniaka adalah sultan Melaka sepanjng Hikayat ini berlansung sebelum menyerahkan takhta kepada Puteri Gunug Ledang.

- Orang-orang dalam hikayat ini kelihatan seolah-olah telah Islam sejak mula lagi berbeza dengan kisah kedatangan Islam ke Melaka.

- Puteri Gunung Ledang dalam hikayat adalah anak perempuan Sultan Melaka dan menjadi pemerintah terakhir kerajaan Melayu Melaka. Melaka jatuh kepada Feringgi semasa pemerintahan baginda. Menurut fakta sejarah, Melaka tidak bersultankan seorang perempuan dan sultan Melaka yang terakhir adalah Sultan Mahmud Shah sebelum menyerahkan takhta kepada Sultan Ahmad di saat Melaka sedang pecah perang dengn Feringgi.

- Sultan Melaka setelah menyerahkan takhta kepada Puteri Gunung Ledang telah berubah menjadi seorang darwis. Dalam pengembaraannya beliau dikatakan bertemu dengan malaikat Jibril. Bagi hamba ini adalah satu cerita yang agak melampau. Ditulis barangkali kerana hendak menunjukkan kemuliaan seorang raja.

Kita biasa membaca tentang kisah perlawanan Hang Tuah menentang Taming Sari yang akhirnya dimenangi oleh Laksamana sehingga dianugerahkan keris kepunyaan Taming Sari itu. Namun itu hanyalah satu daripada banyak kisah Laksamana di Majapahit. Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada berusaha dengan gigih untuk menghapuskn Laksamana. Telah beberapa kali dikirimkan penjurit-penjurit yang berkepetangan untuk membunuh beliau, dari seorang, berpuluh hingga beratus orang sekali beradu dengan Laksamana namun masih dapat dikalahkan oleh beliau. Bahkan dalam usaha untuk menghapuskan Laksamana itu, Betara Majapahit sendiri tidak kisah dengan kematian rakyatnya sendiri apabila membiarkan penjurit yang diupah untuk mengamuk dan membunuh orang ramai demi menarik perhatian Hang Tuah untuk bertarung. Namun hamba amat gemar membaca bagaimana Hang Tuah dan saudara-saudaranya 'membalas dendam' dengan menceroboh taman larangan Betara Majapahit dan melakukan sesuaka hati beliau di sana.

Secara keseluruhan, sultan Melaka digambarkan tidaklah begitu bijak. Baginda banyak bergantung kepada kebijaksanaan bendahara, laksamana dan temenggung di dalam menjalankan pemerintahan. Sultan juga mudah termakan hasutan pembesar baginda yang mempunyai hasad. Dalam hal ini tentulah kita akan mudahmengingati apa yang terjadi kepada Hang Tuah. Dalam hikayat sekurang-kurangnya dua kali sultan mengarahkan Hang Tuah dibunuh. Kali yang pertama bendahara meminta Hang Tuah bersembunyi dengan pergi ke Inderapura. Bagi memenangi semula hati Sultan maka itulah berlakunya peristiwa Hang Tuah membawa Tun Teja ke Melaka memandangkan sebelum itu sultan pernah meminang Tun Teja tetapi ditolak. Peristiwa yang kedua itulah yang paling sering diceritakan yang akhirnya membawa kepada pertarungan Tuah dan Jebat (mengikut Sejarah Melayu pertarungan yang terjadi adalah antara Tuah dan Kasturi).

Pertarungan Tuah Jebat masih dibicarakan hingga ke hari ini. Ia membawa kepada dua puak. Satu akan pandangan betapa perlunya setia kepada pemimpin dan yang kedua pemimpin yang tidak adil perlu ditentang. Dalam hal ini Tuah memang kelihatan mempunyai kesetiaan yang melampau. Beliau boleh sahaja mencadangkan kepada sultan agar Jebat hanya ditangkap dan diadili tetapi menerima sahaja arahan untuk membunuhnya. Adapun si Jebat itu, walaupun mmepunyai sifat murni ingin memberikan keadilan kepada Tuah, namun perbuatan beliau itu banyak yang menyalahi syariat, antaranya ialah membunuh banyak nyawa serta bermukah dengan wanita di istana. 

Hamba mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyelesikan pembacaan hikayat ini. Membaca bahasa lama membuatkan pembacaan kurang lancar kerana asyik mnyemak makna perkataan di belakang buku. Bahkan hikayat inu cukup baik untuk membuatkan hamba cepat berasa mengantuk. Pembaca boleh melihat nahawa penulis hikayat banyak mengulang ayat atau kadaan yang sama walaupun ditempat yang berbeza. Contohnya setiap kali ada kisah mengadap raja, pastinya selepas itu akan diikuti dengan kisah makan-makan (hidanganpun diangkat oranglah....) dengan di paparkan juga keadaan pinggan dan cawan yang indah bertatahkan ratna mutu manikam dan sebagainya. Itu belum lagi kisah anugerah persalinan yang membuatkan hamba percaya mereka yang seringmenerima anugerah ini mempunyai rumah atau gudang yang besar kerana sering mendapat kurnia yang besar.

Adat di istana yang sering dipaparkan adalah adanya meminum minuman yang memabukkan sambil berhibur dengan masing-masing menunjukkan kepandaiannya menari. Andai perkar ini benar, maka terasa dukacita juga dengan budaya minum khamar yang tentunya haram di sisi syariat ini.

Selain daripada menjadi utusan atau duta ke beberapa negara di rantau ini seperti Majapahit, Jambi, Palembang, Bentan, dan Siam, Laksamana juga diceritakan pernah ke Benua Keling, China, Sailan, Mesir, Makkah dan Rom (Kostantinopel/Turki). Telah ada kajian lain yang dibuat dengan meneliti rekod-rekod negara berkenaan sekiranya Hang tuah pernah melawat negara yang disebutkan. Hamba sendiri secara peribadi cenderung dengan kepercayaan Hnag Tuah pernah ke negara berkenaan, cuma keadaan yang digambarkan dalam hkayat ini kadangkala nampak berlebih-lebihan.

Hang Tuah terkenal dengan empat orang lagi sahabatnya. Namun yang popular hanyalah Hang Jebat, sedikit kisah tentang Hang Kasturi dan hampir tidak ada tentang Hang Lekir dan Hang Lekiu. Ini memandangkan kita amat kekurangan catatan tentang keadaan zaman lalu. Tidaklah hairan sekiranya semua catatan ini telahpun musnah semasa penaklukan Melaka. Jadi catatan yang sampai kepada kita hari ini hanyalah catatan yang telah ditulis selepas ratusan tahun kisah ini berlaku. Manakala catatan yang hampir dengan zaman Melaka hanyalah kepunyaan bangsa penjajah seperti Suma Oriental oleh Tom Pires.

Walaupun sekadar hikayat yang mempunyao banyak persoalan dan pertikaian di sna sini, sekurang-kurangnya ia adalah gambaran tentang bahasa, budaya dan adat masyarakat lampau. Kita perlu berterima kasih kepada penulis hikayat serta mereka yang berusaha menyalinnya. Ini kerana usaha menyalin hikayat ini pada zaman lalu bukanlah satu perkara yang mudah kerana kesukaran alat menulis seperti pena dan kertas. Apatah lagi hikayat ini sebenarnya amat tebal. Alangkan dengan tulisn bertaip halus pun masih memakan lebih 500 mukasurat, inikan pula tulisan tangan. Jadi mereka yang terdahulu menyalinnya telah menggunakan banyak masa dan tenaga sehingga hikayat ini sampai kepada kita pada hari ini.

Hamba percaya di Arkib Negara Malaysia masih banyak lagi manuskrip yang masih belum terusik dan berada dalam bentuk asal. Moga ada lagi bijaksana kita yang akan menyalin semula manuskrip berkenaan untuk memudahkan orang hari ini membacanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...