Jumaat, 18 September 2020

THE KING SULAYMAN: MISTERI HAIKAL DAN KERAJAAN NABI SULAIMAN - Abu Muhammad Arafah Adha

Kredit imej FB Hijjaz Records Publishing


Tajuk buku ini nampak hebat. Ia menggambarkan sesuatu yang besar. Kerana tajuk inilah hamba tertarik untuk membelinya. Ia seolah menggambarkan satu kajian lengkap lagi berautoriti tentang Nabi Allah Sulaiman serta perkara-perkara yang berkaitan baginda seperti haikal, tabut, Puteri Balqis dan sebagainya.

Melihat tajuk-tajuk kecilnya juga akan membuatkan pembaca teruja. Hamba mula percaya bahawa hamba akan mendapat maklumat yang banyak serta terperinci. Namun menelusirinya sehingga selesai hamba terasa sedikit kecewa. Segala bab dan tajuk kecil tidaklah dibincangkan atau dikaji secara terperinci. Ia umpama satu ringkasan umpama kata-kata - 'cukuplah kau tahu banyak tu, tak payah nak detail sangat!' Ya hamba pada mulanya berharap buku ini sepertimana tulisan penulis seperti Muhammad Alexander aka Alexander Sasongko penulis Alexander Adalah Zulqarnain, yakjuj & Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung, Luqmanul hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam (sekadar menyebut beberapa tajuk).

Seandainya tajuk sebegini dipilih, seharusnya penulis telah bersedia dengan rujukan yang besar-besar sama ada melalui kitab-kitab turath, ulama' besar mutaakkhirin juga sumber-sumber Yahudi dan Nasrani itu sendiri seperti kitab-kitab mereka yang kemudiannya akan dilakukan perbandingan dan proses tabayun. Tapi kadang-kadang cerita yang dihidangkan pun kadangkala tergantung. Seperti bab Kisah Harut dan Marut. Awal bab ini dinyatakan akan tuduhan Yahudi bahawa ilmu sihir itu diturunkan melalui lisan malaikat Jibril dan Mikalil. Lau bagi membahaskan tuduhan ini kemudiannya dibawakan satu hadith marfu' berkenaan Harut dan Marut. habis sahaja haidth berkenaan maka kisah bab inipun tamat. Hadith berkenaan tidak pula bercerita tentang kisah ilmu sihir bahkan ia juga memerlukan penjelasan yang lebih panjang lebar sebab kisah Harut dan Marut, kaitannya dengan ilmu sihir tidak dapat dijelaskan melalui hadith itu sahaja. Kisah Harut dan Marut apa yang pembaca boleh dapati dalam tulisan bab yang hanya 3 mukasurat dengan font besar dan langkauan (spacing) yang luas ini!

Ada juga bab khusus yang cuba mengaitkan Nabi Sulaiman dengan orang Melayu. Bab ini juga kabur. Apabila bab ini menggunakan perkataan 'dikatakan', 'sesetengah pihak membuat andaian', ia adalah sesuatu yang belum pasti, kabur, tiada sumber sahih, cuma provokasi. Andainya mahu dinaikkan martabat Melayu, hamba sokong, tapi biarlah ada nasnya, dalilnya yang kuat - bukannya andaian. Bahkan cerita 'kaitan' itu sendiri tidaklah banyak mana lebih lebih lagi ia banyak bersifat andaian. Kisah kaitan ini sewajarnya dibincangkan dengan serius sekiranya ia benar. Tidak perlu perbincangan perkara lain yang tidak begitu ketara kaitannya seperti takrif kalimah Melayu yang memakan hampir separuh bab pendek ini.

Tulisan ini tidak bermaksud menyalahkan penulis apatah lagi merendahkan kredibiliti beliau. Hamba faham kadangkala penerbit sendiri mahukan tajuk yang bombastik, fantastik, mr. Loba Loba untuk memacu jualan. Tetapi sebagai pembaca yang dahagakan ilmu, kita ada ekspektasi terhadap sesuatu buku apatah lagi apabila melihat tajuk serta bab-bab yang ada di dalamnya. Bab-bab di dalam buku ini telah cantik cuma ia tidaklah ditulis secara terperinci. Apabila dilihat senarai rujukan di belakang, banyak rujukan adalah buku-buku penulis tempatan yang terbit hanya beberapa tahun sebelum buku ini dikeluarkan. Begitu juga dengan beberapa penulis luar yang rata-ratanya terbit seawal tahun 2000 dan ke atas. Penulisan seperti ini memerlukan pengorekan dari sumber Yahudi dan Nasrani itu sendiri dan bukannya dari sumber yang penulis lain dapatkan daripada penulis lain yang mereka juga dapatkan daripada penulis lain. Buku ini selain tajuknya, diselamatkan oleh kertasnya yang tebal dan bermutu tinggi selain reka letak dan grafik yang menarik yang hamba percaya banyak didapati di internet juga.

Buku ini boleh saja dinamakan Kisah Ringkas Nabi Sulaiman!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...