Isnin, 7 September 2020

CETAK ROMPAK KEPALA BAPAK - Nasir Jani



CETAK ROMPAK KEPALA BAPAK!!! - kasar benar bunyinya. Sebagaimana kasar bunyi tajuknya, begitulah juga nada penyampaian buku ini,. Ia adalah luahan ikhlas sekeping hati, tanpa ada sebarang sensor. Ia adalah kemarahan yang telah disimpan selama puluhan tahun. Ia bukan luahan yang bersifat apologetik bahkan kandungannya begitu berterus terang.

Walaupun buku ini ditulis oleh Nasir Jani, ia juga adalah pemikiran bersama rakan baiknya - Ito Blues Gang. Kedua figura ini begitu dikenali bukan sahaja dengan bidang masing-masing - nasir jani dalam dunia perfileman manakala Ito dalam dunia muzik - tetapi juga dalam perjuangan mereka terhadap cetak rompak. Isu cetak rompak biasa ditemui di dalam akhbar, siaran televisyen ataupun radio. Belum ada lagi yang menulis buku khas mengenainya. Nasir Jani mengakui bahawa penulisan buku ini bukanlah dibuat berdasarkan mana-mana kajian ilmiah atau akademik, ia adalah tulisan atau lebih tepatnya luahan hati beliau dan Ito berdasarkan pengalaman beliau sendiri dan apa yang beliau lihat sepanjang hidup beliau. Kerana itu dari mula hingga akhir buku ini apa yang pembaca akan hadam adalah segala-gala yang berkaitan cetak rompak yang dipersembahkan mengikut gaya 'suka hati penulislah' tanpa terikat dengan gaya sebuah kajian akademik. Ia dipersembahkan melalui tulisan penulis serta dialog antara beliau dan Ito. Justeru jangan terperanjat apabila bertemu kata-kata kesat dan makian yang ada. Ia benar-benar luahan kegeraman.

Cetak rompak bukanlah perkara baru. Ia telah ada semenjak manusia pandai membeli album penyanyi kegemaran mereka. Nasir Jani dan Ito cenderung bahawa lanun cetak rompak barangkali pemilik syarikat rakaman juga, cuma mereka tidak mempunyai bukti. Boleh jadi juga pemilik syarikat yang mencetak album-album berkenaan memandangkan mereka yang menyimpan master tapenya. Yang ajaibnya album cetak rompak kadang-kadang berada di pasaran mendahului yang asli. Boleh jadi juga ahli politik dan pemimpin tertentu terlibat. Dalam hal ini beberapa nama ahli politik turut disebut. Nasir Jani dan Ito turut meluahkan kekeceaan mereka kepada para penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan baik. Namun ada juga penguatkuasa yang mendapat pujian mereka kerana begitu komited melawan cetak rompak sehingga beliau mati dibunuh.

Buku ini hanya berkisah tentang cetak rompak. Jikalau anda tidak berminat dengan isu ini ia mungkin mendatangkan kebosanan. Tetapi wajar juga anda menyelami rasa hati penulis. Ia bukan sekadar luahan hati, penulis mahu anda faham apa yang akan terjadi sekiranya anda terus membeli barangan cetak rompak, apa nasib harta intelek, siapa yang akan lebih mendapat keuntungan dan siapakah yang paling teraniaya.

Selamat membaca!!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...