Rabu, 5 Ogos 2020

RAHSIA PENAKLUKAN MELAKA 1511 - Tun Suzana Tun Othman & Hasanuddin Yusof



Walaupun menampilkan tajuk 'rahsia', perkara berkenaan penaklukan Melaka ini bukanlah sebenarnya satu rahsia. Kerana ia bukannya berasal daripada dokumen yang bertaraf rahsia besar atau sulit dan tersimpan berkunci di mana-mana bunker bawah tanah. Segala rujukan penulis untuk buku ini adalah bahan yang kita sendiri boleh dapati di mana-mana. Cuma bezanya segelintir kita dengan penulis dalam hal ini mungkin kemalasan kita untuk mencari dan mengkaji. Sedangkan penulis (termasuk semua penulis sejarah) mengorbankan banyak masa mereka untuk mencari, mengkaji, menulis dan menyusun semula segala bahan-bahan kajian untuk dipersembahkan kepada masyarakat. Secara logiknya tugas sebagai pembaca adalah lebih mudah berbanding penulis. segala bahan sudah ada di depan mata cuma tunggu untuk dibaca sahaja - itupun masih lagi malas untuk mentelaahnya!

Satu masalah yang hamba lihat kepada pengkajian sejarah lama Melaka ialah kekurangan atau hampir tiadanya sumber sejarah bertulis dari kalangan orang tempatan. Sumber sejarah tempatan yang sering digunakan adalah Sejarah Melayu aka Sulalatus Salatin yang hanya ditulis beberapa puluh tahun setelah kejatuhan Melaka. Ini bermakna Tun Seri Lanang bukan menulis perkara semasa yang berlaku di Melaka. Beliau menulis berdasarkan cerita lisan yang didengari daripada orang-orang tua. Hamba tidak pasti sekiranya ketika beliau menulis itu beliau juga ada rujukan daripada bahan-bahan bertulis Melaka yang dapat diselamatkan. Disebabkan hanya ini sahaja bahan bertulis yang ada sampai kepada kita sejak zaman itu maka mahu atau tidak kebanyakan pengkaji menjadikan Sejarah Melayu antara bahan rujukan utama mereka. Berbanding dengan bangsa penjajah asing, mereka mempunyai penulis atau pengembara yang membuat catatan tentang tempat yang mereka jelajah atau jajah. Dan pastinya sejarah yang mereka tulis adalah daripada kacamata mereka di pihak yang menang. Namun hamba juga percaya bahawa pastinya banyak juga fakta-fakta yang benar yang boleh kita percayai lebih-lebih lagi apabila kita boleh membuat semakan silang dengan sumber-sumber yang lain.

Buku ini ipersembahkan dengan menarik. Selain dipersembahkan secara akademik - menggunakan rujukan yang berautoriti, ia turut datang dengan rekaletak serta ilustrasi yang cantik dan bersesuaian. Memberikan sentuhan warna pada setiap mukasurat, mata kita dihidangkan dengan ilustrasi gambaran pelukis mengenai keagungan Melaka pada zaman lampau.Menggunakan lukisan 3D, ia memberikan rasa kagum lebih-lebih lagi sekiranya apa yang digambarkan itu benar-benar ada pada zaman tersebut. Selain itu gambar beberapa tempat bersejarah sama ada di Melaka ataupun di luar negara turut dipaparkan.

Sebelum ke topik tentang penaklukan Melaka, penulis terlebih dahulu membawa pembaca kepada beberapa peristiwa bersejarah sebelum itu yang berkemungkinan menjadi antara faktor penjajah meluaskan pengaruh mereka sehingga dapat menembusi alam Melayu. Antaranya adalah perang salib, kejatuhan Granada/Andalusia serta kejatuhan Kostantinople. Faktor -faktor ini amat berkait dengan agama yang kemudiannya akan berkait-kait pula dengan faktor lain seperti penguasaan jalan perdagangan dan sebagainya.

Biasa kita dengar bahawa Melaka jatih kerana hulubalangnya hanya menggunakan keris dan lembing. Sebelum membaca buku inipun hamba tidak setuju dengan kenyataan itu. Ini kerana Portugis mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menakluki Melaka. Sekiranya angkatan Melaka tidak mempunyai senjata api dan tidak mahir menggunakannya, hamba percaya Portugis boleh menawan Melaka dalam masa dua jam sahaja!

Jadi kenapa Melaka tewas. Hamba melihat ketewasan Melaka hampir sama sahaja faktornya dengan kejatuhan beberapa kerajaan lain. Melaka ketika itu berada di zaman kemuncaknya. Kemewahan ada di mana-mana. Orang Melaka memiliki emas berbahara-bahara. Mereka mempunyai kapal-kapal sendiri. Kemewahan dan keamanan yang dikecapi menyebabkan segelintir masyarakatnya berasa selesa. Pemerintah pula berada dalam keadaan lemah dengan dikelilingi oleh para pembesar yang turut lemah serta ada yang rasuah. Paling parah adalah adanya musuh dalam selimut yang merupakan pengkhianat besar memberikan maklumat kekuatan Melaka kepada musuh. Ingati dua nama pengkhianat ini - Utimuraja, pemimpin masyarakat Jawa dan Nina Chatu pemimpin orang-orang Tamil yang menjadi gunting dalam lipatan berperangai pepat di luar rencong di dalam. Itu belum dikira lagi beberapa pengkhianat sebelum itu seperti Mudaliar dan si kitul yang mana kesemuanya bukanlah orang Melayu tetapi masyarakat Melayu Melaka memberikan kemulian kepada mereka sehingga mempunyai kedudukan dan harta. Tetapi kerana kuasa mereka lebih suka menggadai Melaka kepada penjajah luar. Portugis hanya datang dengan kekuatan 1400 orang sahaja di mana 600 daripadanya adalah orang India dari Goa. Beberapa pedagang turut menjadi pengkhianat seperti pedagang China yang membenarkan Portugis menggunakan dua jong mereka untuk menyerang Melaka.

Pengkhianatan adalah faktor yang paling besar. Berlaku sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Aapabila satu pihak yang bermusuhan tidak mempunyai rasa patriotik, mereka akan mencari bantuan luar untuk menyokong mereka. Walaupun akhirnya mendapat kuasa, pengaruh luar itu juga pastinya mahukan bahagian mereka. Akhirnya melalui kelicikan politik, orang luar itu pula yang memegang kuasa dan akhirnya memijak kepala kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...