Ahad, 6 September 2020

JUARA - S. Othman Kelantan



Selatan Siam adalah kawasan negeri-negeri Melayu yang terpisah dari alamnya disebabkan kelicikan politik penjajah. Kerana penjajahan itu orang Melayu hilang kuasanya, kesultanannya lenyap, bahasanya cuba dihapuskan dengan tiadanya pendidikan secara rasmi. Anasir Siam sedikit demi sedikit mula menguasai penduduk di kawasan berkenaan. Orang Melayu di sana dengan Melayu di sini adalah bersaudara, lebih-lebih lagi yang berada di kawasan sempadan. Budaya kita adalah sama.

Juara adalah kisah orang Melayu di selatan Siam sekitar awal tahun 60an atau beberapa tahun selepas merdeka. Fokusnya adalah kepada watak mamat, seorang pemimpin politik dari Kelantan yang berhijrah ke Bangnara setelah dua kali gagal dalam pilihanraya. Beliau merasakan bahawa rakyat telah menolaknya. Di Siam, abang Lazim telah memberikan bantuan yang banyak kepada Mamat. Kerana itu apabila Lazim mati dibunuh selepas kejayaan lembunya Calet mengalahkan Langsat milik Pak Isa, Mamat amat menyimpan dendam.

Juara atau jogho adalah istilah kepada petarung lembu di gelanggang. Pertarungan lembu adalah budaya Melayu lama. Setelah perjudian di Kelantan diharamkan, kegiatan tersebut hanya tertumpu di selatan Siam. bahkan orang Kelantan yang menjadi tahi judi akan menyeberang sempadan untuk menyaksikannya. Mamat adalah juara lembu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang pelatih lembu yang baik serta mempunyai banyak tipu muslihat dalam pertarungan. Kejayaan mamat di bong banyak dibantu oleh pengetahuannya ini. Perlawanan di bong mempunyai peraturannya yang tersendiri dengan diadili oleh seorang kamkan. Ia adalah medan perjudian ala kampung. Para petarung bertaruh atas suatu jumlah dan para penonton turut sama mempertaruhkan wang mereka.
Perjudian adalah haram kerana ia membawa lebih banyak keburukan sama ada kepada diri sendiri atau kepada keluarga dan masyarakat. Kegiatan laga lembu yang merupakan perjudian ini menjelaskannya. Para juara lembu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Sekali imbas ia kelihatan seperti sebuah kumpulan kongsi gelap yang tidak tersusun. Setiap puak berusaha untuk menang kerana ganjaran yang ditawarkan adalah besar. Yang kalah berkemungkinan akan hilang segala hartanya. Kekalahan boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan itu boleh berlarutan kepada pergaduhan, pergocohan sehingga kepada pembunuhan. Kerana itu Lazim dibunuh. Pak Isa dan gu nya merasakan kekalahan lembu mereka - Langsat adalah secara tidak adil, kerana tipu daya Mamat di dalam bong.
Di sebelah sana, apabila seseorang membuat angkara, maka ia akan melarikan diri buat beberapa ketika bagi meredakan suasana. Ketakutan mereka adalah kepada serdadu Siam. Jika mereka ditahan, mereka mungkin disiksa di dalam tahanan. dan itulah yang amat menakutkan mereka kerana siksaan itu tidak dapat dibayangkan. Namun walaupun kes itu telah sejuk di pihak serdadu Siam, mereka masih lagi perlu berdepan dengan keluarga yang dibunuh yang biasanya dendam mereka tidak akan surut. Justeru di dalam Juara, serdadu Siam digambarkan kejam, menyiksa dahulu sebelum bertanya. sekiranya dalam tempoh beberapa hari itu tiada keluarga mangsa yang datang menuntut, maka yang telah ditangkap (dan sekaligus disiksa) boleh dilepaskan begitu sahaja.
Orang-orang Mamat kemudiannya berjaya membunuh Dolah Munduk, salah seorang pengikut Pak Isa yang dipercayai terlibat dalam membunuh Lazim dan Calet. Mereka juga lari menyembunyikan diri. Agak malang bagi Mamat kerana beliau ditangkap serdadu Siam walaupun tidak terlibat secara lansung. Mamat turut disiksa walaupun penulis tidak memperincikannya. Selama 15 hari Mamat menanggung siksa sebelum dibebaskan.
Hari ini tidak ramai orang tahu tentang laga lembu, bahkan ilmu tentang lembu - jenisnya, mana baka laga yang baik, cara melatih dan sebagainya. S. Othman Kelantan ternyata mempunyai pengetahuan dalam hal ini. Kalau tidak novel ini tidak akan nampak hidup. Cara
beliau mengendalikan Calet dan Aral serta melatihnya digambarkan dengan baik sekali. Beliau tahu apa kriteria yang baik pada seekor lembu laga, apa latihan yang diperlukan, makanan yang baik serta cara pelepasan lembu di bong yang boleh menentukan kemenangan seseekor lembu.
Naskhah Juara telah difilemkan oleh sutradara U Wei Asaari dengan tajuk Jogho. Dalam Jogho terdapat beberapa perubahan dari segi dialog dan perjalanan cerita bagi disesuaikan dengan sebuiah filem. Kita wajar membaca naskhah asalnya dahulu sebelum menonton Jogho



Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...