Sabtu, 12 September 2020

KEMBARA PENIAGA JALANAN - Ikram Al-Banjari

Kulit depannya direka hampir menyerupai poster wayang Kembara Seniman Jalanan (KSJ) lakonan M.Nasir pada tahun 1986. Bezanya memfokuskantentang perjuangan membasmi cetak rompak dalam dunia seni manakala buku ini adalah rakaman pengalaman seorang usahawan yang mempunyai pengalaman yang begitu banyak sebagai seorang peniaga jalanan.

Terlebih dahulu suka hamba nyatakan bahawa penulis buku ini menjadi seorang peniaga jalanan bukanlah kerana beliau tidak mempunyai kelulusan atau seorang yang gagal dalam pelajaran. Tidak, bahkan beliau mempunyai kelulusan ijazah dari sebuah universiti tempatan. Beliau menjadi peniaga jalanan kerana minat. Dan kita jangan pula sangka bahawa peniaga jalanan ini pendapatannya besher beshe sahaja. Kadangkala pendapatan mereka berniaga tiga tiga hari, terutamanya di tapak-tapak ekspo, melebihi gaji kita yang makan gaji ini beberapa bulan. Jadi kita yang makan gaji tak usah nak eksen dengan penampilan kemas, baju kemeja kasut kilat kereta menjalar. Walaupun mereka kadangkala kelihatan selekeh, memandu kereta kecil, pendapatan mereka mewahnya berganda!

Penulis memang minat berniaga. Bahkan beliau telah mulakan semenjak bersekolah rendah lagi dengan menjual buah jambu potong. Minat beliau ini diteruskannya lagi ke peringkat selepas itu hinggalah ke peringkat universiti. Satu yang hamba nampak, beliau amat merendah diri. Beliau tidak segan untuk meminta kerja dengan peniaga jalanan tertentu semata-mata untuk mengorek ilmu mereka. Beliau akan mendengar dengan sabar penerangan mereka dan tidak sekali-kali menunjukkan beliau tahu. Biar nampak bodoh agar kita dapat menadah ilmu dengan lebih banyak. Sifat beliau yang rajin ketika bekerja membuatkan tuan punya perniagaan tidak lokek memberikan ilmu dan rahsia perniagaan mereka.

Kita akan terkejut bila membaca buku ini apabila mendapati bahawa beliau mencuba pelbagai macam perniagaan. Hidup kena rajin dan berani mencuba. Ini yang beliau cuba sampaikan kepada pembaca. Cuba baca kisah beliau yang ke Tawau dan Filipina secara bersendirian bagi mencari peluang perniagaan mengeksport ikan tuna ke Jepun. Tanpa sebarang contact person yang dikenali, beliau berani gamble sahaja. Tawakal beliau tinggi dan semua itu tidak sia-sia. Kerja perlu serius dan bukannya main-main. Hari ini perniagaan beliau ada bermacam. Turun naik kapal terbang sudah menjadi perkara biasa. Tapi naik kapal terbang bukan naik kosong saja-saja. Otaknya ligat memikirkan peluang perniagaan.

Sebagai peniaga jalanan mereka tidak akan lepas daripada tindakan penguatkuasa. Sila anda baca dan lihat bagaimana beliau berinteraksi dengan penguatkuasa. Tidak perlu kepada rasuah atau maki hamun. Kalau salah bayar sahaja dan beliau anggap seolah membayar sewa tapak niaga. Saman pun tak tinggi dan lebih baik daripada barangan diangkut lori. Walaupun berhari disaman, beliau tetap cool dan kesabaran ini berbaloi apabila anda membaca hujung cerita. Perlu diingat bahawa penguatkuasa juga manusia, kasar kita berinteraksi maka kasar jugalah mereka.

Seorang penceramah yang berjaya pernah berkata,  a good businessman is a person who can sell an ice box to the Eskimos! dan hamba nampak beliau adalah salah seorang darinya.

Anda yang berminat dalam dunia perniagaan harus membaca buku ini untuk mencari semangat dan belajar daripada pengalaman penulis. Punyalah hebat beliau berniaga sehinggakan seluar yang beliau pakaipun ada orang nak beli. Sebagai peniaga beliau pentingkan pelanggan. Apa susah, londehkan saja dan jual.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...