Khamis, 24 September 2020

KAMPUNG MONGKOS - 6 HARI SEBELUM LOCKDOWN!



Hamba agak teruja apabila Program Kesihatan Persekitaran Institut kali ini memilih Kampung Mongkos di Serian sebagai lokasi amali dan CSR mereka. Lagipun ini kali pertama hamba berkunjung ke destinasi ini. Ketika kunjungan ini dunia telahpun mula gusar dengan wabak Covid-19 (ketika itu masih lagi dipanggil corona virus). Bahkan ketika program ini masih berlansung hamba sering 'diganggu' panggilan telefon dari ibupejabat bagi mengatur gerak kerja menghadapi penyakit ini. Hamba bersyukur kerana program ini dapat berjalan dengan lancar kerana hanya selepas enam hari program ini berakhir, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah bermula di negara kita. Kalau tidak sangkut lama hamba di Sarawak!



Kampung Mongkos sememangnya sebuah kampung yang menjalankan industri inap desa dan agak terkenal di kawasan ini. Terletak tidak jauh dengan sempadan Indonesia ia dihuni oleh pelbagai etnik dengan majoritinya adalah etnik Bidayuh. Mengikut ketua kampungnya, encik Wilson, semenjak tahun 1879 lagi kampung ini telah mula berpenghuni. Kini terdapat 191 keluarga dengan 1200 orang penduduk. 90% penduduknya bekerja sebagai petani.

Penduduknya tinggal di rumah jenis kampung biasa dan terdapat sebuah rumah panjang yang dibina sekitar 1950 di situ. Di sebelah rumah panjang itu terdapat sebuah bangunan besar dua tingkat tempat kami menginap dan makan. Hamba mendapat sebuah bilik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku berbahasa Inggeris. Petang berkenaan hamba sempat meninjau sekitar kampung. Rumah penduduknya agak rapat. Terdapat beberapa orang tua yang duduk-dudk di depan rumah berbual-bual kosong. Beberapa rumah menggantung tikar yang siap bergulung di kawasan hadapan. Ya, tikar kulit kayu yang kau orang beli mahal-mahal tu dan hampar di ruang tamu, orang kampung buat hamparan jemur lada hitam saja. Hamba berpeluang juga melawat kawasan kebun lada hitam mereka.







Di sini terdapat satu kawasan bongkah batu yang digelar Bukit Batu Kapal. Dongeng menyatakan ia berasal daripada sebuah kapal yang disumpah. Bukit berkenaan hanya menyerupai muncung kapal dan bukanlah merupakan bentuk sebuah kapal betul. Di bawahnya terdapat laluan berbentuk gua kecil yang boleh tembus ke bahagian lain. Hamba mulanya ingatkan akan melalui jalan pulang sama seperti jalan datang. Tetapi penduduk yang membawa hamba dan rakan-rakan membawa kami mengikut jalan lain yang memaksa kami melalui kawasan belukar dan semak yang tinggi yang jelas bukan kawasan laluan biasa.



Anak-anak pelatih Program Kesihatan persekitaran ini melakukan beberapa aktiviti bersama penduduk di sini seperti pemeriksaan air minum, ceramah, pameran dan promosi kesihatan dan banyak lagi. Bagi pameran dan promosi kesihatan, kami turut disertai oleh pelatih dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kuching (Kesihatan Awam). paling menarik apabila dua kumpulan pelatih ini memperlihatkan pencak masing-masing yang mempunyai sedikit perbezaan. Penduduk kampung juga turut meraikan kami dengan membuat sedikit persembahan kebudayaan.











Bagi aktiviti pemeriksaan bekalan air, kami perlu hiking lebih kurang 40 minit merentasi kawasan kebun dan hutan. Penduduk mendapat bekalan air mereka melalui sungai Mongkos yang turut melalui kampung mereka. Di kawasan hulu sungai, kerajaan telah menyediakan peralatan menapis air bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air yang bersih. Ia dipantau oleh jabatan Kesihatan Negeri. Jadi pada hari berkenaan para pelatih dengan dipantau oleh para pegawai jabatan telah melakukan pemeriksaan sampel air.
Walaupun kampung Mongkos jauh dari bandar dan terletak di kawasan yang dikelilingi hutan, cuaca ketika itu agak panas dan berbahang. Hamba tidak perlu lansung dengan selimut pada waktu malam. Mujur juga begitu, kalau tidak air mandi pagi mesti sejuk macam air batu!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...