Ahad, 30 Ogos 2020

ORANG KOTA BHARU - S. Othman Kelantan


Kali terakhir buku ini dipinjam mengikut rekod perpustakaan yang ditampal pada buku ini adalah pada 10 tahun yang lalu! Adakah ini boleh dijadikan penanda bahawa sememangnya rakyat Malaysia tidak suka lagi membaca buku - terutamanya karya-karya sastera. Sekiranya begini sambutan kepada air tangan seorang sasterawan negara, maka apatah lagi dengan karya penulis lain. Atau juga masyarakat lebih suka membaca karya-karya yang bersifat ringan maka karya besar sebegini agak terabai. Jika di perpustakaan pun tidak berapa laku, bagaimanakah agak nasibnya karya seperti ini di toko-toko buku.

Orang Kota Bharu (S.Othman Kelantan menggunakan Kota Baru - tanpa H - di dalam buku ini) berlatarkan Kota Bharu sekitar 50an sehingga pertengahan 70an. Beliau mengungkapkan perihal kehidupan orang di bandar itu daripada pelbagai latar belakang kehidupan. Daripada golongan bangsawan, ahli politik, samseng (orang gedebe), ahli agama, pelajar pondok, penghibur, wanita joget, orang biasa, peniaga, petani dan sebagainya. Semua watak berkenaan walaupun kadangkala tidak berkait antara satu sama lain, tetapi melalui janinan ceritanya, kita boleh melihat apa kaitannya serta apa yang terjadi kepada mereka dengan beredarnya masa serta berubahnya suasana politik tempatan.

Di permulaan babnya, penulis lebih memfokuskan tentang keadaan bandar Kota Bharu itu sendiri, terutama tentang sejarah dan latar belakangnya. Secara ringkas penulis bercerita juga tentang kehidupan di bandar Kota Bharu dengan pelbagai latar manusianya.

Selepas bab ini penulis membicarakan tentang kehidupan manusia di bandar Kota Bharu dengan pelbagai latar yang berbeza. Dalam bab-bab selepas itu penulis seolah memfokuskan kehidupan manusia mengikut persekitaran tempat atau persekitaran khas yang diungkapkan melalui beberapa watak. Contohnya dalam bab 2 - Taman Syurgawi yang memfokuskan tentang sistem pondok di Kelantan. Melalui beberapa watak, penulis cuba menggambarkan sebolehnya tentang sistem pondok serta suasana menuntut agama. Ada watak lelaki gedebe yang telah insaf serta cuba memperbaiki diri, watak lelaki yang mahu mencari sebenarapa banyak ilmu buat bekalan hari tua dan sebagainya. Di samping itu penulis memasukkan banyak unsur ugama dan dakwah yang diungkapkan melalui pengajian oleh beberapa ustaz atau tuan guru sama ada melalu kitab-kitab tertentu atau melalui kuliah secara umum.

Penulis turut menulis tentang suasana dunia hiburan di Kota Bharu melalui kewujudan Biarritz Park. Kerana Biarritz Park, Kota Bharu pernah mendapat jolokan Paris Malaya! Hamba cuba mencari maklumat secara ringkas tentang tempat ini di internet. Ternyata penulis bukan sekadar omong kosong. Biarritz Park ternyata pernah wujud di Kota Bharu.


                       
Biarritz Park menyajikan pelbagai jenis hiburan. Selain daripada hiburan nyanyian dan joget, beberapa persembahan yang bersifat tradisional seperti wayang kulit turut diadakan. Itu tidak termasuk aktiviti kurang sihat lain yang berlansung sama ada di situ juga di beberapa tempat lain termasuk di rumah-rumah rakit di pinggir Sungai Kelantan. Nama-nama seperti Norma Buloh Perindu, Siti Ainun kacip Mas, Habibah Tahi lalat, Cik Yam Batil, Cik Putih Sulur dan Salbiah Kuning Manis adalah antara primadona yang menghiasi Biarritz Park. Perlu ditulis di sini, segala aktiviti berkenaan bukannya tidak mendapat bantahan daripada masyarakat dan para ulama, tetapi kerajaan dengan nasihat pegawai British tetap mendirikannya.

Biarritz Park pasti ada samseng yang menguasainya, bahkan di lain-lain tempat juga. Nama-nama samseng biasnaya mempunyai gandingan atau gelarnya - yang kebiasaannya mengikut tempat mereka datang seperti Jali Sabak, Ali Kutan, Mat Sin Golok, Jusuh Kelab, Lias Banir Belikong, Noh Ular kapak dan lain-lain. Dan mereka tidak lengkap tanpa senjata seperti kapak binjai manis, kapak kecil, kapak bungkus, kelewang, parang, parang jenguk, parang calung, tongkat enam sembilan, anak langsat, pisau jam, lawi ayam, keris, badik, buku lima dan sebagainya. Justeru di zaman itu mendengar orang dikapak oleh samseng merupakan satu perkara biasa. Antara hukuman terhadap samseng yang popular dahulu adalah hukuman buang daerah. Mereka yang bersalah akan dibuang ke daerah yang paling hulu. Perlu diketahui, daerah hulu pada masa lalu memang sebenar-benarnya hulu - tanpa hubungan jalanraya atau pengangkutan yang sempurna dengan tiada kemudahan asas seperti air dan api yang baik.

Penulis turut mengkisahkan tentang kehidupan petani-petani kecil yang berkebun di atas 'pulau-pulau' yang ada di atas sungai Kelantan serta masalah yang mereka hadapi seperti bah dan harga rendah yang diambil oleh peraih.

Bab mengenai politik boleh dikatakan antara pengkisahan yang panjang di dalam buku ini. Ia bermula dar sebelum merdeka sehinggalah pertengahan 70an. Dan apabila membeicarakan tentang politik di Kelantan ia pastinya tidak akan lari daripada kisah UMNO dan PAS. Mereka pernah bermusuh, pernah bersama dan kemudian bermusuh kembali (nota - pada 2020 mereka kembali bersatu). Justeru isu perpaduan Melayu menjadi isu pokok termasuk ancaman serta tidak sopannya para imigran. Suasana politik ini juga turut mengubah atmosfera Kota Bharu dan tidak terkecuali Biarritz Park. Cerita-cerita tentang penutupan tempat hiburan itu memanaskan penghuninya serta para samseng yang menguasai tempat berkenaan. Ia menjadi ancaman kepada periuk nasi mereka.

Tidak lengkap bercerita tentang Kota Bharu jikalau tidak disebutkan tentang banjir atau bah yang kerap melanda. Kisah-kisah bah ini difokuskan kepada kelompok yang menetap di Taman Kebun Sultan. Bagaimana mereka saling bantu membantu, bagaimana mereka menyelamatkan barangan tidak terkecuali tentang penyelewengan apabila barang bantuan kerajaan dijual oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Dalam pengkisahan banjir ini hamba tertarik dengan para '......Perpindahan terbesar berlaku di Kuala Krai. Bandar Kuala Krai sendiri tenggelam seluruhnya, kecuali hospital, kerana berada di atas bukit.' Dalam banjir besar tahun 2014, hospital berkenaan walaupun masih tidak ditenggelami banjir, telah menjadi umpama sebuah kawasan pulau apabila kawasan di sekelilingnya dinaiki air yang turut memutuskan kemudahan elektrik.

Orang Kota Bharu adalah sebuah fiksyen dengan menyelitkan unsur sejarah Kota Bharu serta sedikit bahan dakwah. Hamba mendapat banyak pengetahuan lewat pengkisahan S. Othman Kelantan melalui buku ini. Inilah yang membezakan air tangan penulis hebat seperti barisan Sasterawan Negara serta para sasterwan asli dengan penulis lain. Penulisan mereka ada isi dan ilmu yang bermanfaat. ia tidak sekadar hiburan buat mengisi masa lapang. Kita perlukan karya-karya seperti ini untuk menyuburkan jiwa masyarakat. Bukan tak boleh baca cerita hantu, tapi janganlah selalu!!

Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...